May 26, 2026
Info X Reporters
Jalan utama Sandakan – Lahad Datu runtuh
KINABATANGAN: Jalan utama menghubungkan Sandakan dengan Lahad Datu di kawasan WP25 Sukau, di sini, runtuh awal pagi tadi hingga menjejaskan perjalanan ribuan pengguna jalan raya. Kejadian itu dipercayai berlaku akibat struktur tanah yang mendap sehingga menyebabkan sebahagian jalan berkenaan mengalami kerosakan serius. Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah sudah diarahkan untuk segera menjalankan pemeriksaan di lokasi. Katanya, langkah itu bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan susulan yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. “Kita sudah arahkan pihak JKR untuk turun ke lokasi dan melakukan penilaian segera terhadap keadaan jalan berkenaan. “Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan itu selain bersabar dengan kesulitan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Difahamkan, laluan di Sukau itu adalah antara jalan utama yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah selain menjadi sebahagian daripada jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat dilaksanakan. Kerosakan jalan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna terutama pemandu kenderaan berat yang menggunakan laluan itu setiap hari. Sebelum ini, kejadian hampir sama turut dilaporkan berlaku di kawasan Silam, Lahad Datu yang dipercayai berpunca daripada keadaan tanah mendap dan tidak kukuh. Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan pemantauan di lokasi kejadian sementara kerja pembaikan dan tindakan lanjut sedang diselaraskan. – Info X
May 26, 2026
Info X Reporters
14 kontena ayam beku bernilai RM2.43 juta ‘menyamar’ kentang disapu AKPS
KOTA KINABALU: Sebanyak 14 kontena mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk dengan ‘menyamar’ sebagai ubi kentang dan kacang peas berjaya dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Pelabuhan Sepanggar, di sini, baru-baru ini. Rampasan ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk dari China dan Hong Kong itu dianggarkan bernilai RM2.43 juta dengan keseluruhan berat mencecah 404,232 kilogram. Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan bermula 19 Mei lalu hasil kerjasama strategik antara AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) serta pihak berkuasa pelabuhan. Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan pegawai AKPS di kawasan Custom Examination Area (CEA) mendapati semua kontena berkenaan mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk melalui pengikraran tidak benar. “Rampasan melibatkan anggaran berat sebanyak 404,232 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.43 juta. “Produk berkenaan dipercayai berasal dari China dan Hong Kong. Modus operandi mendapati semua barangan ini telah pun dipaketkan dalam paket yang menunjukkan daripada dua buah negara dan sedia untuk dijual di pasaa tempatan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini. Suhaily berkata, susulan kejayaan itu, AKPS menyita keseluruhan dagangan bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235] berkaitan kesalahan membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material. “Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. Sementara itu, Suhaily berkata, AKPS turut mengenal pasti 12 lagi kontena yang dipercayai menggunakan modus operandi serupa dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa. Katanya, semua kontena tambahan itu dianggarkan melibatkan berat keseluruhan sebanyak 348,000 kilogram dengan nilai dagangan kira-kira RM3.42 juta. “AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau sebarang bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara. “Sehubungan itu, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan demi memastikan keselamatan sempadan dan pematuhan terhadap undang-undang negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
May 26, 2026
Info X Reporters
MRSM Kota Kinabalu bakal dikenali sebagai MRSM Tun Musa Aman
KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu bakal dinamakan semula sebagai MRSM Tun Musa Aman. Perkembangan itu dinyatakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Isnin. Katanya, tarikh pemasyhuran nama baharu itu akan diumumkan selepas mendapat persetujuan rasmi daripada Tun Musa. “Kunjungan hormat pada hari ini adalah untuk menyampaikan hasrat kami secara rasmi bagi mendapatkan persetujuan Tun Musa, setelah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah mengisytiharkan untuk menamakan dan memasyhurkan MRSM Kota Kinabalu dengan nama Tun Musa Aman. “Kunjungan ini juga adalah bagi mendapatkan persetujuan daripada Tun Musa supaya pemasyhuran itu dapat disegerakan. “Alhamdulillah, Tun Musa amat berbesar hati menerimanya dengan penuh rasa penghargaan dan pemasyhuran dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya. Beliau berkata, nama rasmi baharu MRSM itu akan dimaklumkan oleh pejabat Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam masa terdekat. MRSM Kota Kinabalu yang terletak di Kinarut, Papar adalah MRSM pertama di Sabah dan dibuka sejak April 2002. – Info X
May 26, 2026
Info X Reporters
Rumah, tiga kereta dan enam motosikal musnah terbakar
TENOM: Sebuah rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Skim LIGS Laut Seberang, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, enam motosikal turut musnah namun tiada mangsa dilaporkan terbabit. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mudi Pengiran berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 11 kilometer dari balai pada jam 3.02 pagi dan mendapati sebuah rumah sudah terbakar sepenuhnya. “Turut terbakar dua kenderaan hingga musnah 100 peratus manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus pada bahagian bampar hadapan. “Selain itu, enam motosikal turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba. Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.33 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.18 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Karung penuh tembaga belum sempat ‘jalan’, dua lelaki diberkas
KOTA MARUDU: Kegiatan mencuri kabel di sekitar Pitas terbongkar selepas dua lelaki tempatan ditahan dalam operasi khas dijalankan sepasukan polis, awal pagi tadi. Dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bersama Balai Polis Pitas itu, polis turut merampas lima karung berisi tembaga dipercayai hasil kupasan kabel curi. Turut disita sebuah kenderaan Perodua Aruz yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat disalurkan orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di sekitar daerah Pitas. Katanya, hasil operasi itu membawa kepada penahanan dua suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 28 dan 43 tahun di Kampung Kesegaan dan Kampung Saab, Pitas. “Pemeriksaan lanjut menemui lima karung berisi tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel curi selain sebuah kenderaan Perodua Aruz. “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Menurutnya, polis menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan. “Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Cubaan seludup PATI, lembu, diesel guna bot jongkong tidak lepas
KUDAT: Taktik menyelinap masuk menggunakan bot jongkong dalam keadaan gelap di perairan Pulau Balambangan, di sini, tidak berhasil apabila cubaan membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama muatan seludup berjaya dipatahkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), semalam. Dalam operasi menerusi Op Pasir itu, pasukan keselamatan turut merampas beberapa barangan dipercayai cuba diseludup termasuk lembu, enjin pam bot dan minyak diesel yang dibawa menggunakan bot jongkong berkenaan. Operasi dilaksanakan hasil maklumat pengesanan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum Trup Quick Reaction Force (QRF) 9 RAMD (PARA) bersama aset Skuadron Bot Tempur digerakkan ke lokasi pemintasan. Sebaik dikesan, bot jongkong terbabit terus dipintas pasukan keselamatan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat lima PATI bersama pelbagai muatan di dalam bot berkenaan. Kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada APMM Kudat untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. ATB 2 dalam kenyataannya hari ini berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan keselamatan serta kerjasama erat agensi penguat kuasa di kawasan ESSZone dalam membanteras jenayah rentas sempadan. Menurutnya, kawalan dan pemantauan di kawasan perairan terutama di laluan panas penyeludupan akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Projek restorasi terumbu karang Pulau Selakan musnah akibat bom ikan
SEMPORNA: Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), di sini, yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu mengalami kerosakan serius akibat aktiviti pengeboman ikan yang dikesan pada Sabtu lalu. Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata aktiviti haram itu dilaporkan Renjer Kehormat Taman-Taman Sabah. Bagaimanapun, katanya suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS di lokasi kejadian. “Saya memandang serius serta melahirkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap insiden pengeboman ikan yang berlaku di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna. “Maklumat awal mengenai kejadian ini telah diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei 2026 sekitar jam 11.40 pagi. Walau bagaimanapun, suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS di lokasi kejadian,” katanya. Pemantauan awal selepas kejadian itu oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) pada hari yang sama, katanya mendapati terdapat dua kawah yang dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan di kawasan restorasi terumbu karang terbabit. Selepas itu, katanya pemantauan lanjut pada Isnin (25 Mei 2026) oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan insiden itu mengakibatkan kemusnahan serius terhadap ekosistem marin di kawasan berkenaan. “Penilaian lapangan mendapati sekurang-kurangnya 10 frame reef star telah terjejas melibatkan keluasan kerosakan sekitar 15 meter persegi, bersamaan 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan restorasi. “Kebanyakan spesies karang yang terkesan terdiri daripada Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang telah dipulihara dan dipulihkan secara berterusan sejak dua tahun lalu melalui usaha restorasi yang melibatkan pelbagai pihak. “Dari sudut kerugian dan impak pemuliharaan, anggaran awal menunjukkan kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan yang terjejas mencecah sekitar RM96,000, selain kerosakan terhadap struktur reef star yang dianggarkan bernilai sekitar RM3,000. “Penilaian perkhidmatan ekosistem (ecosystem service evaluation) turut menunjukkan kawasan ini mempunyai nilai manfaat ekologi dan sumber marin yang amat tinggi,” katanya. Jafry berkata, insiden itu amat membimbangkan kerana bukan saja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan marin yang dibangunkan sejak sekian lama, malah turut mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin dan keselamatan pelancong, selain berpotensi menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa. “Saya turut dimaklumkan bahawa keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka, kekangan aset penguatkuasaan termasuk bot, serta ketiadaan substesen atau pos kawalan tetap di Pulau Selakan merupakan antara cabaran utama dalam memperkukuhkan keupayaan tindakan balas pantas (fast response) di lapangan. “Sehubungan itu, saya telah meminta pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk meneliti serta memperkukuhkan langkah-langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, termasuk aspek penempatan aset dan logistik, penggunaan teknologi seperti dron serta pengukuhan kehadiran fizikal pasukan penguat kuasa di kawasan-kawasan berisiko tinggi bagi mempertingkat kawalan dan perlindungan di TMTS. “Saya juga menyeru komuniti maritim, nelayan tempatan dan semua pihak berkepentingan agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memelihara khazanah marin negeri ini dengan menyalurkan maklumat segera berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau pencerobohan di kawasan taman,” katanya Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan. Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan demi memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus terpelihara untuk generasi masa hadapan. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Carlsberg Malaysia salur RM600,000 untuk pemuliharaan biodiversiti hutan
KUALA LUMPUR: Carlsberg Brewery Malaysia Berhad mengumumkan kerjasama strategik bernilai RM600,000 bersama Dana Hutan Malaysia (Malaysia Forest Fund, MFF) bagi menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti hutan negara menerusi program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) baharunya, Brewing Tomorrow. Kerjasama itu menandakan langkah pertama syarikat berkenaan dalam bidang pemuliharaan hutan, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang sejajar dengan keutamaan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030. Majlis simbolik kerjasama berkenaan berlangsung di Kediaman Duta Denmark ke Malaysia sempena sambutan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologi 2026, sekali gus menzahirkan sokongan syarikat terhadap usaha melindungi ekosistem dan biodiversiti negara. Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Stefano Clini berkata, inisiatif itu mencerminkan tumpuan syarikat terhadap usaha memelihara ekosistem yang menjadi asas penting kepada kelestarian alam sekitar dan operasi perniagaannya. Beliau berkata, air merupakan bahan utama dalam setiap penghasilan produk syarikat dan kualiti serta ketersediaannya bergantung secara langsung kepada kesihatan ekosistem hutan. “Melindungi hutan dan biodiversiti amat penting bukan sahaja untuk ketahanan alam sekitar, malah demi manfaat komuniti serta sektor perniagaan. “Menerusi kerjasama dengan Malaysia Forest Fund ini, kami menyalurkan RM600,000 bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti hutan. Kami percaya usaha melindungi alam semula jadi merupakan tanggungjawab bersama dan kerjasama seperti ini menjadi permulaan kepada hubungan jangka panjang yang berteraskan akauntabiliti serta kelestarian,” katanya. Melalui kerjasama itu, satu tabung pembiayaan khas akan diuruskan oleh MFF, dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dijemput memohon geran bagi melaksanakan projek pemuliharaan biodiversiti hutan di seluruh negara. Inisiatif itu dijangka memberi tumpuan kepada perlindungan dan pemulihan ekosistem kritikal termasuk simpanan karbon hutan, kawasan tadahan air serta biodiversiti tempatan, di samping membantu komuniti yang bergantung kepada sumber semula jadi berkenaan. Sebagai ahli pengasas Green Transition Alliance (GTA), inisiatif utama yang dipimpin Kedutaan Denmark di Malaysia, Carlsberg Malaysia turut menyokong tindakan kolektif dalam memperkukuh pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan alam sekitar menerusi kerjasama sektor awam dan swasta. Sementara itu, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, hutan memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon selain menjadi tunjang kepada biodiversiti dan ketahanan perubahan iklim. Katanya, usaha memperkukuh perlindungan ekosistem kini semakin relevan apabila elemen kelestarian semakin diberi perhatian dalam kerangka ekonomi dan perdagangan global. Pada majlis sama, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian Carlsberg Malaysia, Pearl Lai membentangkan program ESG Brewing Tomorrow yang merangkumi empat teras utama iaitu Pengurangan Karbon, Perlindungan Alam Semula Jadi, Pilihan Bertanggungjawab dan Pemerkasaan Masyarakat. Dalam pada itu, MFF turut memperkenalkan mekanisme Sijil Pemuliharaan Hutan serta membuka permohonan kepada NGO alam sekitar untuk mendapatkan pembiayaan di bawah dana RM600,000 berkenaan. Kerjasama itu dilihat mampu menyumbang kepada agenda biodiversiti negara, di samping memperkukuh daya tahan dan kelestarian operasi syarikat dalam jangka panjang. – Info X