TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki mengugut seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4 Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 70-an didatangi beberapa individu di rumahnya, dengan salah seorang daripadanya memegang parang dan bertindak agresif sambil mengeluarkan ugutan.
Bimbang akan keselamatannya, mangsa tampil membuat laporan polis sebelum Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan operasi dan menahan suspek berusia kira-kira 34 tahun di kawasan lot kedai Jalan Dunlop.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pandu arah suspek membawa kepada penemuan sebilah parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rawa-Rawa, dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, polis masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit, manakala suspek ditahan bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X