September 20, 2026
BERNAMA
Pengampunan Najib: Anwar nafi buka jalan, setiap banduan berhak kemuka rayuan
SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau membuka jalan bagi pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya menegaskan bahawa setiap banduan berhak mengemukakan permohonan pengampunan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan. Anwar berkata Lembaga Pengampunan mempunyai bidang kuasa untuk menilai sesuatu permohonan dengan mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Peguam Negara di peringkat Kerajaan Persekutuan, manakala keputusan muktamad terletak pada Yang di-Pertuan Agong. “Saya sebut setiap banduan berhak mengemukakan (rayuan) dan saya tetap pertahan hak itu kepada sesiapa pun termasuk Datuk Seri Najib, ada hak untuk mengemukakan rayuannya untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong. “Ada suara-suara sumbang rakan-rakan kita dulu kata ini (kerja) Pakatan (Harapan). Saya Perdana Menteri tidak mahu cakap kasar, boleh kritik saya tetapi tidak betul…mereka yang ada dalam kerajaan tahu pendirian saya daripada awal…kalau nak menang undi pun bukan dengan cara menipu. Dia kata sayalah yang membuka jalan, tidak betul,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini hari ini. Anwar berkata bidang kuasa berhubung pengampunan dan penganugerahan pingat merupakan budi bicara Sultan dan Raja di sesebuah negeri atau Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan prinsip Perlembagaan. Beliau berkata pandangan yang disampaikannya sebelum ini berkaitan pengampunan bekas perdana menteri itu bukan bertujuan mempengaruhi keputusan berkenaan, sebaliknya turut menyentuh kira kes-kes yang masih berjalan, jumlah denda yang besar serta kesannya kepada keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan pandangan antarabangsa. Pada masa sama, Anwar berkata pemberian pengampunan tidak menghalang proses perundangan terhadap kes-kes lain yang masih berjalan, termasuk kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes sivil. Beliau turut menegaskan pendirian Kerajaan MADANI untuk terus memerangi rasuah dan memastikan kes-kes berkaitan salah guna kuasa disiasat serta dibawa melalui proses undang-undang. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat, memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, Jumaat lepas. Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, manakala sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan serta undang-undang. Beliau berkata jentera kerajaan akan digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan sistem Raja-Raja Melayu di negara ini. “Majlis Kerajaan Negeri bermesyuarat guling Raja, hak siapa?…masa menang pilihan raya ada kamu sebut dalam manifesto kalau kami menang kami akan gulingkan raja? Tidak ada. Jadi orang bagi sokongan kepada kamu untuk pertahankan sistem Raja. (Tetapi) kamu menang, kamu tolak raja,” katanya.– BERNAMA
September 20, 2026
Info X Reporters
Anwar rakam takziah pemergian bekas ADUN Bongawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Datuk Karim Bujang yang meninggal dunia hari ini. Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menerima khabar duka berhubung pemergian Karim dan mendoakan seluruh keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan. “Semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan, serta semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau di tempat terbaik di sisi-Nya. Al-Fatihah,” kata Anwar. Karim, 73, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, Sabah dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brunei, Kimanis kira-kira 5.30 petang hari ini, selepas disembahyangkan di Masjid Imam Abdullah di kampung halamannya. Allahyarham pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013, meninggalkan seorang isteri Datin Maimun Pg Bagul, dua anak lelaki serta tiga cucu.– BERNAMA
September 20, 2026
Info X Reporters
Jenazah Karim Bujang selamat dikebumikan di Kampung Brunei, Kimanis
KOTA KINABALU: Jenazah bekas ADUN Bongawan, Allahyarham Datuk Karim Bujang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brunei, Kimanis pada kira-kira jam 5.30 petang tadi. Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di Surau Kampung Sipanggil, Putatan, sebelum dibawa ke Masjid Imam Abdullah, di kampung halamannya di Kampung Brunei, Kimanis. Allahyarham yang berkhidmat sebagai ADUN Bongawan dari 1990 hingga 2013 meninggalkan seorang balu, Datin Maimun Pg Bagul dan dua orang anak lelaki serta tiga cucu. Terdahulu, bekas Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan pada tengah hari tadi. Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Allahyarham Datuk Karim Bujang sebagai seorang pemimpin politik yang banyak menyumbang bakti kepada negeri, khususnya sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013. Beliau menyampaikan salam takziah kepada balu Allahyarham, Datin Maimun Pg Bagul dan seluruh keluarga arwah berikutan pemergian bekas Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu, hari ini. “Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi rasa kehilangan dan saat yang sukar ini. “Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau. Turut berkongsi salam takziah ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut bersama menunaikan solat jenazah di Masjid As-Sobirin Kampung Sipanggil, Putatan. “Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Karim Bujang yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi, Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya. Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, menyifatkan nama Allahyarham tetap terpahat dalam sejarah politik, pembangunan dan kepimpinan di daerah Membakut. “Allahyarham seorang pemurah, suka menolong dan sedia berkongsi pendangan dan pengalaman. Beliau petah berbicara dan cerdik berhujah serta seorang yang ceria. “Bahagian Kimanis yang meliputi DUN Membakut dan DUN Bongawan kehilangan seorang tokoh pemimpin yang berjasa,” katanya yang juga ADUN Membakut. DUN Membakut adalah sebahagian daripada DUN Bongawan ketika ia diwakili Karim sebelum dua kawasan itu dipisahkan menerusi kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2004.-Info X
September 20, 2026
BERNAMA
Anwar akan bertemu Loke, dengar pandangan tawaran peletakan jawatan
SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam masa terdekat, bagi mendengar pandangan beliau sebelum membuat keputusan berhubung tawaran peletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Anwar berkata beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Loke mengenai perkara itu dan memahami keputusan berkenaan dibuat susulan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. “Dia dah maklum pada saya. Saya belum sempat bincang apa-apa lagi. Saya kena dengar pandangan dia, tetapi saya faham sebab dia ni orang yang ada prinsip dan dia memang daripada awal konsisten bantah peraturan yang boleh beri gambaran, seolah-olah kita ini lemah atau longgar terhadap amalan rasuah. “Terutama bila kita ambil tindakan yang banyak yang lain, termasuk perasuah-perasuah kecil. Jadi lebih baiklah saya jumpa dia, dengar pandangan dia dan baru saya boleh bagi keputusan,” katanya kepada media selepas Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, hari ini. Semalam, Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, susulan pendirian DAP berhubung isu pengampunan bersyarat terhadap Najib. Beliau berkata surat peletakan jawatan itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat. Ditanya bilakah pertemuan itu akan diadakan, Anwar berkata perkara itu mungkin berlangsung selepas beliau dan Loke masing-masing pulang daripada lawatan ke Shanghai, China. “Dia baru mesyuarat semalam. Dia dah maklum pada saya, dia akan bawa surat dan bincang dengan saya. Saya kata tak apalah, bila ada ruang…pasal hari ini saya di sini, kemudian akan ke Melaka, jadi esok tak salah saya dia ke Shanghai dan saya ke Shanghai pada hari Selasa atas perbincangan dengan Premier Li Qiang,” kata beliau. Ditanya sama ada perkembangan itu akan membawa kepada rombakan Kabinet dalam masa terdekat, Anwar berkata: “Satu-satulah.” Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat, memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, Jumaat lepas.– BERNAMA
September 20, 2026
Info X Reporters
Remaja lelaki ditahan ceroboh, cabul pelancong China
SEMPORNA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas disyaki menceroboh dan mencabul pelancong wanita warga China di sebuah resort di Jalan Kamiri, di sini, awal pagi semalam. Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna di kawasan resort berkenaan kira-kira jam 8 malam pada hari sama. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi. “Siasatan awal mendapati mangsa berusia 25 tahun sedang tidur sebelum tersedar dan mendapati seorang lelaki berada di dalam biliknya. “Suspek dipercayai memegang tangan mangsa dan menanggalkan sebahagian pakaiannya sebelum berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian berjaya melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemukan seorang pekerja resort pada waktu pagi. Katanya, ketika melarikan diri mangsa mendakwa telah ditarik rambut oleh suspek sehingga terjatuh. “Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 354 kanun sama kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan. “Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya. – Info X
September 20, 2026
Info X Reporters
Karim Bujang meninggal dunia
KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi. Berita itu dikongsi beberapa kenalan arwah yang mengucapkan takziah dan mendoakan roh Allahyarham melalui media sosial. Antaranya ialah anak didik arwah, Datuk Mohamad Alamin yang kini Ahli Parlimen Kimanis dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mohamad juga adalah bekas ADUN Bongawan yang menggantikan tempat arwah pada 2013 ketika di bawah UMNO-Barisan Nasional (BN). Kedua-dua mereka juga pernah bersaing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020 yang mana ketika itu Karim bertanding atas tiket Warisan, manakala Mohamad di bawah UMNO-BN. Menerusi perkongsian di Facebook, Mohamad menyatakan beliau mempunyai banyak pengalaman bersama arwah sebelum ini. “Sebelum saya berkecimpung dalam politik saya pernah menjadi Peguam Pengiring untuk Allahyarham ketika penamaan calon dalam pilihan raya negeri tahun 2004. Waktu itu Allahyarham menjadi Calon BN untuk DUN Bongawan. “Allahyarham juga antara pemimpin yang membimbing saya dan membawa saya masuk dalam sistem politik UMNO Bahagian Kimanis. Waktu itu Allahyarham adalah Ketua Bahagian Penaja UMNO Kimanis. Perjalanan politik saya menerusi Pemuda UMNO Kimanis banyak didorong oleh Allahyarham. “Pertama kali saya bertanding Calon BN di DUN Bongawan pada tahun 2013, Allahyarham juga merupakan antara sosok yang banyak membantu memenangkan saya pada waktu itu,” katanya. Mohamad juga berkongsi mengenai dinamika politik yang mengubah haluan politik masing-masing, namun ikatan silaturahim tetap kekal terjalin “Dinamika politik itu memang unik dan dipenuhi warna warni, namun sehingga saat ini silaturrahim dan persahabatan saya dengan Allahyarham amat baik dan kukuh. “Bila terjumpa di mana-mana pasti Allahyarham akan bergurau dengan saya dengan cerita-cerita lama. Begitulah keperibadian Allahyarham yang sangat mesra, ceria dan suka bergurau serta sering menghiburkan suasana. “Selamat berehat sifu politik ku. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham YBhg Datuk Hj Karim Hj Bujang. Alfatihah,” katanya. Allahyarham Karim Bujang, 73, memulakan kerjaya politik bersama USNO dan memenangi kerusi DUN Bongawan pada 1990 sebelum bersama UMNO apabila USNO dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO pada 1991. Beliau menyandang kerusi DUN Bongawan selama lima penggal sehingga 2013 dan kekal bersama UMNO-BN sehingga 2018. Pada PRU 2018, Karim bertanding kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Warisan menentang bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (BN) dan tewas tipis sebelum memfailkan petisyen pilihan raya yang memihak kepadanya pada 2020. Berikutan itu PRK Kimanis diadakan pada Januari 2020 yang menyaksikan Karim bertanding semula atas tiket Warisan menentang Mohamad yang bertanding atas tiket BN. Arwah bagaimanpun tewas di tangan Mohamad berikutan sentimen pemberian pas untuk pendatang asing oleh kerajaan pimpinan Warisan yang dijadikan bahan kempen BN pada masa itu. Karim kemudian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) setelah meletak jawatan sebagai Pengerusi Tetap Warisan pada 2024. Sepanjang berkhidmat sebagai ADUN, Karim antaranya pernah menjadi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. – Info X
September 20, 2026
Info X Reporters
61 PATI warga Filipina dihantar pulang melalui laut
TAWAU: Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi laluan laut dalam Program Pemindahan Tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam. Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina. Katanya, mereka dihantar menggunakan perkhidmatan feri komersial dan terdiri daripada 43 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan. “Kesemua tahanan berusia antara enam hingga 65 tahun, manakala kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, dengan penghantaran terbaru itu, jumlah tahanan PATI yang sudah dipindahkan ke negara asal sepanjang 2026 kini mencecah 5,294 orang. “Daripada jumlah itu, 3,516 adalah warga Filipina, Indonesia (1,488), Pakistan (120), China (127), Vietnam (21) dan lain-lain kewarganegaraan seramai 22 orang,” katanya. Menurutnya, kesemua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan dan memiliki Dokumen Perjalanan (TD) yang sah sebelum dibenarkan mengikuti proses pemindahan ke negara asal. Dalam pada itu, Sitti Saleha menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera melaporkan sebarang kegiatan membabitkan pendatang tanpa izin kepada pihak berkuasa. “Kerjasama orang ramai amat penting dengan menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi JIM Sabah bagi membantu usaha penguatkuasaan dan membendung kehadiran PATI. “Aduan boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya. – Info X
September 20, 2026
Info X Reporters
Tular lari daripada JPJ, notis tetap menyusul
KOTA KINABALU: Pemandu yang bertindak melarikan diri ketika operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan terlepas daripada tindakan, terutama apabila kejadian berkenaan dirakam dan tular di media sosial. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, pihaknya boleh mengeluarkan notis mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menyiasat pemilik kenderaan yang dikenal pasti melanggar peraturan. “Walaupun ada kejadian tular membabitkan kenderaan yang melarikan diri daripada JPJ, kita tetap akan mengeluarkan notis. “Kita akan mengambil tindakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan sekiranya mereka gagal hadir untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sabah, pada Sabtu. Mohd Harris berkata, maklumat dan aduan orang ramai turut membantu pelaksanaan Operasi Khas (Ops Ekstrem) yang dijalankan sejak 6 September lalu. Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan terhadap kenderaan yang diubah suai secara ekstrem, tidak mematuhi spesifikasi dan menimbulkan gangguan bunyi kepada masyarakat. “Sebanyak 24 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan, manakala 81 notis dikeluarkan dan 13 kenderaan termasuk sebuah motosikal disita. “JPJ mengeluarkan 34 notis JPJ(P)22, 19 notis arah periksa mengikut Seksyen 61(1), 15 notis PG1 bagi larangan penggunaan kenderaan dan 13 notis penyitaan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Beliau berkata, antara kesalahan dikesan ialah pengubahsuaian bentuk dan peralatan kenderaan secara ekstrem, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta sistem ekzos yang menghasilkan bunyi bising. “Kesalahan lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan. “Bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, JPJ Sabah memeriksa 377,942 kenderaan dengan 52,458 daripadanya dikenakan tindakan,” katanya. Dalam tempoh sama, beliau berkata sebanyak 107,038 notis saman JPJ(P)22 dan ALPKP dikeluarkan, selain 26,693 notis lain, 2,024 notis lebih muatan serta 379 kenderaan disita. “Tiga kesalahan tertinggi ialah LKM tamat tempoh sebanyak 19,564 kes, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh (17,389) dan tiada perlindungan insurans (13,191),” katanya. Sementara itu, Mohd Harris mengingatkan semua pemilik dan pengguna supaya memastikan kenderaan mematuhi spesifikasi serta peraturan ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya. – Info X