Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 19, 2026

Info X Reporters

Kedai jual ikan musnah terbakar di Tawau

TAWAU: Sebuah kedai menjual ikan di Bandar Sri Indah, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, seramai 15 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, LFRT, EMRS dan Water Tanker digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai. “Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.49 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah kedai jenis kekal berkeluasan kira-kira 139 meter persegi yang terbakar sepenuhnya. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada tangki jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.20 pagi dan tidak membabitkan sebarang mangsa. “Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula. “Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

March 19, 2026

Info X Reporters

Wanita patah kaki, kanak-kanak cedera kereta terbabas

TAWAU: Seorang wanita patah kaki manakala seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.24 pagi itu, kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.33 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas sendiri lalu melanggar pokok. “Terdapat dua mangsa terlibat iaitu wanita berusia 30 tahun mengalami patah kaki dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut. “Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 4.49 pagi,” katanya.

March 19, 2026

Info X Reporters

Lelaki cedera, kereta terbakar selepas langgar tiang lampu isyarat

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera di bahagian muka selepas kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Inanam Taipan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu isyarat, menyebabkan kenderaan dipandunya terbakar hampir 90 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherryyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.42 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Proton Saga terbakar akibat melanggar tiang lampu isyarat. “Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.04 pagi dan mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. “Selepas pemeriksaan akhir di lokasi mendapati keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.23 pagi. “Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Info X

March 18, 2026

Info X Reporters

Sambutan Ulang Tahun Tun Musa dibuat secara berhemah – Nizam

KOTA KINABALU: Program Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 30 Mac ini dibuat secara berhemah mengambil kira cabaran semasa ketika ini. Menekankan perkara itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata walaupun pelbagai program disusun bagi mengisi sambutan itu bermula pada 27 Mac ini, ia tidak membabitkan kos yang banyak. Beliau berkata, program yang diadakan pada sambutan tahun ini lebih menyeluruh berbanding pada tahun lalu, namun pihak penganjur mengambil pendekatan berhemah, sama seperti penganjuran acara kerajaan yang lain. “Memandangkan sambutan pada tahun ini bukan pada bulan Ramadan, maka acara yang tidak dibuat pada tahun lalu kita adakan dalam sambutan kali ini. “Bagaimanapun, ia tidak juga membabitkan kos yang banyak kerana apa yang penting ialah pengisian dan mesej program yang kita anjurkan sepanjang sambutan. “Kita juga faham dalam dunia mencabar ini kita juga berhemah dalam apa juga penganjuran yang membabitkan acara rasmi kerajaan,” katanya pada sidang media penganjuran sambutan itu, di sini, pada Rabu. Nizam yang juga Pengerusi Penganjur Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT, berkata demikian ketika ditanya mengenai perbelanjaan ditanggung kerajaan bagi melaksanakan semua program yang disusun. Beliau berkata, sebanyak 12 program disusun sepanjang sambutan pada tahun ini bermula dengan Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negeri pada 27 Mac. Ia disusuli istiadat perbarisan dan penyampaian hadiah pertandingan kawad di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri di Istana Seri Kinabalu serta Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi DUN Sabah pada 30 Mac. Turut diadakan ialah Riadah Perpaduan Bersama TYT di Taman Tasik Kompleks Sukan Likas pada 11 April, acara menembak bersama TYT dan Kabinet negeri pada 12 April, Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama di Muzium Tamadun Islam Sabah pada 16 April dan Perasmian Karya Perdana Pilihan Tahunan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 April. Selepas itu program Perarakan Budaya dari Lintasan Deasoka ke SICC, disusuli perayaan Hari Etnik yang dijangka disertai lebih 100 persatuan etnik Sabah di SICC pada 25 April dan akhir sekali Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak di Dewan Masyarakat Tawau pada 30 April. Nizam berkata, sebagai menteri Kabinet negeri yang memegang portfolio sukan, acara Riadah Perdana dimasukkan dalam sambutan bagi menggalakkan aktiviti sihat sambil merapatkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat, khususnya TYT. Acara itu, katanya turut diselitkan dengan sukan tradisi Sabah seperti ‘menyumpit’, ‘membujak’ dan ‘melastik’ bagi memeriahkan lagi program riadah bersama Tun Musa. “Banyak aktiviti kita anjurkan berkaitan portfolio saya..selain perbarisan yang disertai ramai belia dan pelajar, kita juga mengadakan program Riadah Perpaduan di Taman Tasik Kompleks Sukan Likas pada 11 April. “Ia adalah satu program untuk rakyat dapat bersama TYT agar mendekatkan lagi pemimpin dan rakyat. Jadi kita berharap orang ramai datang menyertai Riadah Perpaduan ini. Selain riadah berjalan kaki, kita juga akan mengadakan sukan tradisi ketika acara itu,” katanya. Ends

March 18, 2026

Info X Reporters

Bekalan beras di Sabah cukup, pengguna tidak perlu panik – Jamawi

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengulangi jaminannya mengenai kecukupan bekalan beras di Sabah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik susulan laporan kekurangan stok di beberapa daerah pedalaman. Beliau berkata, setakat ini, stok simpanan beras negeri mampu menampung keperluan rakyat antara enam hingga sembilan bulan. “Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Jamawi menekankan Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas dan menasihatkan rakyat agar tidak panik. Beliau berkata, arahan telah diberikan agar penghantaran bekalan beras putih import (BPI) pada harga mampu milik digerakkan segera dengan kuantiti yang besar ke Keningau, Sook, Tenom, Kemabong dan Sipitang. “Semoga bekalan beras akan pulih seperti sediakala. Saya menyeru orang ramai supaya mengelakkan pembelian panik,” katanya. Kelmarin, Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Ramle Kasin bersama pegawai BERNAS Sabah, melakukan pemantauan stok beras di Pusat Simpanan Kolombong dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan beras adalah stabil serta mencukupi. Hasil tinjauan pagi ini pula, katanya mendapati bekalan beras sudah mula diedarkan di setiap kedai di Tenom, Kemabong, Sook dan Keningau. Di Tenom saja, sebanyak 53 tan beras memasuki pasaran di kedai-kedai yang diuruskan oleh pengedar BERNAS, masing-masing PPK Tenom sebanyak 30 tan dan Sazarice 23 tan. Jamawi berkata, keperluan sebulan adalah 470 tan metrik, manakala secara purata keperluan sehari dianggarkan sejumlah 16 tan metrik. Sejumlah 70 tan metrik atau 15 peratus keperluan bekalan beras sedang dihantar pada Rabu, melebihi keperluan harian iaitu 16 tan sehari. – Info X

March 18, 2026

Info X Reporters

Baru bebas, kembali ke jalan lama

KUDAT: Baru melangkah keluar dari tirai besi, lelaki berusia 30 tahun itu seolah-olah tidak serik. Belum sempat menikmati kebebasan, dia kembali dicekup polis dengan 150 gram dadah disyaki syabu. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, suspek ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat ketika rondaan Ops Tapis di Kampung Landung Ayang Laut. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai satu kotak warna oren yang ditemukan dalam milikan suspek. “Pemeriksaan lanjut mengesahkan semua paket berkenaan mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 150 gram.” “Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM15,000,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk di bawah Seksyen 39A(2), 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, malah pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini,” katanya. Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki yang kini sudah ditahan dan masih dalam reman polis. “Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Kudat untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi memastikan kegiatan ini dapat dibendung. – Info X

March 18, 2026

Info X Reporters

Tun Musa hargai semua pihak jayakan Majlis Penyampaian kek Hari Raya

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman haru ini merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Penyampaian Kek sempena Hari Raya Aidilfitri. Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Seri Kinabalu, Tun Musa menyifatkan inisiatif itu sebagai gambaran semangat kebersamaan, keprihatinan dan keharmonian rakyat Sabah. “Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Majlis Penyampaian Kek sempena Hari Raya Aidilfitri pada hari ini. “Inisiatif ini mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan keharmonian yang menjadi kekuatan kita bersama. “Semoga usaha murni ini terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat Negeri Sabah,” katanya. Menerusi kenyataan yang sama,Tun Musa turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya. “Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya. – Info X

March 18, 2026

Info X Reporters

Cuti umum tambahan negeri sempena Aidilfitri pada Jumaat atau Isnin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri turut mengumumkan tarikh 20 Mac 2026 atau 23 Mac 2026 sebagai cuti umum tambahan sempena sambutan Aidilfitri. Ketetapan itu bagaimanapun bergantung kepada tarikh 1 Syawal, sama ada jatuh pada Jumaat atau Sabtu ini, seiring dengan pengumuman Perdana Menteri sebelum ini. Di bawah Warta Kerajaan Keluaran Khas bertarikh 18 Mac 2026, Yang di-Pertua Negeri menetapkan hari yang berikut sebagai hari kelepasan tambahan iaitu 20 Mac 2026, sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 21 Mac 2026 atau 23 Mac 2026, sekiranya Hari Raya Aidilftri jatuh pada 20 Mac 2026. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan tarikh yang sama sebagai cuti tambahan Aidilfitri ketika lawatannya ke Sabah pada Ahad lalu. – Info X