KUCHING: Pasukan sepak takraw Sabah terus mendominasi merangkul tiga lagi pingat emas hari ini untuk emas keempat mereka pada SUKMA Sarawak XXI.
Dua daripada pingat emas itu dimenangi pasukan berempat dan beregu wanita sebelum beregu lelaki melengkapkan emas hatrik untuk skuad sepak takraw menjadi antara penyumbang pingat emas terbanyak Sabah setakat ini.
Skuad sepak takaw Sabah menang emas sulungnya dalam acara berpasukan wanita, Sabtu lalu.
Final di Stadium Muhibah Bintulu hari ini menyaksikan pasukan beregu wanita Sabah yang juga juara bertahan mengekalkan gelaran mereka dengan menumpaskan Perlis 15-6, 15-9.
Beregu Sabah dibarisi i Nazira Hani Iskandar @ Jali dan Veronica Asli serta Sylla Burong sebagai pemain gantian.
Final acara berempat pala menyaksikan Sabah diberi saingan sengit pasukan tuan rumah, Sarawak tetapi pasukan yang dibarisi Fisydiana Faradona, Nadillatul Rosmahani Saidin, Nurshazreyana Edy, Rohaizan Rojer @ Harun serta Jumisa Ambong dan Nedveeshany Samaan sebagai pemain simpanan berjaya mengharunginya dengan kemenangan 17-14, 15-7.
Sabah juga juara acara itu pada SUKMA 2018 di Perak sebelum acara itu digugurkan selepas itu sebelum dipertandingkan semula di SUKMA Sarawak XXI.
Sambil itu, pasukan beregu lelaki yang dibarisi Maxcelles Omikol @ Jos dan Mohamad Fariz Mohamad Guntor serta Mohamad Hafiz Rojoh sebagai pemain gantian pula merangkul emas dengan kemenangan 15-11, 15-13 ke atas Perak.
Sukan takraw yang akan berlangsung sehingga 23 Ogos masih menawarkan dua pingat emas.
Kejayaan skuad sepak takraw itu turut mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Hajiji dalam hantaran Facebook rasminya mengucapkan tahniah sebaik sahaja dua pasukan sepak takraw wanita menang emas.
“Baru sebentar tadi mendapat khabar gembira dan membanggakan. Tambahan pingat emas untuk Sabah sekali lagi disumbangkan oleh skuad sepak takraw wanita.
“Apa yang lebih membanggakan, Sabah menyapu bersih pingat emas dalam kategori berpasukan, quadrants dan double bagi kategori wanita,” katanya.
Hajiji turut menyeru kepada semua rakyat di negeri ini untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan Sabah dan seluruh skuad SUKMA negeri.
“Esok skuad wanita sepak takraw akan bertanding untuk acara regu, mari semua terus berikan sokongan kepada mereka dan seluruh skuad SUKMA Sabah,” katanya. – Info X