August 12, 2026
Info X Reporters
Jangan ulang kesilapan Tabung Haji dalam GLC Sabah – Shafie
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu kerajaan negeri mengambil iktibar daripada isu Tabung Haji dan mengelak amalan berhutang untuk membayar hutang dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ketua Pembangkang DUN Sabah itu, berkata penstrukturan kewangan tidak seharusnya sekadar memindahkan hutang daripada satu entiti kerajaan kepada entiti lain sehingga punca masalah dan pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada perhatian. “Hentikan amalan perakaunan kreatif yang ada ini,” kata Ahli Parlimen Semporna itu ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa. Shafie berkata, beliau bimbang penggunaan syarikat tujuan khas (SPV) sebagai penyelesaian kepada masalah kewangan boleh menjadi contoh kepada entiti lain untuk mengambil pendekatan sama. Beliau mengaitkan perkara itu dengan Sabah dengan merujuk kepada hutang Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) dan pembiayaan yang diperoleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) selepas mengambil alih syarikat berkenaan. Katanya, rekod menunjukkan SMJE menerbitkan Sukuk Wakalah berjumlah RM900 juta pada 2023 berkaitan pengambilalihan SIP, termasuk untuk membiayai semula pinjaman sedia ada syarikat itu. Kerajaan Negeri sebelum ini, katanya mempertahankan langkah itu dengan menjelaskan penstrukturan berkenaan mengurangkan kos pembiayaan serta membolehkan SIP menjadi bebas hutang. Bagaimanapun, Shafie memberi amaran sebuah entiti awam tidak digunakan untuk menyelamatkan kerugian institusi lain sekiranya masalah itu berpunca daripada kelemahan pengurusan. Presiden Parti Warisan itu berkata, penstrukturan kewangan juga tidak seharusnya menyebabkan mereka yang bertanggungjawab terhadap sebarang penyelewengan atau salah laku asal terlepas daripada tindakan undang-undang. Shafie berkata, pengajaran daripada isu Tabung Haji perlu dijadikan peringatan dalam pengurusan GLC di Sabah supaya hutang tidak sekadar diselesaikan dengan hutang baharu, sebaliknya setiap kerugian dan kelemahan pengurusan ditangani secara telus dan bertanggungjawab. – Info X
August 12, 2026
Info X Reporters
PPM patahkan cubaan seludup 5,000 liter petrol subsidi ke negara jiran
PITAS: Cubaan menyeludup kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, tengah malam tadi. Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun ditahan ketika dipercayai sedang memindahkan tong berisi petrol bersubsidi menggunakan bot di kawasan muara sungai berkenaan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil operasi itu, pasukannya merampas kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi bersama 38 tong dram. Katanya, turut dirampas tiga bot kayu termasuk enjin dan kelengkapan bot dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM100,000. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 100 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 92 tangkapan. Katanya, sepanjang tempoh sama, jumlah keseluruhan nilai rampasan direkodkan melebihi RM25.2 juta. Ahmad Amri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan dan penyalahgunaan barangan bersubsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara,” katanya. – Info X
August 11, 2026
Info X Reporters
Jadikan laporan RCI panduan tambah baik Tabung Haji – Matbali
KOTA KINABALU: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji perlu dijadikan panduan ke arah penambahbaikan institusi berkenaan. Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, sehubungan itu berharap semua rekomendasi laporan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan apa yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi. Beliau turut mengucapkan syabas kepada kerajaan kerana membawa laporan berkenaan untuk dibahaskan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di Kuala Lumpur. “Sipitang berpandangan kerajaan wajar meneruskan segala tindakan susulan berdasarkan penemuan RCI secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan. “Biarlah setiap tindakan dipandu oleh undang-undang, bukan oleh tekanan mana-mana pihak,” katanya ketika membahaskan laporan RCI berhubung pengurusan Tabung Haji di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa. Katanya, laporan RCI yang mencakupi tempoh antara tahun 2014 hingga 2020 itu mengandungi dapatan yang sewajarnya diberikan perhatian serius. Matbali berkata setiap syor dan penemuan harus dinilai mengikut proses perundangan sedia ada agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengabaikan hak mana-mana pihak. “Kita juga mendukung pendirian kerajaan dan Perdana Menteri supaya tindakan susulan dilaksanakan menurut lunas undang-undang serta prinsip tadbir urus yang baik. “Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa proses siasatan hendaklah diberikan ruang sepenuhnya untuk berjalan tanpa sebarang gangguan. “Demi kebaikan dan penambahbaikan. Jangan kita mengheret agensi penguat kuasa ke dalam gelanggang persepsi. Biarlah mereka melaksanakan amanah dengan bebas, profesional dan berintegriti,” katanya.- Info X
August 11, 2026
Info X Reporters
Tangani segera isu tambang penerbangan Sabah-Semenanjung
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil tindakan segera bagi menangani harga tiket penerbangan Sabah-Semenanjung yang tinggi dan membebankan rakyat. Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), Hendri Hamsah, berkata ia termasuk mengkaji semula struktur tambang dan mempertimbangkan mekanisme had siling harga bagi laluan strategik. Katanya, kerajaan juga perlu memperkenalkan mekanisme penetapan harga yang lebih telus dan mempertimbangkan skim subsidi atau insentif khas kepada pelajar, mahasiswa, warga emas dan rakyat yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kesihatan. “Isu harga tiket penerbangan Sabah-Semenanjung bukan sekadar bermusim ketika musim perayaan, tetapi menjadi masalah struktur yang berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian yang tuntas,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook DPPNS. Sebelum ini, ADUN Karambunai yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyuarakan kebimbangan berhubung isu berkenaan kerana membebankan rakyat. Mengulas lanjut, Hendri berkata kebimbangan itu adalah berasas dan wajar diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pengangkutan serta pihak berkaitan. Jelasnya, isu berkenaan bukan perkara baharu, malah disuarakan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu, khususnya berkaitan kesan kos penerbangan yang tinggi kepada rakyat Sabah. Tegasnya, bagi rakyat Sabah, penerbangan bukanlah satu kemewahan tetapi satu keperluan kerana pengangkutan udara satu-satunya pilihan untuk urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan, kesihatan dan kekeluargaan di Semenanjung. “Berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung yang mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan darat seperti lebuh raya, bas dan kereta api, rakyat Sabah tidak mempunyai alternatif pengangkutan yang setara untuk bergerak ke Semenanjung. “Justeru, tidak wajar rakyat Sabah terus dibebankan dengan kos penerbangan yang tinggi hanya untuk bergerak dalam Persekutuan yang sama,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji semula struktur harga tiket penerbangan bagi laluan Sabah-Semenanjung yang dilihat semakin membebankan pengguna. Katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia juga harus digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mekanisme penetapan harga tiket bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi. “Kerajaan Persekutuan turut diminta mempertimbangkan pelaksanaan had siling harga (price cap) bagi laluan strategik yang tidak mempunyai alternatif pengangkutan lain,” katanya. Selain itu, beliau mencadangkan agar satu skim subsidi atau insentif khas bagi membantu golongan yang terkesan, khususnya pelajar, mahasiswa, warga emas dan rakyat yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kesihatan. Katanya, kos perjalanan yang tinggi turut memberi kesan kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung, penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi, usahawan serta rakyat yang perlu mendapatkan rawatan di luar negeri. Menurutnya, keadaan itu juga berpotensi melebarkan jurang sosial dan ekonomi antara Sabah dengan Semenanjung sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh. Dalam pada itu, katanya DPPNS berpandangan isu kemudahsampaian dan kos perhubungan antara Sabah dengan Semenanjung perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar, termasuk di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut layanan adil dan saksama kepada rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia. “Ini bukan isu politik kepartian, ini isu rakyat, isu kos sara hidup dan isu keadilan kepada Sabah. Rakyat Sabah bukan warganegara kelas kedua dalam negara sendiri. “Selagi rakyat Sabah terpaksa membayar harga yang tidak munasabah untuk berhubung dengan Semenanjung, selagi itulah isu ini perlu terus diperjuangkan,” katanya.- Info X
August 11, 2026
Info X Reporters
SPRM lumpuh sindiket import ayam sejuk beku, pegawai pelabuhan disyaki dirasuah
KOTA KINABALU: Kegiatan sindiket membawa masuk ayam sejuk beku secara tidak sah ke Sabah terbongkar selepas 10 kontena dipercayai diimport dari China disita dalam operasi khas, pagi tadi. Operasi dikenali sebagai ‘Op Chick’ itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat. Menurut sumber, operasi dilaksanakan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Katanya, sindiket berkenaan dipercayai membawa masuk ayam sejuk beku secara tidak sah dengan merasuah pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di Sabah. “Berdasarkan siasatan awal, kontena yang mengandungi ayam sejuk beku berkenaan dipercayai diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan ditetapkan. “Susulan operasi itu, SPRM menahan tiga lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan. “SPRM kini sedang mengenal pasti individu lain yang dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan,” katanya. Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan operasi dan penahanan berkenaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. Menurutnya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan. – Info X
August 11, 2026
Info X Reporters
Pinda akta pastikan syor RCI dilaksana sepenuhnya – Madius
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meminda Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi memastikan setiap syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilaksanakan sehingga masalah yang menjadi asas kepada sesuatu siasatan benar-benar diselesaikan. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata ketika ini cabaran negara bukan lagi sekadar mencari kebenaran melalui RCI, sebaliknya memastikan penemuan dan syor yang dibuat diterjemahkan kepada reformasi sistem tatakelola secara konsisten serta berakauntabiliti. Katanya, pengalaman negara melalui RCI Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah, RCI kematian Teoh Beng Hock dan terbaharu RCI Tabung Haji menunjukkan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pelaksanaan syor RCI. “Laporan RCI Tabung Haji yang siap disediakan pada 2023 hanya dibentangkan kepada Parlimen beberapa tahun kemudian kerana tiada kewajipan undang-undang yang jelas mengenai tempoh pembentangan laporan RCI kepada Dewan. “Pengalaman ini menunjukkan sudah tiba masanya negara memperkukuh sistem berkenaan,” katanya ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji pada Sidang Khas Dewan Rakyat, di sini, hari ini. Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata setiap RCI tidak seharusnya dianggap selesai sebaik sahaja laporan diserahkan kepada kerajaan. Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu menggubal Rang Undang-Undang Suruhanjaya Siasatan (Pelaksanaan Syor dan Akauntabiliti) (Pindaan) bagi mewujudkan mekanisme pemantauan yang jelas terhadap pelaksanaan semua syor RCI. Beliau mencadangkan setiap laporan RCI disusuli Pelan Reformasi Nasional yang memperincikan tindakan susulan, kementerian peneraju, garis masa pelaksanaan, keperluan kewangan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap syor. “Pelan Reformasi Nasional ini juga wajib dibentangkan kepada Parlimen supaya pelaksanaannya dapat dipantau secara berkala. “Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan perlu diberi mandat memantau pelaksanaan syor RCI serta memanggil kementerian dan agensi bertanggungjawab untuk memberi penjelasan,” katanya. Menurutnya, pengalaman RCI PATI di Sabah turut menunjukkan bahawa kewujudan sesuatu sekretariat atau pelaksanaan mesyuarat semata-mata tidak memadai jika isu yang hendak ditangani masih berlarutan. “Merujuk pengalaman RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, Sekretariat Tetap yang disyorkan hanya bermesyuarat 13 kali dalam tempoh lebih sedekad, sedangkan isu pendatang tanpa izin masih menjadi cabaran besar Sabah. “Ini membuktikan reformasi institusi perlu diukur berdasarkan masalah yang benar-benar diselesaikan, bukan aktiviti yang dijalankan,” katanya. Madius berkata kerajaan perlu memastikan setiap RCI selepas ini mempunyai mekanisme susulan yang jelas supaya penemuan dan syornya tidak sekadar berakhir sebagai laporan. “Marilah kita memastikan setiap Suruhanjaya Siasatan Diraja selepas ini bukan sahaja berjaya mencari kebenaran, tetapi juga berjaya melaksanakan kebenaran sehingga masalah negara benar-benar diselesaikan,” katanya.- Info X
August 11, 2026
Info X Reporters
Polis tahan tiga lelaki kes curi motosikal
PENAMPANG: Kegiatan tiga sekawan yang disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini berakhir apabila mereka diberkas polis dalam satu operasi, semalam. Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditahan sepasukan polis, selain sebuah motosikal serta anak kunci motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil curian turut dirampas. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, penahanan itu adalah hasil tindakan dan siasatan polis terhadap kes kecurian motosikal di daerah berkenaan. Katanya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala barang rampasan turut dibawa untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri kenderaan motor. “Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sammy berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kenderaan dikunci sempurna, menggunakan kunci keselamatan tambahan serta meletakkan kenderaan di kawasan terang dan selamat. “Masyarakat juga diseru supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu, kenderaan atau sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya. – Info X
August 11, 2026
Info X Reporters
KM pastikan Tuaran terus membangun dan maju
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengulangi komitmennya untuk memastikan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tuaran menerima limpahan pembangunan sama seperti kawasan lain di Sabah. Beliau berkata, sebagai Ketua Menteri dari Tuaran, menjadi tanggungjawabnya untuk membangunkan bukan saja kawasan yang diwakilinya di DUN Sulaman, malah memastikan DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu turut menerima kemajuan. Katanya, beliau sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat di daerah ini dan membawa pembangunan yang sewajarnya, sejajar dengan kedudukan Tuaran sebagai daerah asal Ketua Menteri sekarang. “Jadi saya sentiasa mencari jalan untuk bantu pastikan kawasan Tuaran, khususnya Sulaman dan Pantai Dalit, termasuk juga Tamparuli dan Kiulu terus membangun dan maju. “Kalau boleh kita mahu daerah Tuaran ini lebih maju atau setara pembangunannya dengan daerah lain di seluruh Sabah, lebih-lebih lagi ini adalah kawasan Ketua Menteri,” katanya. Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan DUN Sulaman dan DUN Pantai Dalit Sesi 2026-2030 serta Penyerahan Bantuan Tunai kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan Tahun 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini. Pada majlis itu, seramai 48 Pengerusi JKKK bagi kawasan DUN Sulaman dan 45 Pengerusi JKKK bagi kawasan DUN Pantai Dalit menerima watikah pelantikan bagi tempoh perkhidmatan 2026 hingga 2030. Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian bantuan tunai RM3,000 kepada seramai 200 peniaga dan penjaja tepi jalan melalui peruntukan Sentuhan Kasih Hajiji bagi tahun 2026. Ketua Menteri berkata, usaha yang beliau laksanakan itu juga sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan rakyat di Sulaman yang memberikan sokongan berterusan selama 36 tahun beliau mewakili Sulaman, termasuk lima tahun sebagai Ketua Menteri. Katanya, beliau sedaya upaya membawa kemudahan kepada rakyat di Tuaran, lebih-lebih lagi di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada DUN Sulaman seperti jalan kampung dan aktiviti ekonomi untuk manfaat rakyat. Mengenai bantuan tunai RM3,000 melalui Sentuhan Kasih beliau, Hajiji berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban kos ditanggung peniaga kecil di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit dalam menjana pendapatan untuk keluarga. “Ini adalah bantuan tunai Sentuhan Kasih dari saya, setiap tahun ada bantuan kepada peniaga kecil-kecilan ini kerana saya prihatin. Jadi tahun ini saya bagi RM3,000 kepada seramai 200 orang di Sulaman dan Pantai Dalit. “Program ini termasuk dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan inilah antara asas yang perlu kita laksanakan,” katanya. Terdahulu, beliau mengingatkan Pengerusi JKKK supaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai mata dan telinga yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan, termasuk berusaha menyatupadukan rakyat di peringkat akar umbi. Katanya, tugas JKKK bukan hanya melaksanakan projek, malah berperanan untuk menyatupadukan rakyat di kampung masing-masing. “Tugas lebih besar bukan setakat melaksanakan projek, tapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh memberi kesedaran kepada rakyat dan melakukan aktiviti yang membawa kemajuan “Contohnya berganding bahu dengan rakyat melalui aktiviti gotong royong di kampung. Ini boleh diusahakan kerana ia boleh merapatkan silaturahim sesama kita. “Bukan soal semata-mata memohon projek dan lain-lain tapi perkara asas merapatkan silaturahim, kekeluargaan di kampung, gotong-royong, adakan perjumpaan selalu bukan saja dengan AJK, tapi juga orang kampung dalam melahirkan masyarakat bersatu-padu,” katanya. – Info X