KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yakin, anak buahnya mampu mengekalkan Stadium Likas sebagai kubu kuat mereka apabila melayan kunjungan Selangor FC, di sini, malam nanti.
Katanya, beliau yakin anak buahnya mampu memberi kemenangan kepada pasukan bagi memastikan Sabah terus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.
Beliau berkata, prestasi Selangor yang dilihat lebih kuat di tempat sendiri dengan memenangi semua perlawanan sebelum ini turut menyuntik semangat pemain skuad Sang Badak untuk mengekalkan kemenangan di Likas.
Kim Swee bagaimanapun menyifatkan pertemuan dengan Selangor malam ini sebagai perlawanan yang baik dan seimbang untuk menilai tahap keupayaan kedua-dua pasukan apabila Selangor FC bermain di tempat lawan.
“Kita harus kekalkan prestasi di tempat sendiri, saya tak nampak jurang jauh mata di antara Sabah dengan Selangor. Paling penting pemain perlu mempunyai sikap yang cukup positif untuk bermain menentang Selangor.
“Meskipun mereka (Selangor) berjaya mengumpul 15 mata ataupun 12 sebelum ini, namun Sabah FC yakin mengekalkan rentak persembahan prestasi terbaiknya ketika mencatat dua kemenangan di Likas sebelum ini,” katanya.
Kim Swee berkata, dua kemenangan di Stadium Likas sebelum ini memberi keyakinan kepada pemain Sabah FC sekali gus untuk membuktikan kemampuan mereka mempertahankan pencapaian itu ketika menerima kunjungan Selangor malam ini.
“Kita akan buktikan kepada pengkritik di mana selepas tewas dua kali berturut-turut kritikan yang datang kepada pemain serta pasukan Sabah FC akan boleh ditangani dengan menunjukkan keputusan positif di dalam padang.
“Kalau dilihat dari segi carta liga, Sabah FC kini berada bukan jauh ketinggalan, lima mata di belakang Selangor. Jadi kita perlu manfaatkan mata penting ketika bermain di tempat sendiri.
“Jika gagal mendapatkan sebarang mata bermakna kita akan ketinggalan lebih jauh. Jadi perlawanan ini penting untuk memastikan kita mengekalkan rekod terutama bermain di tempat sendiri untuk memastikan Sabah FC dapat merapatkan jurang kedudukan Carta Liga,” katanya. – Info X