May 25, 2026
Info X Reporters
Bapa dituduh bunuh anak berusia dua bulan selepas melakukan penderaan
LABUAN: Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pada Isnin, atas pertuduhan membunuh anak kandung berusia dua bulan setelah menjadi mangsa penderaan pada awal bulan ini. Tertuduh, Azmi Amat, 37, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Dr Melissa Chia Pui Fung. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintendan Ruslan Tarai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Labuan. Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali. Tertuduh seterusnya ditahan mengikut Seksyen 259 Kanun Keseksaan dan akan dihantar ke Penjara Kepayan di Kota Kinabalu sementara menunggu tarikh sebutan semula. Berdasarkan fakta kes, tertuduh disyaki mendera anak kandungnya yang berusia dua bulan selepas bayi perempuan itu dibawa ke Hospital Labuan pada awal bulan ini dan akhirnya meninggal dunia ketika dalam rawatan. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat trauma tumpul dan beberapa kesan patah tulang rusuk lama pada bahagian badan. Pihak hospital kemudian melaporkan perkara itu kepada polis sebelum polis melakukan siasatan dan menahan suspek. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Kuda, di sini. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Warisan sokong cadangan jawatankuasa dwipartisan, lima perkara kritikal perlu ditambah – Assaffal
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Warisan mengesyorkan lima tambahan perkara bagi menyokong cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan untuk membincangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P Alian, ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai mengenai perkara itu, berkata tambahan perkara yang dicadangkannya bertujuan memastikan jawatankuasa itu mempunyai hala tuju teknikal dan berfakta. “Saya merujuk kepada kenyataan YB Datuk Joniston Bangkuai yang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa dwipartisan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membincangkan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Saya memuji semangat beliau yang mengakui bahawa perjuangan ini melangkaui perbezaan ideologi politik demi kepentingan rakyat. “Walau bagaimanapun, bagi memastikan jawatankuasa ini mempunyai hala tuju yang teknikal dan berfakta, saya mengesyorkan beberapa penambahan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Pertama, katanya jawatankuasa itu perlu menyemak semula pengambilalihan undang-undang Sabah (LN 199/1965) “Jawatankuasa ini mesti meneliti secara khusus Warta Persekutuan L.N. 199/1965 [Modification of Laws (Declaration of Federal Present Laws) (Sabah) Order, 1965]. Melalui perintah ini, sebanyak 120 undang-undang sedia ada Sabah (Sabah Present Laws), termasuk yang berkaitan dengan hasil negeri, buruh dan sumber asli seperti The Petroleum Ordinance 1960 dan The Customs Ordinance telah diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan. “Kita perlu mempersoalkan sama ada pengisytiharan secara borong ini masih relevan atau ia sebenarnya telah menghakis kuasa autonomi Sabah yang sepatutnya dilindungi di bawah MA63. Ini bukan sekadar soal 40 peratus hasil, tetapi soal pemulangan kuasa perundangan yang telah ‘difederalkan’ sejak 16 April 1965,” katanya. Assffal berkata, perkara kedua yang perlu dilakukan ialah menetapkan garis masa selama 60 hari sebagai tanda keseriusan untuk menuntut hak Sabah. “Saya mencadangkan agar jawatankuasa ini diberi tempoh 60 hari untuk membentangkan laporan awal. Rakyat Sabah kini lebih berilmu tentang MA63 dan mereka mahukan tindakan yang pantas,” katanya. Seterusnya, beliau berkata perkara ketiga perlu mengambil kira solidariti Wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak), iaitu kerjasama kedua-dua negeri dalam menuntut hak masing-masing. “Berdasarkan dokumen yang sama, Sarawak juga tertakluk kepada perintah serupa melalui LN 200/1965. Oleh itu, saya mengajak Kerajaan Negeri untuk menggerakkan usaha ini bersama Sarawak. Sebagai dua Wilayah pembentuk Malaysia, suara kolektif kita akan menjadi blok yang lebih kuat untuk mendesak Putrajaya,” katanya. Assffal berkata, perkara keempat yang perlu ditambah dalam jawatankuasa dwipartisan itu iapah berkaitan gerak kerja berstruktur, dari DUN ke Parlimen. Tegasnya, hasil kajian jawatankuasa itu mestilah dibawa ke DUN Sabah untuk dijadikan usul rasmi bagi memberi mandat perundangan yang kuat. “Ia mesti digerakkan oleh MP Sabah, termasuk Ahli Parlimen Warisan seperti YB Isnaraissah Munirah Majilis, untuk dibawa ke Dewan Rakyat sebagai suara rasmi rakyat Sabah,” katanya. Yang terakhir, katanya perkara kelima berkaitan ultimatum legitimasi Persekutuan yang menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan harus diingatkan bahawa MA63 bukan sebuah ‘hadiah’ tetapi ia adalah syarat utama pembentukan Malaysia. “Jika syarat-syarat asal dan kuasa perundangan Sabah yang diambil melalui instrumen seperti LN 199/1965 ini tidak dikaji semula secara adil, maka ia akan menyentuh soal legitimasi semangat Persekutuan itu sendiri. “Parti Warisan bersedia bekerjasama demi memastikan hak Sabah dikembalikan ke kedudukan asalnya seperti yang termaktub sebelum Malaysia terbentuk,” katanya. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Sabah amal model pertumbuhan seimbang, tolak pembangunan musnahkan alam sekitar – KM
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggunakan model pertumbuhan seimbang dalam menangani isu alam sekitar dan pembangunan di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan pimpinannya tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar negeri ini. Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan Sabah tidak boleh menerima idealisme alam sekitar yang melambatkan kemajuan untuk rakyat. “Kita menolak kedua-dua pendekatan ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu. Tapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. “Jalan ke hadapan bagi Sabahialah model pertumbuhan seimbang. Itulah pertumbuhan dengan disiplin; pemuliharaan dengan nilai; pelaburan dengan tanggungjawab; peralihan tenaga dengan kemampuan dan kemampanan dengan keadilan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability World Green and Sustainability (WGSS) di Shangri La Tanjung Aru Resort, dekat sini, pada Isnin. Katanya, Sabah mungkin sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, namun mempunyai kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam dunia hari ini. “Kita dikurniakan modal semula jadi yang kaya dan biodiversiti luar biasa. Kita mempunyai sumber daratan dan maritim yang luas. Kita mempunyai potensi tenaga, kedudukan geografi yang strategik dan kestabilan politik. “Yang paling penting, kitamempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan. “Peluang yang ada di hadapan Sabah amat besar. Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti yang penting di peringkat global serta mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini. “Hari ini, Sabah diiktiraf sebagai pemimpin penting dalam pemuliharaan, bukan saja di Malaysia malah di seluruh Asia Tenggara. “Disebabkan itu, Sabah berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya. Hajiji berkata fasa pertumbuhan hijau Sabah seterusnya adalah bergerak kepada pemuliharaan yang mempunyai nilai. “Kita sedang beralih daripada melindungi sumber kepada membangunkan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut. Kita juga sedang beralih daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau. “Ini bermakna membangunkan pasaran karbon yang berwibawa dan memberi manfaat kepada Sabah. Ia juga bermakna menarik pelaburan hijau berkualiti yang mewujudkan nilai ekonomi sebenar dan mengembangkan industri berasaskan tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti. “Ia juga bermakna memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya. Ketua Menteri berkata jauh sebelum kemampanan menjadi agenda antarabangsa, Sabah sudahpun melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan sebahagian daripada ekosistem terkaya di rantau ini. “Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” katanya. Beliau berkata WGSS adalah platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda. Namun katanya, kemampanan bukan sekadar kedengaran baik di dewan persidangan tetapi ia juga mesti berfungsi di lapangan dan masuk akal kepada rakyat. “Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu dinilai dengan teliti. “Model pembangunan yang kelihatan baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukanlah model yang tepat untuk Sabah. “Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal. Ia mesti adil. Ia mesti mampu dilaksanakan dan paling penting, ia mesti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – Info X
May 25, 2026
Info X Reporters
Rumah, kereta musnah dalam kebakaran di Manggatal
KOTA KINABALU: Sebuah rumah jenis separuh kekal dan sebuah kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Kampung Taman Kemas, Kampung Dombung, Manggatal, di sini, pagi tadi. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 7.46 pagi selepas yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari BBP. “Sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki persegi yang sudah terbakar hampir keseluruhannya. “Turut terjejas dalam kejadian itu ialah sebuah kenderaan jenis Kia Citra yang diparkir berhampiran rumah berkenaan dan turut musnah sepenuhnya akibat kebakaran. “Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba bagi mengawal api daripada terus marak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.52 pagi sebelum operasi diteruskan bagi kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran serta pemeriksaan keselamatan di lokasi. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di kawasan kejadian. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya lagi. – Info X
May 24, 2026
Info X Reporters
Mangsa terkorban insiden bangunan runtuh di utara Filipina berasal dari Pitas
KOTA KINABALU: Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden bangunan runtuh di Filipina pada Ahad dikenal pasti seorang ahli perniagaan berasal dari Pitas. Memetik hantaran di Facebook Pitas Hari ini, mangsa dikenali sebagai Ng Lai Thau @ Dusun, seorang ahli perniagaan yang turut aktif dalam politik di Pitas. Berdasarkan info yang dikongsikan Facebook Pitas Hari Ini, kematian mangsa akibat insiden itu disahkan anaknya. Dalam insiden di bandar Angeles, Pampanga, utara Filipina pada jam 3 pagi Ahad, sebuah bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan dilaporkan runtuh. Sementara itu, laporan media antarabangsa menyatakan mangsa terkorban akibat terperangkap dalam sebuah hotel apartment yang terjejas akibat runtuhan bangunan terbabit. Dilaporkan seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas bangunan sembilan tingkat itu runtuh, masing-masing seramai 24 orang dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan. Dalam pada itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden berkenaan. “Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat. “Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan,” katanya. – Info X
May 24, 2026
Info X Reporters
13 ‘hiker’ sesat ketika mendaki ditemui selamat
SANDAKAN: Seramai 13 pendaki yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, di sini, malam tadi, berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan bomba. Dalam kejadian itu, semua mangsa membabitkan 12 perempuan dan seorang lelaki dilaporkan sukar mencari jalan turun dari kawasan bukit berikutan keadaan gelap. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam. Katanya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera Compact Rescue Tender (CRT) kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati semua mangsa masih berada di atas bukit dan tidak dapat mencari laluan keluar. “Pasukan bomba kemudian berjaya menemui kesemua mangsa sebelum mengiringi mereka turun dengan selamat hingga ke pintu utama RDC,” katanya. Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.14 malam selepas semua mangsa dipastikan selamat. – Info X
May 24, 2026
Info X Reporters
13 ‘hiker’ dikhuatiri sesat ketika mendaki
SANDAKAN: Seramai 13 orang dikhuatiri tersesat ketika mendaki bukit dalam kejadian di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) Sepilok, di sini, hari ini. Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa masih lagi dilakukan oleh sepasukan anggota bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.38 malam menerusi talian kecemasan. Katanya, lima anggota bergegas ke lokasi itu yang terletak 20 kilometer daripada balai sebaik menerima laporan. “Berdasarkan laporan awal, semua 13 mangsa melakukan aktiviti mendaki bukit di situ dan dikhuatiri tersesat. “Kita masih lagi menunggu laporan daripada anggota di lapangan. Maklumat akan dikemas dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
May 24, 2026
Info X Reporters
Remaja dicekup pecah rumah, larikan wang tunai RM3,630
TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan melarikan wang tunai lebih RM3,600 mengundang padah apabila dia berjaya diberkas polis, awal pagi tadi. Suspek berusia 15 tahun yang juga seorang pelajar ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Haji Karim, di sini. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan risikan susulan laporan pecah rumah yang diterima pada 21 Mei lalu. Katanya, mangsa bersama ahli keluarga menyedari kehilangan tiga dompet mengandungi wang tunai yang disimpan di dalam almari pakaian di bilik rumah mereka di Kampung Bergosong Besar. “Siasatan awal mendapati almari berkenaan dipercayai sudah digeladah selain terdapat kesan umpilan pada lantai kayu di bahagian tandas dan dapur belakang rumah yang dipercayai menjadi laluan masuk suspek. “Jumlah kerugian membabitkan wang tunai milik mangsa dan ibu bapanya dianggarkan RM3,630,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah. Beliau berkata, polis kini giat mengesan semula barang kes selain menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut. “Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan rumah sentiasa berkunci selain tidak menyimpan wang tunai dalam jumlah besar di kediaman bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah,” katanya. – Info X