Search

Warga emas hilang dipercayai sesat di hutan

August 21, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Kampung Sinulihan, di sini, semalam.

Mangsa Akun Kalawot, 80, dikatakan keluar dari rumahnya menuju ke kawasan hutan dan tidak pulang sehingga hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Muhammad Nor Amit berkata, operasi pencarian sedang dijalankan di lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Berdasarkan maklumat penduduk kampung yang juga jiran mangsa, lelaki warga emas itu keluar dari rumah dan menuju ke kawasan hutan.

“Pihak keluarga mangsa juga memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kurang sihat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga dan penduduk kampung menjalankan pencarian selepas menyedari kehilangan mangs bermula jam 5.30 petang sehingga 10.30 malam.

“Disebabkan tidak menemukan sebarang petunjuk, laporan polis kemudian dibuat sebelum pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi kejadian.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X