March 16, 2026
Info X Reporters
Lima mangsa pemerdagangan orang diselamatkan Polis Sabah
KOTA KINABALU: Polis Sabah menyelamatkan lima individu, termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam operasi khas di beberapa kawasan ladang di negeri ini, baru-baru ini. Operasi dikenali sebagai Op Pintas Bilangan 2/2026 itu dijalankan Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bahagian Siasatan Jenayah daerah. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan berkaitan eksploitasi pekerja ladang. Katanya, serbuan dijalankan pada 14 hingga 15 Mac lalu di beberapa kawasan ladang di daerah Kunak, Kinabatangan dan Beluran. “Dalam operasi ini, polis berjaya menyelamatkan lima mangsa pemerdagangan orang termasuk seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi pekerjaan. “Pada masa sama, seramai 16 individu turut ditahan termasuk penyelia ladang, pekerja warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang dipercayai terlibat dalam pengurusan pekerja di ladang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati sebahagian pekerja yang ditemui bekerja tanpa dokumen perjalanan sah. Selain itu, katanya, terdapat juga unsur eksploitasi pekerjaan seperti pasport pekerja dipegang oleh majikan, kadar gaji rendah serta keadaan tempat tinggal pekerja yang tidak kondusif. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) selain beberapa peruntukan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63. Jauteh berkata, mangsa yang diselamatkan dibawa untuk pemeriksaan kesihatan serta menjalani proses perlindungan lanjut, manakala semua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membantu siasatan. Beliau berkata, PDRM Sabah akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja dapat dibanteras. “Orang ramai juga dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
PADUNEGERI platform penting perkukuh keharmonian kaum di Sabah
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata jawatankuasa itu menjadi platform untuk membincangkan isu berkaitan yang mungkin timbul. “Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat PADUNEGERI Sabah yang pertama bagi tahun ini, di sini, pada Isnin. Julita berkata usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sebaliknya memerlukan penglibatan serta komitmen pelbagai pihak berkepentingan. “Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia juga perlu disokong oleh rakan strategik, pemegang taruh serta kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya. PADUNEGERI katanya berfungsi sebagai forum untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan, menjelaskan perkara semasa yang mungkin timbul di peringkat akar umbi serta mencadangkan inisiatif bagi terus memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat. Jawatankuasa itu dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam inisiatif berkaitan perpaduan, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah bertindak sebagai sekretariat. Julita turut berharap platform berkenaan akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah. Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal dan Setiausaha Tetap, Datuk Maria Chong serta Pengarah JPNIN Sabah, Rina Ab Harun. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Suspek tetak anggota PGA ditahan selepas lebih tiga bulan diburu
KENINGAU: Selepas lebih tiga bulan diburu polis, seorang lelaki yang dikehendaki bagi kes mendatangkan cedera parah terhadap seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akhirnya diberkas dalam serbuan di Kampung Pauh Tulid, Sook, Sabtu lalu. Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan jam 7.40 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes serangan menggunakan senjata tajam yang berlaku pada Disember tahun lalu. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya. “Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 9 Disember 2025, mangsa seorang anggota polis lelaki berusia 39 tahun diserang dipercayai menggunakan pedang jenis samurai di tepi jalan Kampung Pauh Tulid, Sook. “Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk patah ibu jari kiri selain luka tetakan pada bahagian belakang badan dan lengan bawah tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sook sebelum laporan polis dibuat bagi memulakan siasatan. Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit menyerang mangsa dalam kejadian berkenaan. “Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. “Suspek kini direman selama lima hari bermula semalam hingga 20 Mac bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. Yampil berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan selepas gagal tunjuk dokumen pengenalan
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan polis selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dalam operasi cegah jenayah di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman, di sini, semalam. Penahanan dilakukan kira-kira jam 3 petang, oleh sepasukan anggota Task force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan Ops Cegah Jenayah susulan peningkatan kes kecurian di kawasan berkenaan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, lelaki terbabit ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dijalankan. “Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia. “Suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, satu rakaman video berkaitan tangkapan itu turut tular di media sosial Facebook. “Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kewarganegaraan suspek,” katanya. Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah di lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara. Sejak semalam, kejadian berkenaan mendapat perhatian selepas satu hantaran tular di media sosial mendakwa seorang pelajar sekolah alternatif berusia bawah 18 tahun, dikenali sebagai Niko, ditahan dan digari ketika sedang menjalankan aktiviti kebajikan membeli barangan Aidilfitri untuk golongan asnaf. Hantaran itu turut mendakwa surat kebenaran yang dibawa pelajar terbabit tidak diendahkan selain wakil penjaganya dihalau di ruang lobi IPD Kota Kinabalu, di Kepayan. Dakwaan berkenaan turut mencetuskan reaksi pelbagai pihak di media sosial yang menuntut penjelasan lanjut berhubung kejadian terbabit. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Askar hilang di Pulau Pandanan, polis mohon bantuan orang ramai
SEMPORNA: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang selepas tidak ditemui di pos penempatan Pulau Pandanan, di sini, sejak pagi Jumaat lalu. Anggota tentera terbabit dikenali sebagai Fredenick anak Petrus, 21, berketurunan Iban dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Johor. Kehilangan mangsa disedari kira-kira jam 7 pagi pada 14 Mac lalu ketika pemeriksaan barisan pagi di pos penempatan berkenaan. Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Daerah Semporna, hari ini, pegawai renjer tentera, Mohd Azhar Sainuddin, memaklumkan bahawa anggotanya itu tidak berada di pos penempatan Pulau Pandanan semasa pemeriksaan dilakukan. “Susulan itu, usaha pencarian segera dijalankan oleh anggota di sekitar kawasan pos penempatan terbabit, namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya. Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menemui mangsa diminta tampil membantu siasatan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke balai polis berhampiran. “Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mengesan mangsa,” katanya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
PGA, KPDN tahan dua lelaki seleweng diesel, petrol di Semporna
SEMPORNA: Cubaan dua lelaki dipercayai menyeleweng minyak diesel dan petrol gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring Bravo 1) di sebuah stesen minyak di Kilometer 3, di sini, petang semalam. Serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu dijalankan Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna. Menerusi kenyataan di laman Facebook Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pagi ini, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan dibuat ke atas sebuah Toyota Hilux di lokasi berkenaan. Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 13 gelen putih berisi diesel, empat gelen putih berisi petrol serta satu gelen kosong yang disimpan tanpa sebarang dokumen atau permit jual beli sah. “Dua individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan turut ditahan untuk tindakan lanjut. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli minyak diesel dan petrol melebihi had yang dibenarkan tanpa permit sah sebelum dihantar ke sebuah resort di kawasan perairan Semporna,” menurut kenyataan itu. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM131,025.75 merangkumi bahan bakar bernilai RM1,025.75 serta sebuah Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM130,000. “Kes diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961. “Operasi itu sekali gus memperlihatkan ketegasan serta komitmen Task Force Perisikan Batalion 22 PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan minyak di kawasan tanggungjawab terutama di perairan dan sempadan Sabah. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Remaja jatuh sungai ditemui lemas
TUARAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai sebelum gagal timbul berdasarkan maklumat awal yang dimaklumkan oleh rakan mangsa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.03 petang. “Sepasukan anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi. “Menurut maklumat awal, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan tidak timbul sebelum rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang awam yang berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah berjaya ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia. “Pasukan bomba kemudian mengambil maklumat di lokasi kejadian dan memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya. Operasi berkenaan membabitkan tiga anggota BBP Tuaran yang digerakkan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis D-Max. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Sabah alu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan bantu rakyat
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan pendekatan strategik Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat, termasuk penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjelang sambutan Aidilfitri. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah berkenaan mampu meringankan beban rakyat membuat persiapan perayaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. Selain itu, katanya, inisiatif bantuan khas RM400 menerusi program FlySiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena cuti Hari Raya turut memberi manfaat besar kepada golongan mahasiswa. “Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan tambahan sebanyak RM600 kepada pelajar anak Sabah yang menuntut di Semenanjung dan Sarawak bagi subsidi tiket penerbangan pulang ke kampung halaman. “Bagi pelajar yang menuntut di dalam negeri pula, mereka akan menerima bantuan RM300 seorang untuk perbelanjaan pulang menyambut Aidilfitri,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Bersama Perdana Menteri di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Ahad. Hajiji berkata, pelbagai insentif yang disediakan kerajaan Persekutuan dan negeri itu mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. Pada masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta memacu kemajuan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Katanya, kepimpinan PMX juga berjaya memulihkan serta memperkukuh ekonomi negara dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan. Katanya, Malaysia mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah tahun lalu berjumlah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding 2024, melibatkan lebih 8,000 projek pelaburan dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat. Hajiji berkata, pengukuhan nilai ringgit pada masa sama turut mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI. Sebelum menghadiri majlis berkenaan, PMX diiringi Ketua Menteri turut mengadakan sesi tinjauan Bazar Ramadan dan menyantuni rakyat di kawasan Universiti Apartment (UA), Sepanggar. – Info X