KOTA KINABALU: Kelab Sabah Dive Squad mengecam tindakan tidak bertanggungjawab penyelam mengganggu haiwan marin yang ditemui ketika melakukan aktiviti selaman di negeri ini.
Ia berikutan satu video yang tular baru-baru ini menunjukkan penyelam ‘menahan’ seekor penyu dan yu paus, dipercayai dirakam di sebuah kawasan selaman di Pulau Manukan, di sini.
Presidennya, Sim Fui, berkata tindakan itu jika kejadian itu disahkan berlaku di Sabah, terutama di sekitar Pulau Manukan, ia adalah pelanggaran serius undang-undang pemuliharaan laut dan standard etika menyelam.
Katanya, sebagai komuniti selam skuba yang bertanggungjawab, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip perlindungan marin.
“Mengganggu, menyentuh atau menahan hidupan laut terutamanya spesies yang dilindungi seperti penyu dan yu paus, bukan saja tidak boleh diterima tetapi juga membahayakan kesejahteraan haiwan terbabit.

“Tindakan sebegini menyebabkan tekanan yang tidak perlu kepada hidupan laut, mengganggu tingkah laku semula jadi mereka dan merosakkan ekosistem laut Sabah yang amat berharga.
“Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, mengenal pasti individu yang terlibat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Selain itu, beliau turut menggesa semua penyelam, pengendali pusat selam dan pelancong untuk mematuhi amalan menyelam yang bertanggungjawab serta melaporkan sebarang pelanggaran yang boleh mengancam biodiversiti marin di Sabah.
Katanya, dunia bawah laut Sabah adalah satu keistimewaan untuk diterokai dan bukannya taman permainan untuk menunjukkan tingkah laku yang tidak sepatutnya.
“Kelab Sabah Dive Squad komited memperjuangkan etika menyelam yang mampan dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, organisasi pemuliharaan serta komuniti penyelam bagi melindungi dan memelihara warisan marin kita.

“Kami menggalakkan sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini untuk tampil membantu bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab itu dibawa ke muka pengadilan.
“Marilah kita bersama-sama mempertahankan reputasi Sabah sebagai peneraju aktiviti menyelam yang mampan dan bertanggungjawab,” katanya.
Berdasarkan video yang tular, seorang penyelam dirakam memegang atau menahan seekor penyu sambil menunjukkannya kepada penyelam lain.
Dalam satu lagi video berasingan, seorang penyelam dirakam ‘menunggang’ seekor yu paus yang sedang berenang di dalam laut. – Info X