LABUAN: Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah motosikal ketika melintas di kawasan berhampiran Jambatan Sebor/Saguking, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa Abdillah Abbas, 65, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Labuan.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan dari arah Jalan Patau-Patau menghala ke bandar.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, terlanggar seorang pejalan kaki yang datang dari pembahagi jalan dipercayai ingin melintas ke sebarang jalan.
“Akibat kemalangan itu, pejalan kaki dan penunggang motosikal cedera dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa pejalan kaki disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Labuan.

“Penunggang motosikal lelaki berusia 26 tahun parah dan menerima rawatan lanjut di Zon Merah Hospital Labuan.
“Siasatan mendapati, ketika kejadian keadaan cuaca berangin kuat dan jalan raya dalam keadaan gelap tidak berlampu,” katanya.
Katanya lagi, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X