BEAUFORT: Seorang lelaki warga emas melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Kampung Suasa, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, tiga kereta dan sebuah motosikal turut musnah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, pihak yang tiba di lokasi kejadian jam 3.47 petang mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai persendirian jenis separuh kekal.
“Seorang lelaki berusia 61 melecur di bahagian badan ketika menyelamatkan diri bersama keluarga.
“Mangsa kemudian dihantar ks klinik berdekatan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans di lokasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air jentera dan air parit.
“Turut musnah empat kenderaan iaitu Proton Iswara, Saga BLM, Van Nissan Vanette dan sebuah motosikal jenis Modenas Kris manakala sebuah lagi motosikal jenis sama terbakar 10 peratus.
“Operasi terkawal pada jam 4.06 petang. Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud,” katanya.