KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari bot nelayan ditemukan lemas di perairan Sepanggar, di sini, hari ini.
Mayat mangsa dikenali sebagai La Hasuba, 38, ditemukan pasukan bomba pada jam 11.02 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang dipercayai lemas selepas terjatuh dari bot nelayan, pada 8.42 pagi.

Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi pencarian surface water rescue dan selaman sekitar lokasi kejadian dijalankan dan dibantu orang awam.
“Mangsa ditemui oleh pasukan bomba jam 11.02 di lokasi mangsa dilaporkan hilang pada kedalaman empat meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 11.13 pagi,” katanya. – Info X