Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 24, 2026

Info X Reporters

Tegur buat bising, lelaki disyaki ugut jiran guna topi keledar

TAWAU: Hanya kerana ditegur membuat bising, seorang lelaki dipercayai naik angin sebelum mengugut jirannya menggunakan topi keledar dalam kejadian di Taman Ria 6, Jalan Utara, di sini, Jumaat lalu. Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 41 tahun dikatakan menegur suspek yang membuat bising di kawasan kejiranan sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit. “Suspek kemudian dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mencederakan mangsa menggunakan topi keledar. Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun yang bekerja sebagai mekanik kira-kira jam 11 malam pada hari sama di kawasan Taman Ria 6,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, polis turut merampas sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan ketika kejadian. “Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi atau mengeluarkan ugutan yang boleh mengancam keselamatan orang lain kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Guna LC ‘cantik’, rupanya nombor casis dan enjin meragukan

TAWAU: Taktik dua lelaki menggunakan motosikal Yamaha LC135 dipercayai ‘clone’ terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam pemeriksaan di Batu 3 1/2, Jalan Apas, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menjalankan pemeriksaan terhadap dua motosikal di hadapan sebuah bengkel motosikal di Taman Sri Aman. Pemeriksaan kemudian mendapati nombor casis dan nombor enjin kedua-dua motosikal berkenaan dalam keadaan mencurigakan. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun termasuk seorang warga asing terus ditahan bagi membantu siasatan. Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah Yamaha LC135 hitam mendapati nombor casis motosikal itu sebenarnya didaftarkan kepada motosikal lain manakala nombor enjinnya pula menggunakan rekod kenderaan berbeza. “Pemeriksaan ke atas sebuah lagi Yamaha LC135 warna silver tanpa nombor pendaftaran pula mendapati nombor casis tidak mempunyai rekod selain nombor enjinnya dipercayai sudah diganggu. “Kedua-dua suspek juga gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kedua-dua motosikal itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut termasuk semakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemeriksaan teknikal berkaitan nombor enjin serta casis. “Kes disiasat mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah. “Polis akan terus mempergiat operasi bagi mengesan kegiatan penggunaan motosikal curi, ‘clone’ serta pengubahsuaian nombor casis dan enjin di daerah ini,” katanya. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

80 Menu Sabahan angkat warisan, galak budaya kebun dapur

KOTA KINABALU: Program 80 Menu Sabahan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari RTM Ke-80 bukan sekadar mengetengahkan keunikan makanan tradisional negeri ini, malah menjadi platform penting dalam usaha memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di Sabah. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar, berkata program yang digerakkan RTM Sabah itu wajar dipuji kerana membawa impak besar terhadap usaha memartabatkan budaya tempatan. Beliau berkata, makanan tradisional bukan sekadar hidangan harian, sebaliknya mencerminkan sejarah, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun. “Program seperti ini bukan sahaja mengangkat keunikan makanan tradisional Sabah, malah menjadi platform terbaik dalam memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya ketika merasmikan program itu, di sini, pada Ahad. Menurut Jamawi, keistimewaan makanan tradisional Sabah banyak dipengaruhi penggunaan sumber asli dan hasil bumi tempatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat sejak dahulu. Katanya, pelbagai menu tradisional di negeri ini menggunakan bahan seperti serai, kunyit, cili, pandan, ulam-ulaman, sayur kampung dan herba tempatan yang lazimnya ditanam sendiri di halaman rumah atau kebun dapur. Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar festival makanan semata-mata, sebaliknya turut membawa mesej penting mengenai kepentingan Inisiatif Kebun Dapur dalam kehidupan masyarakat masa kini. “Amalan berkebun perlu terus digalakkan kerana mampu menyediakan sumber makanan segar dan sihat untuk keluarga selain membantu menjimatkan perbelanjaan harian. “Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, amalan menanam sendiri bahan asas masakan di rumah adalah satu langkah yang sangat baik dan praktikal,” katanya. Jamawi berkata, banyak menu tradisional Sabah yang diketengahkan tidak akan lengkap tanpa penggunaan bahan segar daripada kebun dapur, sekali gus menyerlahkan keunikan makanan warisan yang dekat dengan alam serta gaya hidup masyarakat setempat. Beliau yakin sekiranya inisiatif kebun dapur terus diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda, ia mampu membantu memelihara warisan makanan tradisional selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan pertanian komuniti dan amalan hidup lestari. Dalam perkembangan sama, beliau berkata RTM sebagai medium penyiaran utama negara memainkan peranan besar dalam menyatukan rakyat melalui penyampaian maklumat, pendidikan dan hiburan sepanjang lapan dekad. Katanya, penganjuran program berteraskan budaya dan komuniti seperti itu amat bertepatan dengan semangat Sambutan Hari RTM kerana bukan sahaja meraikan sejarah penyiaran negara, malah mengangkat budaya, warisan serta gaya hidup masyarakat tempatan. Jamawi turut melihat program itu sebagai platform terbaik mempromosikan pelancongan gastronomi negeri ini, khususnya bersempena Tahun Melawat Sabah. “Makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi merupakan cerita tentang budaya, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun,” katanya. Beliau berkata, kementeriannya sentiasa menyokong usaha seumpama itu dan berharap ia terus diperkasakan pada masa hadapan. Pada majlis sama, Jamawi turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha dan Pesta Menuai kepada semua yang meraikannya. Turut hadir, Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah RTM Sabah, Yusni Mohamad Ali. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Curi kabel TM: Suspek nekad rempuh polis, Hilux terbabas ketika cuba melarikan diri

KOTA KINABALU: Tindakan dua lelaki dipercayai mencuri kabel telekomunikasi dengan bersembunyi di dalam mainhole berakhir gagal apabila mereka diberkas selepas kenderaan dinaiki terbabas ketika cuba meloloskan diri daripada polis, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit, anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang menjalankan rondaan mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah mainhole milik syarikat telekomunikasi itu. Pemeriksaan kemudian mendapati beberapa individu sedang melakukan kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam manhole berkenaan sebelum mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Suspek dipercayai menggunakan sebuah Toyota Hilux dan sebuah van Toyota Hiace untuk meloloskan diri dari lokasi kejadian. Bagaimanapun, situasi bertukar tegang apabila pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan kenderaan berkenaan sehingga membahayakan keselamatan petugas. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis berjaya menahan Toyota Hilux itu selepas kenderaan berkenaan terbabas berhampiran Jalan Likas berdekatan stesen minyak Shell Likas. Katanya, dua lelaki tempatan berjaya ditahan manakala sebuah van Hiace yang dipercayai turut terbabit sempat meloloskan diri dan kini sedang dikesan pihak polis. “Turut dirampas satu unit alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah berkenaan. “Pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia sudah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau van Hiace yang melarikan diri diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat Insp Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879. “Polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan curi kabel yang boleh menjejaskan sistem komunikasi awam serta keselamatan infrastruktur negara. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah ini kerana ia memberi kesan kepada sistem komunikasi awam,” katanya. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Op pusat hiburan: Empat termasuk wanita positif dadah

PENAMPANG: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Pusat Hiburan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi. Semua suspek tempatan berusia antara 19 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan dan ujian saringan air kencing dijalankan di dua premis hiburan sekitar daerah ini. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang yang diketuai Asisten Superintenden Polis Bakar Jasa. Katanya, operasi itu dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan dadah selain memastikan premis hiburan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Katanya, sepanjang operasi dijalankan, seramai 28 individu diperiksa sebelum empat daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC). “Empat individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan warga tempatan. “Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan pusat hiburan mematuhi peraturan ditetapkan. Sementara itu, beliau menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak polis menjaga keselamatan komuniti. – Info X

May 23, 2026

Info X Reporters

Lori muatan minyak masak terbalik, pemandu parah

TUARAN: Seorang lelaki cedera parah selepas lori 10 tan membawa muatan minyak masak yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Kampung Minangkop, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong AK Beki berkata, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera bomba dan EMRS digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.46 tengah hari dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan minyak masak. “Terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. “Pasukan EMRS kemudian memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak di atas jalan menggunakan hose reel bagi memastikan kawasan kejadian selamat. Operasi terkawal pada jam 12.57 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang selepas dipastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. – Info X

May 23, 2026

Info X Reporters

Kawasan Ekologi Sensitif kekal dilindungi di bawah Pelan Induk Hutan – KM

SOOK: Kerajaan negeri memastikan Kawasan Ekologi Sensitif (ESA) sentiasa dilindungi di bawah Pelan Induk Hutan yang sedang dirangka sebagai garis panduan pengurusan sumber hutan Sabah bagi tempoh 25 tahun akan datang. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif yang dilaksanakan menerusi Jabatan Perhutanan Sabah itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melaksanakan rasionalisasi guna tanah demi keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan konservasi alam sekitar. “Dengan tersedianya Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif atau Ecological Sensitive Area (ESA) tetap dilindungi tanpa mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah. “Perkara ini seiring dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang antaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Sook, di sini, pada Sabtu. Hajiji berkata, Kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan negeri, selari dengan Dasar Hutan Sabah 2018. Katanya, pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 63 peratus kawasan litupan hutan negeri yang meliputi 3.85 juta hektar yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain. “Bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah biodiversiti pula, Sabah komited untuk mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya. Hajiji berkata Sabah juga mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang merosot dengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan pembangunan ladang hutan seperti termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022 – 2036). Katanya, pembangunan ladang hutan dilihat sebagai antara strategi untuk memulihkan produktiviti hutan yang merosot, selain mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli dan memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan. Hajiji berkata, sebagai manifestasi terhadap keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, Kerajaan Sabah dengan kerjasama daripada United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (FOLUR IP). “Program ini akan melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan 2.1 juta hektar. Ia akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, di samping mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi (HCVF) untuk faedah alam sekitar dan pembangunan. “Program ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah dan dijangkakan akan memberi faedah kepada kira-kira 56,000 penduduk kawasan luar bandar,” katanya. Pada acara yang sama, Hajiji diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Kurup menyampaikan 1,136 geran tanah anak negeri (NT) bagi Parlimen Pensiangan dengan keluasan 2,303.84 hektar. Daripada jumlah itu, 295.51 hektar adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nabawan, manakala seluas 948.82 hektar lagi di kawasan DUN Tulid, diikuti 1,059.51 hektar bagi DUN Sook. – Info X

May 23, 2026

Info X Reporters

Pemandu Hilux lari selepas rempuh warga emas

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan pemandu sebuah Toyota Hilux berwarna hitam yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki warga emas di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Sepakat Jaya, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 4.25 petang itu, mangsa lelaki berusia 69 tahun dilaporkan sedang melintas jalan dari arah kanan ke kiri untuk menuju ke kawasan Indah Permai sebelum dirempuh kenderaan terbabit. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan sedang bergerak di lorong kiri jalan ketika kejadian berlaku. “Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas pada jam 4.56 petang. “Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Brymenderen Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X