RANAU: Seorang pendaki warga emas meninggal dunia ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu, semalam.
Mangsa lelaki warga tempatan berusia 65 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri di Kilometer 5.5 Gunung Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang.
Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) serta malim gunung dan anggota ParkSAR dikerah ke lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan ‘robinson stretcher’ sehingga ke Timpohon Gate.
“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.03 malam,” katanya. – Info X