Search

Menyamar penghantar makanan untuk edar air ketum, vape cecair dadah

August 18, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Menyamar sebagai penghantar makanan untuk mengedar air ketum dan cecair vape mengandungi dadah, itulah taktik licik seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk mengedarkan bahan terlarang berkenaan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan suspek ketika sedang leka memproses air ketum di rumahnya di Taman Tai Fai Yen, Jalan Utara, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden K Ramasamy berkata, pihaknya sebelum ini menerima maklumat mengenai aktiviti yang dilakukan oleh suspek terbabit.

Serbuk daun ketum yang dirampas dalam serbuan di Taman Tai Fai Yen, Jalan Utara, Sandakan. – Foto/PDRM

Katanya, hasil operasi menemukan 88 botol plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi 225.32 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM6,760.

“Selain itu, ditemukan enam bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk ketum dianggarkan seberat 7.85 kilogram bernilai RM2,000 berserta peralatan memproses air ketum.

“Turut ditemukan 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz disyaki mengandungi dadah dengan anggaran nilai RM16,470,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti memproses air ketum sejak dua tahun lalu dan pernah ditahan atas kesalahan yang sama.

Cecair vape mengandungi dadah turut dirampas dalam serbuan berkenaan. – Foto/PDRM

“Modus operandi suspek ialah memproses dan menjual sendiri air ketum kepada pelanggan tetap dengan menyamar sebagai penghantar makanan bagi mengaburi mata pihak polis.

“Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau atas kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Semua bahan ketum dan cecair vape yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM25,230 dan boleh digunakan sehingga 5,500 orang pada satu-satu masa.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Ramasamy berkata, pihaknya dalam tindakan mengesan pembekal-pembekal terlibat dalam aktiviti pengedaran serbuk ketum dan cecair vape yang mengandungi dadah.

“Polis akan terus meningkatkan usaha dalam menjalankan risikan maklumat bagi mengesan seterusnya menumpaskan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya. – Info X