Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 10, 2026

Info X Reporters

Isu bekalan air, elektrik boleh diselesai segera melalui projek kecil – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu isu berkait kepentingan rakyat, khususnya bekalan air, elektrik, jalan raya, banjir dan sistem saliran, diselesai segera melalui pelaksanaan projek kecil. Beliau berkata, sebahagian isu yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu perlu diselesaikan segera supaya impaknya dapat dirasai rakyat tanpa menunggu pelaksanaan projek berskala besar yang memakan masa panjang. “Sebahagian daripada isu keperluan rakyat yang dibangkitkan pada persidangan DUN lalu harus diselesaikan segera melalui pelaksanaan projek kecil atau atau projek ‘low hanging fruits’ yang berimpak tinggi dan berkos rendah. “Antara isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada sidang DUN baru-baru ini melibatkan isu keperluan rakyat seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, banjir dan sistem saliran, pendidikan dan sebagainya. “Semua isu ini adalah berkaitan dengan keperluan kehidupan rakyat dan sebahagiannya boleh diselesaikan melalui pelaksanaan projek-projek ‘low-hanging fruits’. “Saya ingin menegaskan sekali lagi kepentingan pelaksanaan projek projek ‘low hanging fruits’ sebagai pemangkin strategik pembangunan negeri Sabah. “Walaupun projek-projek mega penting untuk pertumbuhan jangka panjang, projek-projek ‘low-hanging fruits’ ini mampu memberikan impak segera yang dapat dirasai oleh rakyat dan kerajaan dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, dekat sini, pada Isnin. Sehubungan itu, Ketua Menteri mahu segala isu pelaksanaan projek-projek kecil dapat diselesaikan segera agar setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual. “Rakyat menaruh harapan yang tinggi agar manfaat pembangunan ini dapat dinikmati tanpa sebarang kelewatan. “Saya menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana agar terus memperkukuh komitmen, mempererat kerjasama dan meningkatkan penyelarasan strategik bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, teratur dan mengikut jadual ditetapkan,” katanya. Beliau berkata mesyuarat MTPNg harus dimanfaatkan sebagai medium perbincangan yang konstruktif dan berorientasikan penyelesaian serta tindakan supaya setiap isu pelaksanaan dapat ditangani secara proaktif demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat. Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan. Jelasnya, ia penting bagi memastikan setiap dasar, program dan projek pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Negeri Sabah. “Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0, pelaksanaan projek-projek pembangunan perlu terus diperkasakan melalui penyelarasan yang lebih sistematik dan bersepadu antara kementerian, jabatan serta agensi pelaksana. “Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana perlu terus memperkukuh kerjasama dan komunikasi antara agensi di samping mengoptimumkan perkongsian maklumat dan amalan terbaik. “Saya yakin melalui iltizam dan sinergi yang kukuh, kita mampu memastikan setiap projek pembangunan dapat disempurnakan dengan jayanya, sekali gus mempercepatkan kemajuan negeri Sabah serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup seluruh rakyat,” katanya. Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri-Menteri Kabinet negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud. Mesyuarat MTPNg kali ini turut disertai buat kali pertama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, Datuk Zainudin Aman bersama Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah ICU JPM Sabah, Datuk Samsul Dollah. – Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

2026 titik mula era baharu politik Sabah – Ewon

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mahu 2026 menjadi titik mula kepada era baharu politik Sabah yang berteraskan kerjasama, perpaduan dan kepentingan masa depan negeri serta rakyat. Beliau berkata, penyertaan UPKO dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuka ruang kepada parti itu untuk bersama-sama memperkukuh kesatuan politik Sabah serta memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri. “Marilah menjadikan tahun 2026 ini sebagai titik mula era baharu dalam politik Sabah, menjadikan sejarah parti masing-masing yang lepas sebagai ikhtibar dan teladan. “Sabah memerlukan fokus besar dalam menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0. Fokus besar ini pastinya akan dapat dibina, dikemaskan, digerakkan dan dijayakan apabila semua kita bersetuju bahawa masa depan Sabah dan rakyatnya harus menjadi agenda tunggal kita bersama,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, pada Ahad. Ewon berkata, UPKO hadir dalam GRS dengan semangat persahabatan dan kerjasama, selain mahu menyumbang kepada kekuatan sedia ada gabungan itu. Katanya, kerjasama itu penting dalam memperkukuh agenda pembangunan rakyat serta perjuangan menuntut pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Kalau selama ini saya bersama-sama dengan Datuk Armizan Mohd Ali bersatu memperjuang dan menuntut pelaksanaan MA63 melalui Kabinet Persekutuan, hari ini kerjasama ini disatukan melalui penyertaan UPKO dalam GRS,” katanya. Katanya, UPKO memperakui prestasi kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, khususnya dalam penyelesaian perkara berkaitan tuntutan MA63. Beliau berkata, setakat ini sebanyak 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah dilaksanakan sepenuhnya, termasuk 11 perkara berkaitan Sabah. “Kesemua perkara yang telah dilaksanakan sepenuhnya ini telah dimuktamadkan dan diselesaikan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya. Ewon berkata, UPKO juga melihat pertalian antara parti itu dan GRS sebagai sesuatu yang semula jadi melalui semangat Kinabalu yang menjadi simbol kedua-dua organisasi. “UPKO menggunakan Gunung Kinabalu sebagai benderanya. GRS juga menggunakan Gunung Kinabalu sebagai latar logonya. Maka sebenarnya pertalian ini sudah semulajadi terbina melalui semangat Kinabalu yang menyatukan kita semua,” katanya. Beliau berkata, sepanjang 32 tahun penubuhannya, UPKO telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan landskap politik di peringkat nasional serta Sabah. Katanya, sepanjang tempoh itu, UPKO sentiasa menjadikan Wawasan dan Agenda Sabah First sebagai asas perjuangan, perkhidmatan dan pelayanan kepada rakyat. “Berada dalam GRS, izinkan UPKO menyumbang kepada kekuatan sedia ada GRS terutama menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 berasaskan kepada Wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper,” katanya. Ewon berkata, beliau percaya Sabah di bawah kepimpinan Hajiji dengan sokongan semua parti komponen GRS akan memasuki era yang lebih baik. Beliau turut menyeru semua pihak supaya memberi tumpuan kepada masa depan Sabah dan rakyat serta tidak lagi terikat dengan sejarah politik parti masing-masing. “Mudah-mudahan perjalanan 32 tahun bagi UPKO yang seterusnya kekal relevan melalui GRS agar sama-sama kita membina negara Bangsa Malaysia yang lebih baik dan masa depan Sabah yang lebih makmur,” katanya. – Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

Aksi pra musim bina kombinasi pemain Sang Badak

KOTA KINABALU: Aksi pra musim bersama kelab dari luar dijadikan sandaran Sabah FC untuk membina keserasian dan kombinasi pemain bagi menghadapi musim baharu Liga Super 2026/2027. Pengurus Sabah FC, Muhd Arziz Afizy Rumsani, berkata Sabah FC beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan dengan kelab luar sebelum melangkah ke perlawanan pertama Liga Super pada 23 Ogos ini, masing-masing dari Brunei dan Indonesia. Malam tadi berlangsung aksi persahabatan yang pertama di Stadium Likas yang menyaksikan Sabah FC menewaskan kelab dari Brunei, Kasuka FC, 3-0, menerusi jaringan dua pemain import baharunya, Gonzalo Di Renzo dan Park Jungbin. “Sabah FC sedang membuat persiapan dan kita sudah bersedia untuk menghadapi musim baharu Liga Super dan alhamdulillah hari ini (malam tadi) kita mempunyai perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Brunei, Kasuka FC. “Seterusnya, kita akan mengadakan perlawanan pra-musim di Bali, Indonesia yang mana pada 13 Ogos ini kita akan bertemu dengan Bali United dan seterusnya perlawanan yang kedua di sana nanti kita akan bertemu dengan Persib Bandung. “Menerusi perlawanan persahabatan atau pra musim ini kita lebih memfokuskan kepada kombinasi pemain di padang dan ini sangat pentinglah untuk persiapan kita untuk menghadapi Liga Super 2026/2027,” katanya ditemui selepas aksi pra musim malam tadi. Selain aksi persahabatan dengan kelab luar, Sabah FC sebelum ini turut turun ke Keningau bertemu kelab tempatan Sabah di Kompleks Sukan Keningau. Sabah FC sebelum ini mengumumkan kemasukan lima pemain import baharu, selain beberapa pemain tempatan bagi memperkukuh pasukan bersama pemain sedia ada yang dikekalkan. Selain Gonzalo Di Renzo dan Park Jungbin yang masing-masing berasal dari Argentina dan Korea Selatan, tiga lagi import baharu Sang Badak ialah Oskari Kekkonen dari Filipina, Kike Lopez atau Kadete (Sepanyol) dan Juan Flere juga dari Argentina. Antara pemain sedia ada Sabah FC yang kekal ialah Darren Lok, Dominic Tan, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu, Dane Ingham, Rawilson Batuil dan R Dinesh, manakala pemain baharu tempatan antaranya, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli dan Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam, kedua-duanya dari Kedah. Sementara itu, Muhd Arziz Afizy menyifatkan kesebelasan utama Sabah kali ini sebagai pemain yang positif dan mampu melakukan yang terbaik untuk skuad Sang Badak pada musim baharu ini. Beliau turut menyatakan harapannya terhadap sokongan berterusan penyokong Sabah FC untuk mengembalikan semula kedudukan terbaik pasukan setelah jatuh pada musim lalu. “Kepada seluruh penyokong Sabah FC, kita mengharapkan sokongan yang padu pada musim 2026/2027 untuk menghadapi Liga Malaysia ini. “Kita mohon kepada semua penyokong teruslah menyokong kita kerana penyokong adalah kekuatan dan juga semangat pasukan ini untuk berjuang dalam saingan Liga Malaysia tahun ini,” katanya.- Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

Mengamuk, pukul adik tiri guna batang penyapu

TAWAU: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun berdepan pengalaman menakutkan apabila dipukul abang tirinya menggunakan batang penyapu di sebuah rumah di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam. Lelaki warga asing berusia 40-an itu turut disyaki mengugut mahu menggantung adik-adiknya sekiranya ibu mereka keluar bekerja. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika suspek dipercayai mengamuk sebelum bertindak memukul adik tirinya. Katanya, ibu mangsa kemudian menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu kepada polis yang segera menjalankan tindakan susulan. “Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 2 petang di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Aman, Batu 3, Jalan Apas. “Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan. Menurut Rosdi, kejadian itu bukan kali pertama berlaku apabila suspek dikatakan sering mengamuk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarga berkenaan. Katanya, suspek turut disyaki mengugut mahu menggantung adik-adiknya sekiranya ibu mereka pergi bekerja. “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan penganiayaan atau mengancam keselamatan kanak-kanak. Katanya, siasatan turut dijalankan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772121, menerusi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

Pengembalian 40 peratus hasil Persekutuan hak terbesar Sabah, kerajaan terus tuntut – KM

PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut hak 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui rundingan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata hak 40 peratus adalah hak terbesar Sabah dalam MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. “Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan Government to Government (G to G) dengan Kerajaan Persekutuan. “Ini kerana hak 40 peratus adalah hak terbesar kita dalam MA63, juga seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, pada Ahad. Hajiji berkata, pendirian Kerajaan Negeri itu akan terus dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang pada 3 Ogos lalu di Putrajaya dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick sebagai antara delegasi Kerajaan Negeri. Katanya, sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, termasuk kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar. Mengenai perkembangan tuntutan 40 peratus, beliau berkata walaupun ia belum dilaksanakan sepenuhnya termasuk satu rayuan berkaitan oleh Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan, Kerajaan Sabah menerima pelaksanaan secara interim yang dahulunya hanya RM26 juta tetapi kini ditambah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini. “Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri meningkatkan jumlah bayaran interim ini dan kita akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap di Sabah, membina jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda-agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR). “Pendek kata, apa yang kita perolehi daripada Kerajaan Persekutuan, kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya. Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri terus memberi fokus besar kepada prestasi kewangan dan peningkatan jumlah kutipan hasil, dengan jumlah kutipan berjaya dikekalkan mencecah RM7 bilion setiap tahun sejak 2022 dan dijangka meningkat sehingga RM8 bilion tahun ini. Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga membangunkan daya tahan ekonomi walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran domestik dan global, sekali gus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang strategik. “Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan, iaitu hampir 208 peratus berbanding pada tahun 2024,” katanya. Hajiji berkata, kesemua usaha kerajaan itu bertujuan membina kemakmuran ekonomi rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah serta limpahan aktiviti ekonomi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan adanya pelaburan berimpak tinggi di Sabah. Beliau berkata, melalui kerjasama strategik dengan PETRONAS di bawah Commercial Collaborative Agreement (CCA), Kerajaan Negeri juga berjaya meningkatkan pegangan ekuiti dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah, di samping membuka ruang penyertaan lebih banyak syarikat tempatan Sabah dalam pembangunan industri berkenaan. “Untuk makluman, kita sedang memuktamadkan untuk memperoleh 40 peratus ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) di Sabah, di samping 30 peratus lagi pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas yang baharu di Pantai Timur. InsyaAllah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam waktu terdekat,” katanya. Katanya, kerajaan negeri juga akan membangunkan taman-taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud dan Hab Ekonomi Biru di Kudat bagi melonjakkan lagi kadar pelaburan di negeri ini, sekali gus meningkatkan aktiviti rantaian ekonomi domestik. – Info X

August 9, 2026

Info X Reporters

Warisan, KDM dan STAR dijangka bergabung hadapi PRU16

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mendedahkan kemungkinan akan bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Masyarakat (KDM) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang. Shafie menyatakan kemungkinan kerjasama itu ketika ditanya wartawan, sama ada mereka akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen pada PRU16 nanti. “Kita akan lihat dulu, kita tengah teliti secara terperinci, apa yang penting kita perlu menang pilihan raya ini. “Keduanya, saya juga telah halusi perbicangan dengan rakan-rakan saya sama ada STAR, sama ada parti KDM dilihat seumpama itu bagaimana, kalau dilihat ianya satu dapat kita realisasikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan, di sini, hari ini. Bekas ketua menteri itu bagaimanapun enggan mendedahkan bagaimana kerjasama itu akan berlaku, namun menegaskan apa yang penting suara rakyat Sabah harus kuat di Parlimen. “Belum muktamadkan perkara yang perlu dibuat, saya belum mahu mendedahkan dulu…tapi saya rasa jelas di fikiran rakyat ketika ini, mereka mahu suara orang Sabah,” katanya. Beliau turut berkata, adalah penting kerusi-kerusi di Sabah dimenangi oleh ‘anak Sabah’ atau parti tempatan bagi membolehkan suara-suara rakyat Sabah terus didengar kerajaan. “Jadi 25 kerusi ini yang pentingnya bagilah kepada anak Sabah…di Semenanjung 166 kerusi dan selepas itu kita cuma 25, sudahlah kamu mau (ambil) lebih 160 kerusi, kami (di Sabah) yang hanya ada 25 kerusi kamu mau ambil lagi, mana orang Sabah punya suara ini?,” katanya. – Info X

August 9, 2026

Info X Reporters

Pengedar ekstasi rempuh kereta cuba lolos

PENAMPANG: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah nekad merempuh sebuah kereta ketika cuba meloloskan diri daripada polis dalam operasi di Jalan Penampang Baru, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, suspek berusia 26 tahun yang memandu Perodua Axia turut bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum berjaya diberkas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas mengesan kenderaan terbabit yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Katanya, ketika pasukan polis cuba menahan kenderaan berkenaan, suspek bertindak merempuh sebuah Proton Saga yang menghalang laluannya dalam cubaan melarikan diri. “Selepas kenderaan berjaya ditahan, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis. “Pasukan serbuan kemudian menggunakan kekerasan minimum sebelum berjaya menahan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, hasil soal siasat awal membawa kepada penemuan sebuah bekas lutsinar yang mengandungi paket plastik disyaki berisi dadah jenis ekstasi. “Pemeriksaan lanjut menemui 11 paket plastik berwarna perak bertulisan ‘PUMPKINS’ dan berlogo labu mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan berat keseluruhan 370.74 gram. “Polis turut merampas sebuah Perodua Axia dan telefon bimbit iPhone 15 Pro untuk siasatan lanjut,” katanya. Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu bas pelancong dibawa bersama semua barang rampasan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut. “Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X

August 9, 2026

Info X Reporters

Terlupa letak gear ‘P’, SUV terbabas masuk balai pelepasan KKIA

KOTA KINABALU: Gara-gara dipercayai terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ (park), sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bergerak sendiri sebelum terbabas merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang kelmarin. Kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu berlaku ketika pemandunya, wanita berusia 66 tahun, berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai terlupa meletakkan gear kenderaan pada kedudukan ‘P’ ketika hendak bertukar pemandu. Katanya, ketika cuba keluar, SUV berkenaan mula bergerak perlahan menyebabkan wanita itu panik sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak. “Keadaan itu menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan dan melanggar sebuah kenderaan lain. “SUV berkenaan kemudian terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA sebelum melanggar sebuah tiang bangunan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, wanita berkenaan sempat keluar daripada SUV sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka akibat terkena serpihan kaca. Katanya, mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan selain memandu secara cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Terdahulu, kejadian SUV terbabas memasuki bangunan KKIA itu menarik perhatian orang ramai selepas rakaman dan gambar keadaan kenderaan di dalam balai pelepasan tersebar di media sosial. – Info X