Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 9, 2026

Info X Reporters

Mekanik didenda RM6,000 selepas mengaku miliki video, gambar lucah bekas teman wanita

PAPAR: Seorang lelaki didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis. Tertuduh berumur 27 tahun yang bekerja sebagai mekanik itu membuat pengakuan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa selepas dibacakan pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan lucah iaitu 13 video dan satu gambar lucah di dalam telefon bimbitnya ketika berada di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar pada jam 5 petang, 5 Julai lalu. Berikutan itu, Majistret menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayarnya. Bagaimanapun, tertuduh dapat membayar denda berkenaan. Terdahulu, perbuatan tertuduh menyimpan bahan lucah diketahui selepas bekas teman wanitanya membuat laporan polis mengatakan diugut bekas teman lelakinya itu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengugut untuk menyebarkan video dan gambar hubungan intim bersama bekas teman wanitanya yang diambil tanpa persetujuan. Ugutan itu dibuat selepas hubungan mereka berakhir hingga menyebabkan mangsa yang berumur 23 tahun mengalami tekanan emosi, trauma dan ketakutan. Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan tertuduh pada 5 Julai lalu dan rampasan dua unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis IPD Papar, Inspektor Amir Khuzairi Ahmad, manakala siasatan kes oleh Inspektor Desmond Tanggapan. Tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X

July 9, 2026

Info X Reporters

Cuba seludup minuman keras dari Labuan, dua lelaki dipenjara 3 bulan selepas gagal bayar denda

LABUAN: Dua lelaki tempatan dipenjara tiga bulan selepas masing-masing gagal membayar denda RM10,000 atas kesalahan mengangkut barang tidak berkastam yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Labuan, di sini, pada Rabu. Tertuduh berumur 25 dan 32 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut 86 botol minuman keras pelbagai jenama yang belum dibayar duti kastam pada April lalu. Mereka didakwa membawa barangan itu dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpamembuat pengikraran kastam dan menjelaskan duti import mengikut Akta Kastam 1967. Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(ii) Akta Kastam 1967. Selepas mengaku bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang atau jika gagal membayar denda, berdepan penjara selama tiga bulan. Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda berkenaan. Mahkamah turut memerintahkan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan ketika cubaan menyeludup dilucut hak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967. Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh disyaki melakukan kesalahan itu menerusi pemeriksaan yang dijalankan pegawai JKDM Labuan di Terminal Feri Kenderaan, di sini, pada 27 April 2026. Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda menemukan sebanyak 86 botol minuman keras import pelbagai jenama yang disembunyikan dalam ruang khas yang diubahsuai di bahagian lantai belakang kenderaan terbabit. Minuman keras berkenaan dipercayai cuba dibawa keluar dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Menumbok, Sabah tanpa membuat pengikraran kastam dan pembayaran duti import. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Said Hamid Said Idrus. Sementaea itu, Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah, berkata JKDM akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan atau cubaan mengelak duti kastam. Tegasnya, ia adalah satu kesalahan yang bukan saja melanggar undang-undang, malah menyebabkan ketirisan hasil negara. Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967, khususnya berkaitan pengangkutan barang dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Kawasan Utama Kastam. “Semua barang yang tertakluk kepada duti hendaklah diikrarkan kepada JKDM dan duti yang berkaitan hendaklah dijelaskan sebelum dibawa keluar dari Wilayah Persekutuan Labuan. “Kegagalan mematuhi kehendakundang-undang boleh mengakibatkan tindakan pendakwaan, hukuman denda, pemenjaraan serta pelucuthakan barang dan kenderaan yang digunakan ketika melakukan kesalahan. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan juga disaran menyalurkan maklumat kepada JKDM bagi membantu membanteras jenayah penyeludupan dan melindungi hasil negara,” katanya.- Info X

July 9, 2026

Info X Reporters

Operasi Tapis Bersepadu: Pengedar syabu, ketum dicekup, 30 PATI ditahan

TAWAU: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah diberkas bersama lebih 50 gram syabu, manakala 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Tapis Bersepadu Bilangan 1/2026 di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini. Operasi selama dua hari bermula 7 hingga 8 Julai itu turut membawa kepada penahanan 31 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan ketum. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa. Katanya, seramai 169 pegawai, anggota dan petugas daripada IPD Tawau, IPD Semporna, IPD Kunak, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terbabit dalam operasi itu. “Hasil operasi, polis menahan seorang suspek mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah dan merampas 50.35 gram syabu. “Seorang lagi individu ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas memiliki 0.24 gram syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, polis turut menahan seorang suspek mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 selepas merampas sembilan liter cecair ketum dan 2,351.65 gram serbuk ketum. Selain itu, katanya, 28 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah. “Seramai 36 individu menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 28 didapati positif dadah manakala lapan lagi negatif,” katanya. Menurutnya, operasi sama turut seramai 30 individu diambil tindakan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Tawau kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen. Dalam pada itu, JPJ Tawau mengeluarkan 66 saman dan notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi dijalankan. Wilynton berkata, polis akan terus memperhebat operasi bersepadu serta tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah selain meningkatkan pematuhan undang-undang demi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini. Beliau turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras jenayah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.- Info X

July 9, 2026

Info X Reporters

Projek pembangunan bercampur di Tuaran, ladang tenusu di Keningau bakal lonjak ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Dua projek berskala besar bakal dibangunkan di Tuaran dan Keningau, masing-masing membabitkan pembangunan bercampur dan industri tenusu yang disasar mampu membantu Sabah ke arah mencapai pendapatan RM120 bilion setahun. Cadangan pelaksanaan projek itu masing-masing dibuat menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan KTI Sdn Bhd di Tuaran, manakala LIGS bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah dan Farm Fresh Berhad di Keningau. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata dua MoU itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah, selaras aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM85 bilion ketika ini kepada RM120 bilion setahun. Beliau berkata, sasaran itu memerlukan usaha bersepadu melibatkan kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah, selain mempercepatkan kepelbagaian ekonomi daripada pergantungan kepada sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi. “Ini bukan sekadar angka di atas kertas tetapi satu wawasan besar yang memerlukan usaha bersepadu daripada kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah seluruhnya. “Untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mempercepatkan kepelbagaian ekonomi negeri daripada pergantungan tradisional terhadap sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi seperti pembangunan hartanah bercampur, perindustrian serta pertanian moden termasuk industri tenusu,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU, di sini, pada Khamis. MoU di antara LIGS dan KTI Sdn Bhd membabitkan cadangan projek pembangunan bercampur seluas 500 ekar di Tuaran yang merangkumi pembinaan lot kedai, rumah teres, apartmen dan kawasan perindustrian. Jamawi berkata, cadangan itu mempunyai potensi besar sejajar dengan kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama untuk ke utara dan pantai timur negeri ini. “Saya amat menyokong cadangan ini kerana kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama ke utara dan pantai timur Sabah menjadikannya berpotensi besar sebagai pusat persinggahan dan pertumbuhan ekonomi baharu, terutamanya bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan,” katanya. Sementara itu, MoU kedua yang membabitkan kerjasama di antara LIGS, DVS Sabah dan Farm Fresh adalah untuk meneroka pembangunan ladang tenusu komersial berskala besar menerusi projek Keningau Dairy Valley. Jamawi berkata, projek berkenaan bakal membawa pelaburan swasta dan kepakaran teknikal untuk memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan kadar sara diri pengeluaran susu segar, daging dan produk tenusu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kepada penternak serta rakyat Sabah. Beliau berkata, walaupun kedua-dua MoU itu masih di peringkat tanda hasrat dan belum menjadi komitmen muktamad, ia adalah langkah awal yang penting ke arah pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada negeri. “Jika direalisasikan dengan jayanya, ia bukan saja akan merancakkan ekonomi di peringkat daerah iaitu Tuaran dan Keningau, malah turut menyumbang secara signifikan ke arah sasaran besar SMJ 2.0 untuk mencapauli KDNK RM120 bilion setahun. “Ini membuktikan bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, tetapi juga semakin matang dalam menarik pelaburan strategik yang pelbagai daripada hartanah dan perindustrian sehinggalah pertanian dan ternakan moden,” katanya. Jamawi turut meminta KTI supaya memulakan kajian kesesuaian pembangunan di lapangan dengan segera dan membentangkan hasil kajian serta nilai pelaburan kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat. Beliau juga menggesa LIGS memastikan proses kerja di lapangan berjalan lancar, teratur dan telus, manakala Farm Fresh serta DVS Sabah diminta mempercepatkan proses pemuktamadan kerjasama dengan mengambil kira kepentingan penternak tempatan, kelestarian alam sekitar dan kebajikan haiwan. “Kerjasama ini diharap dapat menjadikan Sabah sebagai peneraju baharu industri tenusu negara,” katanya. Jamawi berkata, kedua-dua MoU itu melambangkan semangat Sabah Maju Jaya sebagai negeri yang terbuka kepada pelaburan dan sentiasa meneroka peluang baharu demi kesejahteraan rakyat. “Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan sektor swasta, wawasan besar yang kita tetapkan bersama bukan lagi sekadar impian, tetapi satu realiti yang semakin hampir untuk kita kecapi bersama,” katanya. – Info X

July 9, 2026

Info X Reporters

Helah seludup ganja guna pos laju terbongkar

KOTA KINABALU: Helah menyeludup ganja menggunakan bungkusan pos laju terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan seorang lelaki sebelum memberkas seorang lagi suspek bersama syabu dalam dua operasi berasingan, semalam. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan pertama dilakukan hasil maklumat risikan selepas pihaknya menerima satu bungkusan pos laju daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia yang disyaki mengandungi dadah. Beliau berkata, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Alamesra, kira-kira jam 12.30 tengah hari. “Sebaik ditahan, suspek menyerahkan satu bungkusan pos laju sebelum pemeriksaan lanjut menemui tiga paket plastik mengandungi dadah disyaki ganja seberat 105 gram. “Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, suspek yang berasal dari Keningau dan tidak bekerja itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Dalam operasi berasingan kira-kira jam 7.50 malam, Alhusin berkata, sepasukan anggota JSJN IPK Sabah yang menjalankan Op Gempur Khas menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang sebuah premis di Inanam. “Hasil pemeriksaan ke atas beg kecil yang dipegang suspek menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi keratan tiub straw berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 10.36 gram. “Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya. Beliau berkata, semakan turut mendapati lelaki warga Filipina berusia 36 tahun itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. Alhusin berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha memerangi jenayah berkenaan. – Info X

July 8, 2026

Info X Reporters

Kilang makanan sejuk beku musnah dalam kebakaran

TAWAU: Sebuah kilang makanan sejuk beku di Batu 4, Jalan Apas di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada petang tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.59 petang. Katanya, seramai 31 anggota bersama beberapa jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.11 petang. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis tidak kekal berukuran kira-kira 118 x 110 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.49 malam dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Menurutnya, operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya serta mengelakkan risiko kebakaran berulang. Katanya, operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity. “Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

July 8, 2026

Info X Reporters

Imigresen cari Sitti Junda Pistino

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah sedang mengesan seorang wanita warga Filipina bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63. JIM Sabah dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan supaya tampil membantu siasatan. Wanita yang dikesan itu adalah Sitti Junda Pistino, 54, warga Filipina dengan alamat terakhir di Lorong 2, Kampung Navahiu 2, Jalan Kompimpinan Dabak, Penampang. Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi atau keberadaan wanita terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat TPPI, Enne Eligius, dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah di talian 088-488753 pada waktu pejabat. “Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan JIM Sabah di talian 088-488822 selepas waktu pejabat. “Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu. – Info X

July 8, 2026

Info X Reporters

SAREX ex Limbawan 2026 perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana maritim

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menganjurkan Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 bagi menguji kesiapsiagaan serta keupayaan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dalam menghadapi bencana maritim berskala besar. Program menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu itu berlangsung dengan kerjasama strategik PETRONAS dan PTTEP Sabah Oil Limited. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, latihan itu bertujuan menguji keberkesanan operasi SAR melalui Pelan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) 2022, Prosedur Tetap Operasi CARILAMAT dan OMSAR Guideline bagi operasi mencari dan menyelamat di pelantar minyak. Katanya, latihan berkenaan turut memperkukuh koordinasi, komunikasi dan kerjasama antara semua agensi selain menguji prosedur operasi standard (SOP), keupayaan aset serta kompetensi anggota mengendalikan insiden kecemasan yang membabitkan ramai mangsa. “Latihan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap agensi sentiasa bersedia, memahami peranan masing-masing dan mampu bertindak secara pantas, cekap serta bersepadu sekiranya berlaku insiden sebenar di laut. “Pengalaman serta penambahbaikan hasil latihan ini akan dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat negara,” katanya. Bercakap lanjut beliau berkata, SAREX Ex Limbawan 2026 menjadi latihan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) pertama di Sabah yang menghimpunkan 200 peserta daripada 31 agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta rakan industri. “Latihan berlangsung serentak di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu sebagai Pusat Koordinasi, Jeti Maritim Sepanggar sebagai Pangkalan Operasi CARILAMAT dan perairan Kota Kinabalu sebagai lokasi simulasi operasi. “Senario latihan membabitkan insiden di FPSO Kikeh yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan menyeluruh. “Ketika kerja panas dan pertukaran syif rutin dijalankan, sebuah Accommodation Work Barge (AWB) mengalami kerosakan sistem pemacu semasa proses pemindahan kru menggunakan Personnel Transfer Basket (PTB),” katanya. Katanya, keadaan itu menyebabkan AWB hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan FPSO Kikeh dan mencetuskan insiden MMRO yang membabitkan 382 kru. “Sebanyak 19 aset laut dan darat digerakkan sepanjang latihan membabitkan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia, PETRONAS, PTTEP Malaysia Asset serta agensi berkaitan. “Operasi di lokasi kejadian diselaraskan KM Lahad Datu selaku On-Scene Coordinator (OSC) bagi memastikan tindakan mencari dan menyelamat berjalan secara bersepadu. “Penghargaan turut diberikan kepada semua 31 agensi yang menjayakan SAREX Ex Limbawan 2026 melalui komitmen dan kerjasama erat dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang bencana serta kecemasan di perairan Malaysia,” katanya. – Info X