KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan beras plastik yang dikatakan dijual di sebuah premis di Sandakan.
Pemangku menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sudah mengambil maklum mengenai isu berkenaan selepas videonya viral, hari ini.
Katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), pihaknya sudah mengarahkan penguatkuasa di bawah KPDN cawangan Sandakan untuk melaksanakan siasatan berkaitan kes terbabit.
Menurutnya, beliau juga akan meneliti perkara itu kerana menyifatkan penjualan beras plastik tidak sepatutnya berlaku ekoran ia melibatkan kesihatan pengguna.
“Saya mengambil maklum tentang insiden yang berlaku dan sudah mengarahkan siasatan diadakan serta-merta.
“Penelitian dibuat melalui KPDN cawangan Sandakan dan siasatan sedang dilakukan bersama Bahagian Kawalselia Padi dan Beras.
“Setakat ini, siasatan menggunakan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna.
“Premis yang didakwa menjual beras plastik seperti dalam video tular juga sudah dilawati dan kita sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada pengadu yang menuralkan video tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Contract of Service (CoS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 20 saat menjadi tular pagi ini dengan memperlihatkan seorang lelaki mendakwa beras yang dijual di salah sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras plastik.
Dalam pada itu, Armizan berkata, tindakan tegas bakal dikenakan ke atas pihak berkaitan sekiranya dakwaan yang tular itu benar. – Info X