Search

Penganjur Piala SMJ harap KM campur tangan isu hutang tertunggak

April 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Penganjur kejohanan Pesta Bola Sepak Merdeka Piala SMJ 2022 yang telah berlangsung pada September, tahun lalu, berharap, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ‘campur tangan’ bagi menyelesaikan hutang tertunggak untuk membayar jawatankuasa dan pembekal peralatan dalam kejohanan itu.

Setiausaha Pengelola Kejohanan Kerol Chong berkata, sebanyak lebih RM600,000 masih belum dibayar kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan terbesar berkenaan.

“Saya berharap permasalahan hutang yang masih tertunggak untuk kejohanan itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Kejohanan ini berlangsung dengan jayanya malah pembukaan kejohanan juga disempurnakan oleh Ketua Menteri sendiri.

Hajiji menyepak bola sebagai gimik pelancaran sebelum sepak mula final kejohanan Pesta Bola Sepak Merdeka Piala SMJ 2022 September lalu.

“Dalam rekod juga, Ketua Menteri merupakan penaung utama kejohanan manakala dua pengerusi penganjur bersama ialah Datuk Abdul Kassim Razali serta Datuk Peter Anthony,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kerol berkata, kesemua mereka yang terlibat dalam kejohanan berkenaan sangat berharap agar pembayaran kepada mereka dapat dibuat sebelum Aidilfitri ini.

“Selaku setiausaha pengelola kejohanan, saya merayu kepada ketua menteri untuk campur tangan dan menyelesaikan perkara ini dengan baik.

“Saya juga berharap agar pihak yang terlibat bersabar dan memberikan kami sedikit masa lagi,” katanya lagi.

Kejohanan itu sebelum ini berjaya menghimpunkan bekas-bekas bintang bola sepak Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan juga cukup lumayan termasuk RM120,000 yang dibawa pulang oleh pasukan indonesia sebagai juara.

Pasukan yang mendapat tempat kedua dan ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM70,000 serta RM50,000.

Selain itu, bagi tempat keempat hingga kelapan pula, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 untuk tempat keempat, RM24,000 (kelima), RM23,000 (keenam), RM21,000 (ketujuh) dan RM20,000 (kelapan).

Selain hadiah lumayan kepada pasukan yang menyertai, orang ramai yang hadir juga diberi peluang untuk memenangi sejumlah hadiah cabutan tiket bertuah termasuk sebuah kereta Perodua Axia. – Info X