KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Martin Stano nyata kecewa apabila pasukannya hanya sekadar seri dengan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
Meskipun mendapat satu mata setelah terikat 2-2, Stano berkata skuad bimbingannya layak untuk menang jika anak buahnya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, beliau tetap memberi penghargaan kepada pemain Sang Badak atas kerja keras mereka mempersembahkan permainan yang baik sepanjang perlawanan.
“Ia satu keputusan yang mengecewakan kerana kita tidak menang, tapi secara keseluruhannya permainan kita adalah ‘okey’.
“Pemain bekerja keras dari minit pertama hingga minit akhir dan memberi tekanan kepada pihak lawan.
“Cuma kita tidak mencipta banyak peluang, jika ada banyak peluang kita layak untuk menang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Stano seterusnya menetapkan sasaran untuk memastikan skuad Sang Badak mampu mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur FC yang akan bertandang ke Stadium Likas, Jumaat ini.
“Sasaran kita sudah tentu untuk memenangi perlawanan dan perlawanan yang akan datang pada 21 Februari ini kita berharap dapat memperbaiki kekuatan pasukan,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, Sang Badak mendahului jaringan melalui sepakan penalti yang disudahkan Darren Lok pada minit ke-19 dan sekali lagi pada minit ke-59 juga menerusi sepakan penalti.
Sri Pahang mengumpul dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Adam Nor Azlin pada minit ke-23 dan Kpah Sean Sherman pada minit ke-43. – Info X