Search

Sabah tewas 3-1 di tangan JDT

July 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC terpaksa akur apabila tewas 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun memberikan saingan sengit pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Skuad Sang Badak pada mulanya cuba bangkit setelah ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama apabila berjaya merapatkan jurang hasil sepakan penalti Gabriel Peres pada minit ke-51.

Namun, jaringan tunggal Sabah itu yang mencetus semangat Sang Badak untuk bermain lebih agresif dileburkan pasukan pelawat pada minit akhir perlawanan apabila JDT mendapat peluang baik juga melalui sepakan penalti.

Pemain Sabah FC menyekat pergerakan pemain JDT pada perlawanan Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Gol ketiga pasukan pelawat itu disempurnakan Bergson Gustavo Da Silva, menjadikan keputusan 3-1 hingga ke wisel penamat.

Terdahulu, pada babak pertama, Sabah berpeluang melakukan cubaan mendapatkan gol melalui sepakan percuma Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit kedua, namun melepasi gawang.

Ia kemudian disusuli sepakan sudut pertama Sabah yang dilakukan Stuart John Wilkin pada minit ketiga, namun peluang kedua itu juga tersasar.

Selepas dua situasi berbahaya itu, JDT mula menyusun jentera serangannya untuk menguasai permainan dan melakukan serangan balas hingga memaksa Sabah lebih banyak bertahan.

Penyokong Sabah yang hadir menyaksikan perlawanan Sabah FC menentang JDT di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

JDT akhirnya berjaya memecah tembok pertahanan tuan rumah selepas penyerangnya, Romel Oswaldo Morales berjaya memanfaatkan peluang pada minit ke-20 dan sekali lagi pada minit ke-43 untuk JDT berada di hadapan dengan 2-0.

Selepas jaringan hasil sepakan penalti Sabah pada minit ke-51, JDT gagal menambah jaringan menjadikan kedudukan 2-1 hingga 90 minit perlawanan.

Namun, sepakan penalti yang diperolehi JDT pada minit kecederaan akhirnya mengubah kedudukan itu, sekali gus memaksa Sabah berpuas hati dengan keputusan 3-1 di hadapan kira-kira 11,000 penyokong. – Info X