Search

PENUNGGANG, PEMBONCENG PARAH, MOTOSIKAL BERTEMBUNG LORI

May 9, 2022

admin

TAMBUNAN: Seorang penunggang serta pembonceng motosikal parah ekoran dirempuh sebuah lori lapan tan dalam kejadian di Jalan Keningau-Tambunan, berhampiran Kelab Golf Tambunan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, semua mangsa dipercayai berusia belasan tahun berkenaan dilaporkan patah tulang bahu dan cedera di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bergerak dari arah Tambunan menuju ke Keningau.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, semua mangsa dipercayai cuba masuk ke sebuah simpang di jalan berkenaan sebelum pemandu lori gagal mengelak kedua-dua mangsa disebabkan jarak terlalu hampir.

“Akibat kejadian itu, lori lapan tan berkenaan terus merempuh kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Honda EX-5,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Rafidah berkata, penunggang motosikal patah tulang bahu dan kini dirawat di Hospital Tambunan manakala pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di kepala terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan, kejadian didapati disebabkan oleh kecuaian pemandu lori yang merempuh kedua-dua mangsa dari arah belakang.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X