Search

Keluar rumah tidak pulang, warga emas dilaporkan hilang di Pitas

March 24, 2026

Info X Reporters

PITAS: Seorang wanita warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bawang, di sini, sejak dua hari lalu.

Mangsa Sarina Samam Kassim, 80, keluar dari rumah sekitar jam 4 petang pada 22 Mac lalu sebelum tidak pulang dan menimbulkan kebimbangan keluarga.

Anak mangsa kemudian membuat laporan polis selepas ibunya masih belum ditemui sehingga jam 4.20 petang keesokan harinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Sentay Bakau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.18 pagi hari ini sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 10.30 pagi dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.

“Pencarian dijalankan dalam radius kira-kira empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun operasi SAR ditangguhkan pada jam 5 petang selepas mangsa masih belum ditemui.

Katanya, operasi akan disambung semula pada esok pagi bagi meneruskan usaha mengesan mangsa.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak berkuasa,” katanya. – Info X