KOTA KINABALU: Kehadiran penyerang baharu dari Brazil, João Pedro Boiera Duarte menjadi sandaran Sabah FC untuk mengatasi ketumpulan jentera serangan selepas ketiadaan Ramon Machado sejak Julai lalu.
Perkara itu menjadi keutamaan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, dengan termeterainya kontrak sembilan bulan pemain berusia 24 tahun itu.
Beliau juga meletakkan harapan agar Duarte dapat memberikan sumbangan dan impak segera kepada pasukan untuk baki saingan Liga Super musim ini.
Kim Swee bagaimanapun meminta peminat supaya tidak menyamakan kualiti permainan Machado dengan Duarte memandangkan kedua-duanya memiliki penampilan yang berbeza selaku penyerang.

“Harapan saya sudah tentu untuk melihat João Pedro beraksi cemerlang dan memastikan kita mempunyai pengganti yang sama seperti Ramon untuk membantu jentera serangan.
“Isu penyudah tumpul yang sebelum ini menggagalkan usaha Sabah FC untuk mendapatkan keputusan yang bermakna dalam saingan Liga Super diharap selesai dengan kedatangan João Pedro,” katanya mengulas kehadiran pemain berkenaan.
Petang tadi, pengurusan Sabah FC mengumumkan kehadiran Duarte yang mengikat kontrak sebagai penyerang baharu Sabah FC berkuatkuasa 15 Ogos 2024 hingga 30 April 2025.
Kim Swee turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Sabah FC, terutama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya memberikan persetujuan untuk mencari pengganti Machado.
“Ini termasuk juga kepada Pengurus Pasukan Sabah FC, Rafie Robert dan Pengurus Sabah FC II, Datuk Abdul Kassim Razali yang banyak membantu untuk mendapatkan khidmat pemain import baharu ini.
“Kita akan pastikan João Pedro dapat menyesuaikan diri dengan cara taktikal Sabah FC memandangkan tempoh liga berehat ketika ini hanya akan disambung semula pada 15 September depan,” katanya.
Bagi mengisi tempoh rehat itu, Kim Swee berkata beliau mencadangkan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan perlawanan persahabatan di luar sebelum perlawanan menentang Terengganu FC nanti.

“Perlawanan persahabatan ini penting untuk kita mendapatkan momentum semula selepas berehat panjang dan mendapatkan ‘match fitness’ bagi semua pemain yang terlibat.
“Ketika ini beberapa pemain terpaksa berehat lebih lama termasuk Gabriel Peres dan Saddil Ramdani kerana masih berada dalam senarai kecederaaan,” katanya.
Jelasnya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pasukan perubatan dalam tempoh terdekat untuk memastikan pemain Gabriel dan Saddil dapat beraksi semula secepat mungkin.
“Kita masih mempunyai empat minggu lagi untuk memastikan sama ada Saddil dan Gabriel kemungkinan besar boleh bermain ataupun tidak, terpulang kepada keadaan mereka nanti,” katanya. – Info X