TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak autisme berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Bahagia II, Tamparuli, sejak 20 April lalu memasuki hari ketiga hari ini, namun mangsa masih belum ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Nor Amit berkata, pencarian hari ini bermula pada jam 9 pagi tadi bersama agensi penyelamat lain dalam radius jarak pencarian di perluaskan.
“Kawasan pencarian merangkumi darat dan sungai. Tiga sektor pencarian dilakukan iaitu pencarian surface water di kawasan Jambatan Tamparuli.

“Pencarian anggota penyelamat bersama Unit Anjing Pengesan K9 sekitar anggaran 700 meter dadi Pusat Kawalan Bencana (PKB),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, anggota penyelamat turut menggunakan bot aluminium untuk pencarian bermula dari Sungai Simpang sehingga Sungai Tamparuli.
“Pencarian seterusnya menggunakan bot dari Jambatan Tamparuli ke Sungai Bolong. Namun mangsa masih belum ditemui.
“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.05 petang dan akan disambung pagi esok,” katanya.

Operasi SAR membabitkan lebih 30 pegawai dan anggota bomba termasuk
Unit Anjing Pengesan K9, PPDA, STORM, Drone JBPM Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Drone D’Bayu serta NGO Jalinan Kasih.
Terdahulu, mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf dikatakan dilihat kali terakhir sekitar jam 1.30 tengah hari sebelum dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.
Operasi pencarian yang dijalankan pasukan bomba turut menggunakan unit anjing pengesan K9 selain dibantu penduduk kampung. – Info X