Search

Masidi ingatkan pelabur ikut prosedur ditetapkan

March 16, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun mengingatkan semua pihak yang mempunyai kepentingan pelaburan di Sabah supaya mengikut prosedur ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, walaupun kerajaan Sabah menyambut baik kedatangan pelabur ke negeri ini, penilaian asas menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu dilakukan bagi memastikan pelabur yang masuk mempunyai kelayakan dan berwibawa.

“Saya sekadar membuat satu peringatan kerana dalam satu dua minggu ini saya selalu terbaca pasal pengumuman besar dan saya fikir kita perlu berhati-hati membuat pengumuman yakni kita hanya buat pengumuman setelah sekurang-kurangnya penilaian asas telah dijalankan.

“Ertinya kalau pelabur daripada luar negeri seperti yang saya katakan tadi kebiasaannya, ia harus ditapis oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran sistem indeks akauntabiliti kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Masidi berkata, keadaan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik juga perlu diambil kira sebelum sebarang pengumuman mengenai sesuatu pelaburan dibuat.

Katanya, ia bagi mengelak risiko kegagalan projek sekali gus membawa imej negatif kepada kerajaan negeri.

“Orang bertanya, cukupkah bekalan air kita? Cukupkah bekalan elektrik kita? Tapi saya ingat kita pun mengalu-alukan projek besar-besaran tetapi pada masa sama kita mahu pastikan bahawa ia sesuatu yang realistik dan boleh dilaksanakan,” katanya. – Info X