Search

Wanita patah kaki, kanak-kanak cedera kereta terbabas

March 19, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita patah kaki manakala seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.24 pagi itu, kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.33 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas sendiri lalu melanggar pokok.

Mangsa yang cedera dibawa menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

“Terdapat dua mangsa terlibat iaitu wanita berusia 30 tahun mengalami patah kaki dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 4.49 pagi,” katanya.