LAHAD DATU: Seorang wanita berstatus janda antara empat pasangan yang ditahan kerana berkhalwat dalam Operasi Valentine yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu, malam tadi.
Operasi yang bermula sekitar jam 9.30 malam hingga 3.00 pagi itu menyasarkan hotel-hotel bajet yang dipercayai digunakan oleh pasangan untuk tujuan maksiat.
Seramai 12 anggota penguat kuasa JHEAINS, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah memeriksa beberapa bilik di empat hotel bajet di sekitar Lahad Datu.
Menurut Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Mardi Ariffin, operasi ini bertujuan memastikan masyarakat tidak terlibat dalam perbuatan yang mendekati zina.
“Kita tidak mahu masyarakat, khususnya umat Islam, terjebak dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi yang mendekati zina atau mukadimah zina, sama ada di tempat tertutup mahupun terbuka,” katanya.
Dalam operasi itu, empat pasangan yang bukan suami isteri ditahan atas kesalahan berkhalwat kesemua mereka berumur lingkungan 20-an.
Turut ditemui ketika operasi itu adalah kondom dan ubat kuat dipercayai digunakan oleh pasangan terbabit.
Semua yang ditahan didakwa di bawah Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah kerana kesalahan khalwat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut. – Info X