March 17, 2026
Info X Reporters
Laksanakan segera hak 40 peratus Sabah – Azis
KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mahu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak 40 peratus hasil Sabah perlu disusuli tindakan segera untuk melaksanakannya. Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata jika perkara itu tidak dipertikaikan, maka Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan segera bayaran balik untuk Sabah dan tidak menangguhkannya. “Kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak Sabah terhadap pulangan hasil 40 peratus seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus disambut dengan satu tindakan yang jelas: pelaksanaan segera hak tersebut. “Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa komitmen terhadap 40 peratus tersebut tidak dipertikaikan dan kerajaan tidak merayu terhadap isu hak itu. “Jika demikian pendirian Kerajaan Persekutuan, maka persoalan yang timbul adalah mudah: mengapa pelaksanaannya masih ditangguhkan?,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa. Beliau berkata, mahkamah sudah membuat keputusan yang jelas berhubung perkara itu dan Kerajaan Persekutuan juga menyatakan tidak membantah hak Sabah terhadap pulangan hasil 40 peratus. Dalam keadaan itu, katanya tiada sebab yang munasabah untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hak yang telah diiktiraf itu. “Alasan bahawa penangguhan dimohon bagi mendapatkan penjelasan terhadap kenyataan dalam penghakiman yang kononnya menyentuh atau mempersoalkan peranan pemimpin terdahulu tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan hak Sabah. “Jika terdapat perkara dalam penghakiman yang ingin diperbetulkan atau diperjelaskan, itu adalah hak Kerajaan Persekutuan untuk memohon kepada mahkamah. “Namun isu pokok dalam perkara ini adalah hak Sabah terhadap pulangan 40 peratus. Memandangkan Kerajaan Persekutuan sendiri mengakui dan tidak mempertikaikan hak tersebut, maka langkah yang wajar adalah melaksanakan pembayaran itu tanpa berlengah,” katanya. Azis mengibaratkan keadaan itu seperti seseorang yang mengakui kereta itu milik orang lain, namun masih memegang kuncinya kerana mahu berbincang dahulu mengenai bagaimana manual kereta itu ditulis. “Hak pemilik kereta itu tidak sepatutnya ditangguhkan hanya kerana perkara lain yang tidak menyentuh pokok hak tersebut. “Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Hak yang telah diiktiraf tidak seharusnya hanya berhenti pada kenyataan atau jaminan semata-mata. “Jika benar Kerajaan Persekutuan ikhlas menghormati semangat MA63 dan hak Sabah, maka ia harus dibuktikan melalui tindakan. Hak 40 peratus itu perlu dilaksanakan segera. “Janji mesti disusuli dengan tindakan,” katanya. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Individu ditahan polis bukan berstatus kanak-kanak – Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pelbagai pihak diminta tidak cuba memanipulasi fakta berhubung kes penangkapan seorang lelaki tanpa dokumen yang juga pelajar sebuah sekolah alternatif dan didakwa masih di bawah umur. Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dalam satu kenyataan, menjelaskan individu terbabit bukan lagi di bawah umur atau masih berstatus kanak-kanak. Katanya, individu itu dianggarkan berusia sekitar 19 tahun berdasarkan beberapa maklumat termasuk rekod Kad Vaksinasi pada 2020 yang menunjukkan beliau berusia 13 tahun pada ketika itu. “Ini secara jelas menunjukkan bahawa naratif yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak kononnya individu tersebut masih berstatus kanak-kanak adalah tidak tepat dan mengelirukan,” katanya mengulas isu tular di media sosial. Beliau berkata, dakwaan bahawa individu terbabit berasal daripada komuniti Bajau Laut juga tidak dapat dimuktamadkan. Jelasnya, ketiadaan dokumen rasmi menjadikan soal identiti termasuk latar belakang bangsa atau kewarganegaraan sebagai sesuatu yang kompleks dan hanya boleh ditentukan melalui proses siasatan oleh pihak berkuasa. “Justeru, isu ini perlu dilihat berasaskan fakta dan peruntukan undang-undang, bukan sentimen atau naratif yang dibina tanpa asas yang kukuh. “Dalam konteks ini juga, adalah tidak wajar untuk mengheret serta memanipulasi kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor mengenai perlindungan kepada komuniti Bajau Laut bagi memutarbelitkan fakta kes. “Prinsip perlindungan kepada mana-mana komuniti tidak pernah sama sekali bermaksud undang-undang negara boleh diketepikan,” katanya. Beliau berkata, dalam mana-mana negara berdaulat, dokumen pengenalan diri menjadi asas pentadbiran undang-undang dan keselamatan negara. Malah, katanya kes seperti itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jelas memperuntukkan tindakan terhadap individu yang gagal mengemukakan dokumen sah. Tegasnya, isu hak asasi manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatasi atau mengabaikan undang-undang yang berkuat kuasa. “Sehubungan itu, kita perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional dan menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat. “Biarlah kes ini ditangani dan diadili mengikut lunas undang-undang negara,” katanya. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Bantuan khas RM57,250 untuk guru SAN Pekan Tambunan
TAMBUNAN: Kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 bagi membantu guru yang terjejas dalam insiden kebakaran Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan. Bantuan khas berupa wang tunai itu disampaikan Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd Rizan Abran dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Pejabat Daerah Tambunan, di sini, pada Selasa. Mohd Rizan berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan beban guru terbabit yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan peribadi akibat kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober 2025. Katanya, kejadian itu bukan saja memusnahkan sebahagian kemudahan sekolah, malah turut menyebabkan bahan pengajaran, peralatan elektronik dan harta peribadi milik guru hangus dijilat api. “Kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran yang dihadapi mangsa terlibat dan berharap bantuan khas ini dapat membantu mereka menggantikan keperluan asas serta peralatan mengajar yang musnah,” katanya. Antara yang menerima bantuan khas itu ialah Guru Besar, Ahmad Subri Janing yang kehilangan komputer riba dan bahan pengajaran apabila pejabat dan peralatan kerja musnah dalam kebakaran terbabit. Turut menerima bantuan khas ialah beberapa guru lain yang kehilangan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), fail pengajaran, buku rujukan, peralatan audio seperti pembesar suara serta barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Aldrin Wong kini Presiden baharu Persatuan Elektrik Sabah
KOTA KINABALU: Persatuan Elektrik Sabah (PES) mengumumkan pelantikan Presiden, Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa baharu bagi sesi 2026 – 2027 dalam satu majlis rasmi yang diadakan di pejabat persatuan itu pada 13 Mac lalu. Pelantikan itu menyaksikan Aldrin Wong Fung Lyong dipilih sebagai Presiden baharu PES bagi menerajui hala tuju persatuan dalam memperkukuh pembangunan industri elektrik di Sabah. Turut menganggotai barisan kepimpinan baharu ialah Danny Wong Yew Hoong sebagai Naib Presiden 1, Simon Poh Chia Chun (Naib Presiden 2), Ho Shi Yin (Setiausaha) dan Evon Ling Pei Hsia sebagai Bendahari. Selain itu, Woo Soo Poo dilantik sebagai Penasihat Kanan manakala Lawrence Yapp Kong Fen sebagai Presiden Terdahulu Terdekat. Barisan Lembaga Pengarah turut dianggotai Shah Fareed Awang Sham, Chong Chi Chung, Vincent Tsen Vui Shung, Ir Peter Wong Neng Kwong, Yong Yee Sun, Chia Cheng Hui, Fo Tzi Min dan Ng Yoke Wah. Aldrin berkata, pembangunan sesebuah persatuan elektrik memerlukan pendekatan strategik yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu pengetahuan asas elektrik, pembangunan ekonomi komuniti dan penambahbaikan alam sekitar. Menurutnya, sebagai sebahagian daripada strategi itu, peningkatan keahlian menjadi keutamaan termasuk mengalu-alukan firma profesional seperti perunding mekanikal dan elektrikal bagi memperkukuh asas persatuan. “Pada masa sama PES juga berusaha meningkatkan keupayaan kontraktor elektrik dengan memastikan mereka memiliki lesen sah serta mematuhi keperluan pihak berkuasa berkaitan. “Ia termasuk Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya. Beliau berkata, PES juga menggalakkan penyertaan pembekal dan pengilang dalam sektor mekanikal serta elektrikal sebagai ahli bagi memberi manfaat kepada komuniti industri, khususnya dalam perkongsian maklumat kejuruteraan dan teknologi terkini. “Kepimpinan baharu turut memberi tumpuan kepada usaha membina pasukan yang padu serta mewujudkan kefahaman bersama mengenai keadaan semasa dan hala tuju masa depan persatuan. “Antara inisiatif awal ialah aktiviti pembinaan pasukan, penjelasan peranan tadbir urus serta penilaian semula misi, visi dan nilai persatuan bagi membina kepercayaan serta komunikasi yang jelas dalam organisasi,” katanya. Tambah beliau, pelan tindakan PES turut merangkumi usaha meningkatkan kesedaran mengenai peranan dan nilai persatuan dalam pasaran serta memperkasa pengetahuan teknikal dan produk dalam kalangan ahli. Selain itu, katanya persatuan itu akan menetapkan jadual tahunan program latihan, membangunkan rangka kerja pembelajaran berterusan serta bekerjasama dengan institusi tempatan untuk menawarkan kursus jangka pendek bagi meningkatkan profesionalisme ahli dan tenaga kerja mereka. Dalam usaha memastikan PES terus relevan dalam industri, persatuan itu juga akan berkongsi kemas kini peraturan serta maklumat industri secara berkala di media sosial, selain menampilkan sorotan ahli. Di samping itu, PES turut merancang menganjurkan makan malam tahunan serta pertemuan sosial berkala bagi mengukuhkan hubungan dan jaringan dalam kalangan ahli. Aldrin berkata, memimpin sesebuah persatuan adalah seperti larian maraton, bukan pecutan, yang memerlukan fokus terhadap tujuan yang jelas, tadbir urus kukuh serta penyampaian nilai berterusan kepada ahli. “Sesebuah persatuan yang kukuh dipimpin oleh pasukan pemimpin yang komited, bukan hanya seorang individu. Setiap jawatankuasa akan mempunyai peranan jelas selaras dengan pelan strategik bagi menyokong lembaga dalam membuat keputusan dan merancang strategi jangka panjang,” katanya. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Yamada Consulting & Spire buka pejabat di Malaysia, perkukuh pelaburan Jepun
KUALA LUMPUR: Yamada Consulting & Spire melakar satu lagi pencapaian penting apabila membuka ruang pejabatnya di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan syarikat itu dalam menghubungkan pelaburan Jepun dengan syarikat tempatan. Majlis perasmian pejabat baharu yang terletak di Menara Mercu Aspire itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Kurup. Ketua Pengarah Urusan Yamada Consulting & Spire (ASEAN & India), Go Sakano berkata, pembukaan pejabat itu menandakan komitmen syarikat dalam memperluas aktiviti melibatkan pelaburan Jepun, termasuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta penyelidikan pasaran di Malaysia. Arthur dalam ucapannya berkata, hubungan antara sumber asli dan pelaburan langsung asing (FDI) kini berada pada tahap kritikal berikutan situasi geopolitik global semasa. “Hasrat kerajaan Malaysia untuk memperkukuh FDI serta keselamatan rantaian bekalan bagi menarik pelaburan dan meningkatkan rantaian nilai menjadi semakin mendesak,” katanya. Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif yang akan diberi tumpuan oleh kementeriannya, termasuk memastikan ketelusan dalam pengurusan penyusutan sumber asli, mengintegrasikan nilai alam semula jadi dalam perancangan ekonomi negara serta meneroka penyelesaian berasaskan alam bagi menangani perubahan iklim. Sementara itu, Sakano menegaskan bahawa konsistensi dan ketelusan dasar merupakan faktor utama dalam menarik pelaburan dari Jepun. Beliau turut memuji Malaysia yang berjaya beralih daripada kebergantungan kepada aktiviti pengekstrakan sumber kepada pendekatan lebih strategik berasaskan inovasi, khususnya dalam industri teknologi tinggi dan hijau. “Corak kerjasama kini berubah daripada pembuatan berasaskan kos kepada kolaborasi strategik yang dipacu inovasi. “Pendekatan ‘co-creation’ menyaksikan syarikat Malaysia semakin berperanan sebagai rakan strategik dan penyedia penyelesaian dalam rantaian nilai global,” katanya. Yamada Consulting & Spire bermula sebagai firma perunding perancangan kewangan pada 1989 sebelum disenaraikan di Jepun pada tahun 2000. Pada 2024, Yamada Consulting bergabung dengan Spire Research and Consulting bagi membentuk organisasi baharu yang kini beroperasi di Asia Tenggara, Asia Selatan serta rantau Timur Tengah dan Afrika Utara. Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang M&A, penyelidikan pasaran dan khidmat nasihat pertumbuhan, syarikat itu terus memperluas kepakaran merentas pelbagai industri dan negara. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
PPM Sabah rampas hampir 18,000 liter diesel, tiga lelaki ditahan
KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis tidak bernombor di Jalan Bunga Raya, semalam. Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 8 malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam menerusi Op Taring Gelora Aidilfitri. Katanya, pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan berkenaan. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima kenderaan telah diubah suai dengan pemasangan tangki simpanan tambahan bagi tujuan menyimpan dan memindahkan minyak diesel secara haram. “Pasukan turut menemukan sebuah tangki simpanan minyak jenis ‘skid tank’ yang mengandungi kira-kira 16,000 liter diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, secara keseluruhan pasukan berjaya merampas sebanyak 17,850 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM76,755. Menurutnya, turut dirampas lima kenderaan yang telah diubah suai serta sebuah tangki simpanan minyak dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM325,205. Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan yang memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat. “Orang awam juga diseru terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan kegiatan seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Qhazanah Sabah bayar zakat perniagaan RM1.2 juta
KOTA KINABALU: Kumpulan Qhazanah Sabah membayar zakat perniagaan bagi tahun lalu sebanyak RM1.235 juta melalui Pusat Zakat Sabah untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri ini. Penyerahan zakat itu dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Mohd Damshal Awang Damit kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad pada Majlis Berbuka Puasa, di sini, pada Isnin. Majlis itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Kumpulan Qhazanah Sabah, Senator Tan Sri Anifah Aman. Sempena majlis itu, Kumpulan Qhazanah Sabah turut menyerahkan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Home Tuaran dan Darul Yatama Yacob Khan, Membakut. Seramai 60 anak yatim dari kedua-dua pusat itu turut diraikan pada majlis berbuka puasa itu. – Info Sabah
March 17, 2026
Info X Reporters
Cadangan ubah 73 bahagian Gagasan Rakyat kepada 25 diterima baik
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api menyatakan sokongan terhadap cadangan penstrukturan semula bahagian parti yang ketika ini berasaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ketua Bahagian PGRS Api-Api, Datuk Faisyal Diego, berkata penstrukturan itu bertujuan memperkukuh struktur organisasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran parti di semua peringkat. Katanya, cadangan untuk mengubah sistem bahagian mengikut kawasan DUN kepada kawasan Parlimen itu adalah langkah yang strategik dan sesuai untuk dilaksanakan. “Cadangan untuk menyusun semula bahagian daripada 73 bahagian kepada 25 bahagian dilihat sebagai satu langkah strategik yang mampu memperkemas penyelarasan kepimpinan, memperkukuhkan organisasi parti dan meningkatkan keberkesanan gerak kerja di peringkat akar umbi. “Langkah ini juga diyakini dapat mewujudkan satu struktur yang lebih tersusun, dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat serta cabaran landskap politik masa kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Katanya, bagi bahagian Api-Api yang diketuainya, perkara itu dibincang pada Mesyuarat Bahagian dan Majlis Berbuka Puasa pada petang Isnin. Pada mesyuarat itu, katanya semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian sebulat suara bersetuju dan menyokong cadangan penstrukturan semula bahagian Gagasan Rakyat sebagai satu langkah yang tepat demi memperkukuhkan lagi organisasi parti. Pada masa yang sama, katanya Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api merakamkan sokongan dan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk terus memimpin negeri dengan komitmen tinggi terhadap kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. “Di bawah kepimpinan beliau, Sabah terus bergerak ke arah kemajuan yang lebih mampan melalui pendekatan pentadbiran yang inklusif, stabil dan berorientasikan masa depan. “Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api berdiri teguh menyokong sepenuhnya usaha penstrukturan semula ini serta komited untuk terus bersama kepimpinan parti dalam memperkukuhkan perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah. – Info X