Search

KES BOT KARAM DI PULAU MANTANANI, AHLI KELUARGA GUNA HELIKOPTER BANTU CARI MANGSA

May 24, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ahli keluarga mangsa yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani, di sini, sejak kelmarin, menggunakan helikopter persendirian bagi membantu pihak berkuasa mencari mangsa.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, keluarga mangsa memaklumkan helikopter yang digunakan berlepas ke lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi tadi.

Selain itu katanya, operasi pencarian menggunakan aset tiga agensi keselamatan juga turut disambung semula di tiga kawasan sekitar lokasi kejadian.

“Setakat ini, mengikut kepada pecahan kawasan pencarian, APMM menjalankan operasi menggunakan kapal KM Bistari di sektor B-1.

“Manakala, operasi di sektor B-2 pula dijalankan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan Kapal KD Sri Johor dan Pasukan Polis Marin (PPM) di sektor B-3,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang penemuan dan operasi masih diteruskan membabitkan kawasan berkeluasan 339 batu nautika persegi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini juga diminta supaya disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.

Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah bot tunda, Megah Jaya 2 yang membawa tiga mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai karam.

Tiga mangsa yang terbabit iaitu pemilik kapal, Ling Chung Siong, 24, Wilson Paul Joseph, 31, (kapten kapal) dan seorang jurutera, Yee Lih Min, 22 tahun.

Kawasan pencarian awal bot tunda berkenaan sebelum ini hanya membabitkan keluasan 176 batu nautika. – Info X