Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 3, 2026

Info X Reporters

Wanita warga emas cedera terjatuh ketika tebang pokok

PENAMPANG: Seorang wanita warga emas cedera selepas terjatuh di lereng bukit ketika menebang pokok di Kampung Noosob, Jalan Tuntuluk, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.54 petang itu, mangsa berusia 77 tahun dipercayai terjatuh dari lereng bukit berketinggian kira-kira dua meter. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.54 petang. Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.02 petang. “Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati seorang wanita warga emas mengalami kecederaan selepas terjatuh di lereng bukit ketika menjalankan kerja menebang pokok. “Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa menggunakan pengusung (stretcher) dan tangga dari kawasan lereng bukit ke lokasi yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.28 petang,” katanya. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

Beg berisi tembaga belum sempat dijual, pencuri kabel dicekup

KOTA MARUDU: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity di Pitas akhirnya terbongkar apabila dia diberkas bersama tembaga hasil kupasan kabel yang dicuri, awal pagi tadi. Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, polis turut merampas satu beg berisi tembaga yang dipercayai diperoleh daripada kabel yang dicuri. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu hasil maklumat orang awam. Menurutnya, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berasal dari Kampung Maringgan, Pitas, dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity di kawasan Telaga, Pitas. “Hasil pemeriksaan turut menemukan satu beg berisi tembaga 12 kilogram yang dipercayai hasil kupasan kabel yang dicuri dan dipercayai belum sempat dijual. “Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu. “Kes kini disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam. “Suspek juga akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. Simiun berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan berkenaan. “Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah dan orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis,” katanya. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

Terpinga-pinga selepas kemalangan, lelaki mengaku guna vape mengkhayalkan

KOTA KINABALU: Tingkah laku seorang lelaki yang dilihat terpinga-pinga dan dipercayai khayal selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di bandar raya ini pada 1 Jun lalu, sehingga tular di media sosial akhirnya terbongkar. Rakaman kejadian berkenaan mula tular sejak semalam dan mengundang pelbagai reaksi netizen. Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah mendapati lelaki berusia 24 tahun itu mengaku menggunakan vape mengandungi campuran dadah yang dibeli di sekitar Tanjung Aru. Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, hasil siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah berjaya mengenal pasti lelaki berusia 24 tahun itu yang berasal dari Kota Marudu. Menurutnya, maklumat yang diperoleh kemudian membawa pasukan siasatan kepada ibu lelaki terbabit yang menjalankan perniagaan di daerah berkenaan. “JSJN Kota Marudu digerakkan dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas sabjek. Walau bagaimanapun, keputusan ujian adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah. “Bagaimanapun, hasil temu bual lanjut mendapati dia mengaku menggunakan vape yang mengandungi campuran dadah yang dibeli daripada seorang lelaki di sekitar Tanjung Aru,” katanya. Susulan itu, beliau berkata maklumat berkaitan penjual cecair vape campuran dadah berkenaan sudah disalurkan kepada JSJN Kota Kinabalu untuk tindakan dan siasatan lanjut. Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang pemandu dipercayai berada dalam keadaan khayal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dalam rakaman berkenaan, beberapa individu dilihat cuba bertanyakan mengenai ganti rugi kerosakan yang berlaku, namun lelaki terbabit hanya berdiam diri dan kelihatan berada dalam keadaan tidak sedar sepenuhnya atau “high”, sehingga mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

ETCon26 buka tirai, meterai perjanjian strategik pacu peralihan tenaga negara

KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuka tirainya hari ini dengan menyaksikan beberapa perjanjian strategik dan pengiktirafan penting yang dijangka mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia serta rantau ASEAN. Persidangan selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof. Dalam ucaptama khasnya, beliau menyifatkan ETCon26 sebagai platform serantau yang strategik dan tepat pada masanya dalam memperkukuh kerjasama serta memacu pelaksanaan penyelesaian praktikal bagi agenda peralihan tenaga di Malaysia dan ASEAN. Hari pertama persidangan turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong di Terengganu, yang diiktiraf sebagai projek BESS pertama negara yang disambungkan ke grid menggunakan teknologi grid-forming. Fasiliti berkapasiti 100 megawatt (MW) dan 400 megawatt-jam (MWh) itu ditauliahkan lebih awal daripada jadual pada 16 April lalu serta mampu menyokong keperluan elektrik kira-kira 40,000 isi rumah. Selain itu, TNB Power Generation Sdn Bhd, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd turut memeterai Perjanjian Pemegang Saham serta Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan bagi projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Kenyir. Projek berkenaan menggabungkan kapasiti penjanaan solar terapung sebanyak 785 MWp bersama sistem BESS berkapasiti 1,190 MWh, yang disifatkan sebagai terbesar di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan usaha negara memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu dan meningkatkan keselamatan tenaga jangka panjang. Fadillah turut menyaksikan pertukaran dokumen Joint Venture Head of Terms antara TNB Renewables Sdn Bhd dan SME Consortium bagi pembangunan projek solar atas tanah berkapasiti 750 MWp bersama sistem BESS berkapasiti 1,000 MWh. Persidangan itu turut menampilkan pelbagai sesi dialog dan plenari yang membincangkan cabaran keselamatan tenaga, penyahkarbonan, pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor tenaga. Antara topik utama ialah strategi memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik serta peranan tenaga nuklear dalam mencapai sasaran pelepasan sifar bersih ASEAN. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, syarikat itu akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menyokong aspirasi kemampanan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia serta ASEAN melalui usaha pemodenan grid, integrasi tenaga bersih dan kerjasama strategik. ETCon26 yang bertemakan “Tenaga dan Kecerdasan Buatan (AI): Sinergi Memacu Peralihan Tenaga” menghimpunkan kira-kira 80 penceramah dari Malaysia dan seluruh dunia, mewakili sektor tenaga, teknologi, kewangan, dasar dan infrastruktur. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

Amaran ribut petir di empat bahagian hingga malam Rabu

KOTA KINABALU: Jabatan Meterorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di empat bahagian di Sabah bermula petang ini hingga jam 7 malam ini. Amaran itu membabitkan bahagian pedalaman yang merangkumi Keningau dan Tambunan, diikuti Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas). Amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. MetMalaysia berkata, ia adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut, pacuan empat roda dibakar selepas nahas

PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar – Kota Kinabalu berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda. Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong paling kanan jalan. “Pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut dan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pemandu serta seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut mendapati kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan pemandunya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan telah dibakar oleh individu yang masih belum dikenal pasti. “Tindakan mengesan individu yang terlibat dalam kejadian membakar kenderaan berkenaan sedang dijalankan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8005133 atau mana-mana balai polis berhampiran. “Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar mangsa atau lokasi kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga,” katanya. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

PGA Lahad Datu rampas lebih RM1 juta sepanjang Mei

LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu merekodkan rampasan bernilai lebih RM1 juta menerusi 17 serbuan dan 27 laporan polis membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang Mei lalu. Batalion 17 PGA Lahad Datu dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 26 individu ditahan sepanjang operasi dijalankan, membabitkan 24 lelaki dan dua wanita. Daripada jumlah itu, 15 lelaki adalah warga tempatan manakala sembilan lelaki dan dua wanita lagi merupakan warga asing. Menurut kenyataan itu, nilai keseluruhan rampasan sepanjang tempoh berkenaan dianggarkan RM1,038,100.95 melibatkan pelbagai jenis barangan termasuk minyak diesel subsidi, ketum, ubat batuk, dadah jenis syabu, ayam sabung baka Filipina, minyak masak bersubsidi, rokok seludup dan kenderaan. Antara kejayaan yang direkodkan ialah tiga serbuan dijalankan Kompeni B menerusi Op Taring Esszone di kawasan Felda Sahabat dan Silabukan. “Hasil serbuan itu, empat individu termasuk dua warga asing ditahan bersama rampasan empat kilogram serbuk ketum, 23 botol air ketum yang sudah diproses serta ubat batuk. “Kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu. Selain itu, dalam Op Tiris 4.0 dan Op Taring Bravo 1 pada 20 Mei lalu di Batu 9, Segama, pasukan Cawangan Risik PGA berjaya menahan sebuah lori yang membawa 12,000 liter minyak diesel subsidi tanpa permit sah dan dipercayai cuba diselewengkan. Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan turut ditahan sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut. Menurut kenyataan itu lagi, semua tangkapan dan rampasan sepanjang Mei lalu membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan Sabah 2015, Akta Kastam 1967 dan Akta Senjata Api 1960. Batalion 17 PGA Lahad Datu turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang membantu menjayakan operasi penguatkuasaan selain mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. – Info X

June 3, 2026

Info X Reporters

Video tular pergaduhan di KDCA berpunca salah faham

PENAMPANG: Polis sedang mengesan semua individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai berlaku di kawasan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), sepanjang sambutan Pesta Kaamatan baru-baru ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu. Menurutnya, pergaduhan itu bagaimanapun tidak membabitkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian. “Beberapa individu sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. “Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti semua individu yang terbabit selain mengesan saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, rakaman video yang tular di media sosial turut diteliti bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut. Terdahulu, beberapa klip video memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di luar kawasan KDCA, Penampang, tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai. Rakaman berkenaan menunjukkan beberapa individu bertumbuk dan bergelut sebelum keadaan berjaya dikawal oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian. Sehubungan itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X