KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sebarang ancaman terhadap keselamatan negara susulan tuntutan dibuat sekumpulan individu mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kertas siasatan dibuka susulan laporan dibuat Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) terhadap individu terbabit.
“Laporan dibuat susulan tuntutan pihak terbabit melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan pada 30 Julai 2019 membabitkan tuntutan dianggarkan lebih USD 32 bilion.
“Tuntutan itu adalah satu ancaman kepada keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan menyiasat laporan berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124 (K) Kanun Keseksaan iaitu sabotaj.
“PDRM memandang serius sebarang elemen yang mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara serta memberi jaminan siasat terperinci berhubung perkara itu akan dilaksanakan,” katanya. – Info X