Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 14, 2026

Info X Reporters

Rizab Biosfera Kinabatangan dan Banjaran Crocker penting untuk Sabah

KOTA KINABALU: Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan, yang kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker menjadi detik bersejarah dan pencapaian membanggakan bagi Sabah dan Malaysia. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengiktirafan oleh UNESCO pada tahun lalu membuktikan landskap Kinabatangan yang meliputi 413,866 hektar memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang luar biasa di peringkat antarabangsa. “Ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global. “Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian dunia dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi dan peluang kerjasama global,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad. Ketua Menteri berkata nilai Rizab Biosfera Banjaran Crocker dengan luas kawasan 350,584 hektar yang diisytiharkan pada 2014 amat penting bagi Sabah. “Dianggarkan lebih daripada satu juta individu tinggal di hampir 400 kampung di 10 daerah iaitu di Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut dalam Rizab Biosfera Banjaran Crocker. “Pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker menyumbang kepada tapak UNESCO mahkota tiga serangkai atau the Triple Crown UNESCO Sites di negeri Sabah,” katanya. Justeru, Hajiji mahu semua pihak untuk terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan itu dapat dinikmati secara meluas dan mampan. “Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang memandang serius usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistemnya amat penting untuk kegunaan penduduk dan pembangunan sosio ekonomi. “Kewujudan kedua rizab biosfera ini juga amat berkait rapat dengan usaha murni Kerajaan Sabah untuk menjayakan Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ). Pada tahun ini usaha konservasi ekosistem penting di Sabah diteruskan di bawah SMJ 2.0 untuk tahun 2026-2030,” katanya. Ketua Menteri berkata Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar. “Sabah sekian lama melindungi hutan, hidupan liar dan beberapa ekosistem paling kaya di rantau ini. Pada masa ini, hampir 30 peratus daripada kawasan daratan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA). “Justeru, kita bertekad untuk terus mengukuhkan peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk melalui Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan. “Pada masa ini, Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih yang utama, menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas. “Inti mesejnya ialah, rizab biosfera menyokong iklim, khususnya dengan berfungsi sebagai penyerap karbon,” katanya. Hajiji berkata kedua rizab biosfera itu ialah kawasan istimewa yang melindungi alam semulajadi dan aktiviti manusia diurus secara mampan. “Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem pergunungan dan hutan bagi memelihara tumbuhan serta haiwan yang unik, sambil menyokong tampang air. “Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap iaitu habitat penting bagi hidupan liar serta mengekalkan keadaan air yang sihat. “Apabila hutan dilindungi dan diberi peluang untuk pulih serta tumbuh semula secara semulajadi, hutan terus menyimpan karbon untuk jangka masa panjang,” katanya. Beliau berkata rizab biosfera juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi setempat dan pemuliharaan yang paling berkesan berlaku apabila komuniti mendapat manfaat daripada usaha melindungi alam semula jadi. “Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, penduduk setempat boleh meraih manfaat melalui pelancongan mampan, termasuk homestay dan perusahaan berasaskan komuniti. “Mata pencarian jangka panjang ini menggalakkan komuniti untuk terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukan keuntungan jangka pendek. “Oleh itu, kita semua harus memastikan pengiktirafan kedua rizab biosfera ini dapat memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang tinggal di kedua-dua kawasan rizab biosfera ini,” katanya. – Info X

June 14, 2026

Info X Reporters

Juragan terjun laut tinggalkan rokok seludup

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup pelbagai barangan dipercayai dari negara jiran gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya memintas sebuah bot mencurigakan dalam operasi di perairan Pantai Merabung, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, juragan bot berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pantai berbatu berhampiran bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam yang diterima mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan. Menurutnya, sepasukan anggota PPM yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan. “Bagaimanapun, bot terbabit bertindak melarikan diri sehingga berlaku aksi kejar – mengejar sebelum berjaya dipintas oleh pasukan operasi. “Ketika pemeriksaan dijalankan, juragan bot bertindak terjun ke laut dan dipercayai meloloskan diri ke kawasan pantai berbatu berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemukan 150 karton rokok pelbagai jenama, dua tong gas, dua unit enjin pam serta lima jeriken kosong berkapasiti 30 liter yang dipercayai diseludup dari negara jiran. Menurutnya, usaha mengesan suspek segera dijalankan di sekitar kawasan berkenaan namun gagal menemui individu terbabit. “Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM51,910 dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut peruntukan undang – undang berkaitan dan PPM akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini,” katanya. – Info X

June 14, 2026

Info X Reporters

Mayat lelaki hanyut ditemui selepas operasi SAR hari kedua

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai ketika mandi-manda di Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, ditemui meninggal dunia pagi tadi. Mangsa, Abner Lasmel, 24, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi di kawasan sungai berkenaan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, lokasi mangsa ditemui dianggarkan kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum pasukan bomba bertindak mengangkat mayat menggunakan pengusung untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. “Pasukan bomba bersama agensi berkaitan menjalankan operasi pencarian di sepanjang sungai sebelum mangsa ditemui oleh orang awam pada pagi ini. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan operasi SAR ditamatkan pada jam 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi – manda di sungai Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Abner dikatakan menjalankan aktiviti riadah bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus sungai yang kuat dan hilang dari pandangan. – Info X

June 14, 2026

Info X Reporters

Kerajaan akui sumbangan wartawan, bekerja tanpa kira waktu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan sokongan berterusan terhadap industri media di Sabah melalui tajaan kewangan untuk penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA). Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejak 2025, sumbangan tajaan untuk penganjuran KPA meningkat sebanyak RM110,000 berbanding RM100,000 pada 2024. “Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan sekali gus menyokong segala usaha untuk kecemerlangan pengamal media di negeri ini. “Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan sebagai penaja utama untuk majlis ini. Kerajaan negeri terus menjadi penyumbang utama tajaan kepada Kinabalu Press Awards pada tahun ini,” katanya sempena Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026, di sini, pada Sabtu. Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai. Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan wartawan sebagai rakan kongsi strategik dalam menyebarkan dasar dan kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat. “Pelaporan berita khususnya mengenai Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah digalas dengan sebaiknya. Malah, pada saat-saat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hinggalah berakhirnya Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun lalu, pengamal media terlibat secara langsung khususnya dalam aspek pelaporan berita. “Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat. “Sepanjang tempoh itu juga, saya dapat melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa. “Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pengamal media atas komitmen dalam menjalankan tugas mereka,” katanya. Beliau berkata, walaupun kepantasan berita menjadi keutamaan, ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi. “Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab. “Pengamal media juga perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya. – Info X

June 14, 2026

Info X Reporters

Kerajaan Sabah komited pastikan perpaduan kekal utuh

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas kepada pembangunan Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan pimpinannya sentiasa menyokong semua program berunsur perpaduan yang mempertemukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, agar hubungan antara komuniti terus diperkukuh. “Kita juga mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan konsep kesejahteraan, ihsan, hormat-menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara, sebagai asas keutuhan perpaduan dan kemakmuran bersama,” katanya. Beliau berkata demikian pada sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Likas, di sini, pada Sabtu. Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan tahun ini adalah satu penghormatan besar kepada negeri ini. “Ia juga adalah satu pengiktirafan terhadap budaya kehidupan masyarakat Sabah yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai satu cara hidup warisan turun-temurun. “Inilah juga sumbangan terbesar Sabah kepada pembinaan negara bangsa Malaysia. Kita juga melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung dan Sarawak, bersama-sama di sini, bukan hanya sebagai tetamu, tetapi juga sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya. Ketua Menteri turut mengajak semua untuk menyelami dan mentafsir semula erti perpaduan sebagai persediaan mendepani masa depan yang lebih mencabar. “Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur sekadar pada budi bahasa yang indah atau batas toleransi yang pasif. “Sebaliknya, perpaduan yang tulen menuntut tindakan yang nyata, komitmen yang berterusan, keikhlasan, rasa saling menghormati dan yang paling utama ialah terjaminnya keadilan sosio ekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah. “Sesebuah institusi keluarga, apatah lagi sebuah negara bangsa besar yang bersifat majmuk seperti Malaysia, hanya akan benar-benar utuh dan teguh apabila setiap ahlinya atau setiap negeri dan wilayahnya, merasakan diri mereka secara mutlak dihargai, dilindungi dan dibangunkan secara adil dan saksama. “Dengan semangat kekitaan dan kebersamaan yang tulen, sebagai satu keluarga besar Malaysia, hidup dalam semangat perpaduan itu penting dan hidup dalam keharmonian juga penting; ke arah kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya. Beliau juga mengajak seluruh rakyat Sabah supaya terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang selama ini menjadi identiti unik rakyat Sabah. “Dengan semangat kerjasama yang jitu, sudah pasti fokus kepada perpaduan dan pembangunan akan dapat dijayakan dengan lebih mudah melalui kesepakatan sosial dan iltizam politik yang melibatkan semua pihak. “Marilah kita terus mempereratkan komitmen bersama untuk memelihara kemakmuran, memperkukuh perpaduan dan memastikan keharmonian yang kita warisi hari ini dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya. – Info X

June 14, 2026

Info X Reporters

Info X pelopor Mobile Journalism di Sabah, mula lakar nama dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu

KOTA KINABALU: Portal berita Info X muncul antara pelopor ‘Mobile Journalism’ (MoJo) di Sabah yang diiktiraf menerusi Anugerah Mobile Jornalism diterima wartawannya sempena Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2026 pada Sabtu. Wartawan Info X, Junaidi Ladjana juga menjadi pengamal media pertama di negeri ini yang menerima anugerah itu berdasarkan liputan langsung dibuatnya sepanjang berkhidmat dengan Info X sejak empat tahun lalu. Anugerah itu disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada wartawan atas dedikasi mereka terhadap kerjaya yang mencabar itu. Info X dikenali dengan liputan langsung kes-kes jenayah, kemalangan atau insiden dan peristiwa yang berlaku di negeri ini, khususnya di ibu negeri dan sekitarnya. Selain anugerah MoJo, Info X turut mendapat anugerah merit bagi kategori Anugerah Kewartawanan Sukan menerusi laporan sukan bola sepak Sabah pada musim lalu. Anugerah itu juga adalah pencapaian pertama Info X dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) yang diiktiraf sebagai anugerah berprestij bagi pengamal media di Sabah. Info X merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada pembaca serta pengikutnya di semua saluran media sosial atas sokongan terhadap portal ini sejak ia mula melaporkan berita tempatan Sabah kira-kira empat tahun lalu. Portal ini akan terus membawakan laporan berita dan liputan langsung yang menarik dan bermaklumat untuk tatapan serta bacaan pengguna media sosial. – Info X

June 13, 2026

Info X Reporters

Mandi bersama rakan, lelaki hanyut dibawa arus

KOTA BELUD: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda di sungai Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Abner Lasmel, 24, dikatakan menjalankan aktiviti riadah bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus sungai yang kuat dan hilang dari pandangan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang. Menurutnya, sepasukan enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). “Menurut maklumat yang diterima daripada rakan mangsa, lelaki terbabit sedang mandi bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus deras dan hilang dari pandangan. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lengkap berkaitan kejadian sebelum memulakan operasi pencarian menggunakan kaedah water surface search and rescue di sepanjang sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, operasi SAR masih diteruskan dengan memberi tumpuan di kawasan mangsa dipercayai hanyut. “Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan,” katanya. – Info X

June 13, 2026

Info X Reporters

PM umum peruntukan RM250,000 untuk sekolah di Sipitang

SIPITANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM250,000 untuk sekolah menengah di daerah ini, sempena lawatan kerjanya, di sini, pada Sabtu. Katanya, walaupun peruntukan itu tidak diminta, beliau mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menyalurkan segera kepada sekolah di daerah ini. Peruntukan itu, katanya untuk membantu sekolah menambah kemudahan seperti peralatan komputer, peralatan tenaga pengajar dan membaiki kemudahan sekolah. “Jadi, untuk sekolah ini penting saya nak pastikan, sekolah menengah Sipitang juga tidak ketinggalan. Tolong tengok bincang dengan PPD dan di Parlimen bagaimana boleh kita bantu tambahan, sama ada peralatan komputer, peralatan tenaga pengajar, baiki kemudahan sekolah, saya beri suku juta ringgit, RM250,000, segera kita lulus. “Mintapun tidak, kerana saudara Hajiji (Ketua Menteri) baik, dia tahu saya ada tekanan kewangan tidak minta, tapi saya fikir dah datang Sipitang ini dan kenangkan syarikat elektrik baiknya, senyum lega hatinya, dan oleh itu kita luluskan dan ini segera melalui ICU. “Pengarah ICU ada sini, wakil ICU ada ya, tolong selaraskan supaya dipercepatkan saya tidak mahu umum bulan Jun 2026, mula projek bulan Ogos 2027. Itu memang sikap lapuk, saya tidak mahu. “Umum hari ini dua minggu harus ada wakil yang ke sekolah untuk tanya dah berjalan projek,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern Madani Link, di sini. Terdahulu, Perdana Menteri menyifatkan Projek Sabah Southern Madani Link sebagai projek penting dalam usaha meningkatkan kecekapan bekalan elektrik di Sabah. Katanya, bekalan elektrik yang stabil penting bagi memenuhi keperluan rakyat, selain menarik kedatangan pelabur untuk meneroka peluang ekonomi yang dapat meningkatkan lagi pembangunan dan kemakmuran rakyat Sabah. “Bila ada kemudahan ini, yang pertama, kemudahan rakyat baik. Yang kedua, jaminan harganya itu berpatutan dan munasabah dan berikutnya menjamin pertumbuhan ekonomi. “Siapa nak datang melabur kalau elektrik pun sekejap gelap, sekejap terang, kemudian ada kawasan tidak ada elektrik dan tidak cukup untuk menjana industri. “Sebab itu perkara ini kita anggap kritikal dan bila dikemukakan oleh Kerajaan Negeri, saya beritahu Kementerian Kewangan mesti beri tumpuan,” katanya. Katanya, walaupun berdepan kekangan kewangan disebabkan situasi global yang mencabar, kerajaan harus bijak melihat dan menilai keperluan penting untuk rakyat dan pembangunan. – Info X