KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menjadikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, sebagai panduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata gerak kerja kempen sepanjang membantu PRK itu boleh dijadikan panduan jentera PRN BN Sabah untuk menarik sokongan pengundi.
Jelasnya, perkara itu disebabkan situasi dan isu pembangunan yang berlaku di Kelantan, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mempunyai banyak persamaan dengan Sabah.
“Ada pengalaman yang kita perolehi dari gerak kerja kempen dan isu domestik terutamanya pembangunan insfrastruktur di Nenggiri yang tidak jauh bezanya dengan keadaan pembangunan di Sabah.
“Jadi, gerak kerja itu yang kita akan aplikasikan dalam gerak kerja kempen BN pada PRN akan datang,” katanya.
Beliau mengulas kemenangan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK Nenggiri, semalam.

Mohd Azmawi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,372 undi selepas memperoleh 9,112 undi berbanding 5,741 undi untuk PN.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata rakyat Kelantan khususnya di DUN Nenggiri menolak PN dan PAS kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri itu, terutama di DUN Nenggiri.
Jelasnya, kegagalan itu dapat dilihat dari aspek penyediaan infrastruktur asas dan peningkatan ekonomi rakyat yang menyebabkan negeri itu ketinggalan dari segi pembangunan.
“Keadaan itu tidak jauh berbeza sebagaimana yang dirasakan oleh rakyat Sabah ketika ini ekoran kegagalan kerajaan negeri merealisasikan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) walaupun mentadbir Sabah lebih empat tahun.
“Jadi, tidak mustahil rakyat Sabah akan melakukan perubahan sebagaimana yang berlaku di DUN Nenggiri.
“Kemenangan itu akan memberikan anjakan paradigma kepada ahli UMNO dan BN khususnya di Sabah untuk bangkit membela rakyat setelah dinafikan serta ditikam dari belakang walaupun memberi sumbangan terbesar dalam pembentukan kerajaan negeri selepas PRN lalu,” katanya. – Info X