July 8, 2026
Info X Reporters
Polis siasat dakwaan buli libatkan dua murid sekolah rendah
KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat dakwaan kes buli dan serangan fizikal membabitkan dua murid sebuah sekolah rendah di daerah ini selepas menerima laporan daripada bapa kedua-dua mangsa pada 7 Julai lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Bin Syed Abdul Rahman berkata, laporan dibuat selepas pengadu mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki. Katanya, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai apabila mangsa perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang pada bahagian belakang kepala oleh rakan sekelasnya. “Keesokan harinya, adik mangsa yang turut bersekolah di sekolah sama didakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama. “Akibat kejadian itu, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala mangsa lelaki berada dalam keadaan trauma dan ketakutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan selain melakukan gangguan fizikal di dalam kelas. Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan. Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek selain merakam percakapan mangsa, saksi, guru dan pihak pentadbiran sekolah. “Pemeriksaan perubatan ke atas kedua-dua mangsa juga dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami. “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta identiti kanak-kanak yang terbabit. Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – Info X
July 8, 2026
Info X Reporters
JPJ Sabah kesan lima pemandu perdagangan positif syabu
KOTA KINABALU: Seramai lima pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah selepas menjalani saringan air kencing dalam Operasi Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi penguatkuasaan lain itu bertujuan memastikan pemandu kenderaan perdagangan bebas daripada penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya demi keselamatan pengguna. Beliau berkata, sepanjang operasi bermula 1 Julai lalu, seramai 60 pemandu menjalani saringan awal air kencing oleh AADK dengan lima daripadanya didapati positif methamphetamine atau syabu. “Pemandu yang disahkan positif akan dikenakan tindakan termasuk penahanan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (LV) sehingga siasatan serta tindakan AADK selesai. “Lesen Vokasional akan digantung selama tiga bulan, manakala tindakan menggantung CDL boleh dilaksanakan sekiranya pemandu disabitkan kesalahan atau ditempatkan di pusat pemulihan selepas laporan rasmi AADK diterima,” katanya. Menurutnya, syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah turut berdepan tindakan mengikut syarat pelesenan, termasuk cadangan penggantungan Lesen Pengendali selepas AADK mengesahkan pemandu terbabit positif dadah dan proses pendakwaan di mahkamah selesai. Beliau berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan di lokasi strategik seperti jalan raya, Stesen Pemeriksaan Komputer (SPK) dan terminal bas membabitkan pemandu kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam serta kenderaan pelancongan. Dalam perkembangan sama, Mohd Harris berkata, Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan dari 16 Jun hingga 6 Julai merekodkan sebanyak 3,941 kenderaan diperiksa, dengan 218 kenderaan diambil tindakan, 28 disita dan 588 notis saman dikeluarkan. Beliau menegaskan JPJ Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang memandu di bawah pengaruh dadah dan akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa bagi memastikan jalan raya lebih selamat serta meningkatkan integriti industri pengangkutan negara. – Info X
July 8, 2026
Info X Reporters
Kaji semula syarat BUDI Diesel, bantu pengusaha muda sektor pertanian – Jamawi
KIULU: Syarat kelayakan Program BUDI Diesel perlu dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian, penternakan dan industri makanan menikmati subsidi yang disediakan kerajaan. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kajian itu perlu berikutan ramai pengusaha pertanian tidak layak memohon subsidi diesel kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri. Katanya, perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan golongan berkenaan apabila kerajaan melaksanakan pemberian subsidi bersasar untuk kenderaan berkuasa diesel. Jelasnya, masalah timbuk kerana sebahagian pengusaha, khususnya di luar bandar, memperoleh kenderaan melalui kaedah sambung bayar atau pembiayaan yang ditawarkan syarikat dan bukannya institusi perbankan. “Kita sedia maklum bahawa hanya mereka yang mempunyai hak milik kenderaan dan lesen yang sah boleh menuntut BUDI Diesel. “Namun di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, di sini, pada Selasa. Jamawi berkata, terdapat juga pengusaha yang mendapatkan pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah, namun kenderaan masih didaftarkan atas nama syarikat pembiayaan dan belum dapat dipindah milik kepada pengguna sebenar. “Ini antara kegusaran yang dibangkitkan oleh anak-anak muda. Kita sudah menggalakkan mereka terlibat dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain. “Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sedikit sebanyak ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan serta menyalurkan maklum balas daripada pengusaha di Sabah. “Saya juga akan melibatkan semua agensi pertanian negeri dan Persekutuan untuk berdialog dan menyampaikan isu ini kepada kerajaan supaya usaha anak-anak muda dalam sektor pertanian dapat terus dibantu dan diperkasakan,” katanya. Mengulas mengenai Program Kebun Dapur, Jamawi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih 3,000 pengusaha kecil mengusahakan kebun di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Katanya, jumlah itu menghampiri sasaran lima tahun program berkenaan iaitu 5,000 peserta. “Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial. “Justeru, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya. Beliau berkata, anugerah itu berkemungkinan diperkenalkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung di Tenom pada September ini. Pada masa sama, Jamawi berkata, Jelajah Kebun Dapur akan diperluaskan ke seluruh Sabah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, insentif dan program pembangunan pertanian kepada masyarakat. – Info X
July 7, 2026
Info X Reporters
Sabah beri tentangan sengit, akur NPC pertahan kejuaraan Sukan Muhibah Media
GEORGETOWN: Kontinjen media Sabah mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur dengan kekalahan tipis 2-3 kepada Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) pada Sukan Muhibah Media Sabah-NPC yang berlangsung di Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Julai lalu. Walaupun gagal membawa pulang trofi ke Sabah, kontinjen berkenaan berjaya memberikan saingan sengit kepada juara bertahan yang mengesahkan kejuaraan keseluruhan lebih awal selepas memenangi tiga daripada lima acara yang dipertandingkan. Kejohanan edisi kedua itu mencipta sejarah apabila julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia selepas edisi sulung berlangsung di Kota Kinabalu pada 2022, yang turut dimenangi NPC. Sabah memulakan saingan dengan ketinggalan 0-2 apabila tewas dalam acara pool dengan keputusan 6-15 sebelum turut tunduk 2-10 dalam acara dart pada hari pertama pertandingan. Bagaimanapun, kontinjen Sabah bangkit memperagakan aksi cemerlang pada hari kedua apabila mencatat kemenangan tipis 4-3 dalam acara badminton, sekali gus merapatkan kedudukan keseluruhan kepada 1-2. Harapan Sabah untuk mengheret persaingan ke penentuan acara terakhir bagaimanapun tidak kesampaian apabila NPC menang tipis 22-20 dalam acara boling di Penang Bowl, sekali gus mengesahkan kemenangan keseluruhan 3-1 dan mempertahankan kejuaraan. Sabah kemudian menutup kempen dengan bergaya apabila menewaskan NPC 4-2 dalam acara bola sepak, namun keputusan itu hanya mengurangkan jurang kekalahan kepada 2-3 tanpa mengubah kedudukan keseluruhan. Kejohanan yang dihoskan oleh Kelab Akhbar Pulau Pinang (PPC) itu mempertandingkan lima acara iaitu pool, dart, badminton, boling dan bola sepak. Majlis perasmian disempurnakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai bersama Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan, Pengerusi Kelab Media dan Komunikasi Kota Kinabalu, Christopher Bernard Maskilone serta Presiden PPC, Ang Tong Kai. Kejohanan diakhiri dengan majlis penutupan dan makan tengah hari di Hotel St Giles Wembley Penang pada Ahad yang turut diserikan dengan persembahan muzik oleh RS Murthi dan kumpulan Bluesoids.- Info X
July 7, 2026
Info X Reporters
Kejayaan SMJ 2.0 di tangan penjawat awam – SKN
KOTA KINABALU: Kejayaan merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan seluruh penjawat awam untuk bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun, saling melengkapi dan berkongsi tanggungjawab terhadap matlamat yang sama. Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Zainudin Aman berkata semangat itu menjadi teras Hala Tuju SMJ 2.0 kerana kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau pelan yang dirangka, sebaliknya sejauh mana dasar itu berjaya mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik. Beliau berkata, budaya bekerja secara berasingan atau silo mentaliti perlu ditinggalkan dan digantikan dengan budaya kolaboratif yang menjadikan setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara. “Kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kementerian dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, di samping memperluaskan sinergi bersama sektor swasta, akademia serta komuniti bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak. “Pada masa sama, komunikasi strategik perlu diperkasakan melalui pelaporan prestasi yang telus, penggunaan dashboard pemantauan serta perkongsian data yang berkesan bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa. Beliau berkata, dunia hari ini amat berbeza berbanding sedekad lalu apabila kemajuan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), berkembang begitu pesat dan mengubah landskap dunia, termasuk dalam pelaksanaan tugasan harian sektor awam. “Justeru, SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan AI sebagai pemboleh daya strategik yang akan memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan cara kita merancang, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata, pencapaian SMJ 1.0 membuktikan bahawa apabila dasar yang jelas disokong oleh pelaksanaan yang berkesan, hasilnya mampu memberi manfaat yang nyata kepada negeri dan rakyat. “Bagi SMJ 2.0, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan dinilai bukan dari segi mutu pelaporan tetapi sejauh mana ia memberi impak kepada kesejahteraan rakyat Negeri Sabah,” katanya. Dalam pada itu, Zainudin berkata, hasil pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 6 Julai lalu, beberapa perkara penting dipersetujui bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta pelaksanaan agenda pembangunan di Sabah. Beliau berkata, antaranya ialah pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan projek menerusi konsep Review, Keep and Boost bagi mempercepat proses pengurusan projek di Sabah. Selain itu, katanya, cadangan pewujudan hampir 300 jawatan membabitkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut dipersetujui tanpa memerlukan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO), selain Mesyuarat Perhubungan Antara Negeri dan Persekutuan akan diadakan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan status pelaksanaan serta penyelesaian projek pembangunan. Sehubungan itu, beliau menyeru semua Setiausaha Tetap Kementerian dan Ketua Jabatan supaya memberi penekanan kepada pelaksanaan RKB dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu prosedur kerja sedia ada yang boleh ditambah baik melalui pendekatan RKB. Beliau berkata, setiap kementerian dan jabatan juga perlu mempunyai pelan strategik, pensijilan ISO, Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) dan Good Regulatory Practice (GRP), selain mengintegrasikan teknologi AI ke dalam proses kerja yang telah melalui fasa RKB bagi memaksimumkan kecekapan penyampaian perkhidmatan. Mengulas lanjut, Zainudin berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada kejayaan SMJ 1.0, sebaliknya transformasi yang lebih strategik berasaskan tiga teras utama, iaitu sektor utama pertumbuhan ekonomi merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Katanya, tiga teras itu disokong oleh lima pemboleh daya dengan tiga tumpuan utama, iaitu ekonomi biru, pemanfaatan AI dan pembangunan inklusif bagi memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh Sabah. Dalam pada itu, beliau menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi negeri merangka pelan strategik berteraskan Hala Tuju SMJ 2.0, menjajarkan strategi, inisiatif dan KPI masing-masing dengan pelan pembangunan itu, selain memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara pantas, berkesan dan berimpak. – Info X
July 7, 2026
Info X Reporters
Tokan dadah tumpas, pasangan suami isteri antara enam ditahan JSJN Sabah
KUDAT: Kegiatan sindiket pengedaran dadah di daerah ini terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri dalam beberapa serbuan berasingan, semalam. Dalam operasi itu, polis turut merampas syabu seberat 161.49 gram dianggarkan bernilai RM16,000, selain menyita sebuah kereta Perodua Myvi dan beberapa telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di Kampung Tanjung Kapor sebelum menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Beliau berkata, pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan empat paket syabu seberat keseluruhan 60.54 gram yang disimpan di dalam sebuah beg. “Hasil tindakan susulan kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di kawasan PPR Taman Ehsan, Kudat bagi membantu siasatan. “Dalam operasi berasingan kira-kira jam 8 malam, seorang wanita berusia 24 tahun turut ditahan di belakang Dewan Kampung Muhibbah bersama dua paket syabu seberat 100.95 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, penahanan wanita itu kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga suaminya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada malam sama. Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala wanita terbabit didapati negatif. “Semakan turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. “Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini, selain mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas. “JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan aktiviti jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X
July 7, 2026
Info X Reporters
Warga emas maut kemalangan dua kenderaan
PAPAR: Seorang penunggang motosikal warga emas maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pantai Manis, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar akibat kecederaan parah yang dialaminya. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari Pekan Papar menuju ke Pantai Manis. Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari sebuah simpang sebelum berlaku perlanggaran kerana jarak antara kedua-dua kenderaan terlalu dekat. “Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Satria tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, berwaspada ketika memandu serta memastikan setiap pergerakan keluar masuk simpang dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar,” katanya. – Info X
July 7, 2026
Info X Reporters
Isu projek LPB Sindumin-Beaufort diteliti
KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak meneliti sendiri kemajuan pelaksanaan Pakej Kerja (WP01) dan WP02 Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan mengenai perkembangan di jajaran berkenaan. Lawatan tapak di kedua-dua pakej itu baru-baru ini juga untuk melihat secara dekat cabaran yang dihadapi di lapangan sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaannya. Beliau berkata, lawatan kerja itu memberi tumpuan kepada isu teknikal dan kontraktual yang mempengaruhi pelaksanaan projek, selain menilai setiap isu secara terus bersama agensi pelaksana dan kontraktor. Katanya, sepanjang lawatan itu beliau menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor mengenai status semasa projek, langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan dan hala tuju bagi kedua-dua pakej berkenaan. “Saya percaya lawatan ke tapak amat penting kerana ia memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan sebenar projek. “Ia membolehkan setiap isu disahkan secara langsung dan penyelesaian yang praktikal dikenal pasti berdasarkan keadaan sebenar, bukan semata-mata berdasarkan laporan,” katanya menerusi hantaran di Facebook. Salleh berkata, pemantauan di lapangan juga penting supaya setiap isu pelaksanaan dapat dinilai secara terus bersama agensi dan kontraktor berkaitan, sekali gus membantu mempercepat penyelarasan serta tindakan susulan yang diperlukan di peringkat pelaksanaan dan membuat keputusan. Beliau berkata, susulan lawatan itu, satu laporan akan disediakan untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Katanya, laporan berkenaan akan merangkumi penemuan utama di tapak, cadangan penyelesaian serta hala tuju yang dicadangkan, termasuk perkara yang memerlukan campur tangan kerajaan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. “Setiap kelewatan mempunyai kos. Keutamaan kita ialah memastikan projek-projek infrastruktur dapat disiapkan dengan cekap supaya rakyat Sabah dapat menikmati manfaatnya tanpa kelewatan yang tidak perlu,” katanya. Salleh berkata, WP01 dan WP02 adalah antara pakej terawal Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di bahagian selatan negeri yang meliputi jajaran dari Sindumin di sempadan Sabah-Sarawak hingga ke Beaufort. Jelsnya, WP01 menghubungkan Sindumin dengan Kampung Melalia di Sipitang, manakala WP02 menyambung laluan dari Kampung Melalia ke Klias, Beaufort. Beliau berkata, kedua-dua pakej itu penting kerana menjadi pintu sambungan utama rangkaian Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Merapok. Katanya, selain meningkatkan hubungan jalan raya antara Sipitang dan Beaufort, laluan itu dijangka memperkukuh pergerakan logistik, memudahkan akses penduduk setempat serta mengukuhkan rangkaian pengangkutan di antara Pantai Barat Selatan Sabah dengan daerah lain di negeri ini. Salleh berkata, kepentingan strategik WP01 dan WP02 menggambarkan peranan kedua-dua pakej itu dalam pembangunan keseluruhan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta usaha mempertingkatkan jaringan perhubungan dan pembangunan negeri. Pelaksanaan kedua-dua pakej kerja itu yang bermula hampir 10 tahun lalu masih berdepan kelewatan hingga menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya, termasuk pengunjung dari Sarawak dan Brunei. – Info X