May 23, 2026
Info X Reporters
Acah lari, dua pengedar syabu di Telipok Ria dicekup JSJN
TUARAN: Cubaan seorang lelaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis tidak berhasil apabila dia bersama rakannya dicekup dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Taman Telipok Ria, di sini, malam tadi. Dalam operasi jam 6.50 petang itu, pasukan JSJN IPK Sabah berjaya merampas 65.04 gram syabu bernilai RM3,252. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan. Katanya, selepas hampir 15 minit menjalankan pemantauan, pasukan serbuan mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan. “Menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas dikejar anggota serbuan manakala seorang lagi suspek ditahan di lokasi kejadian. “Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 65.04 gram dadah jenis syabu selain empat telefon bimbit pelbagai jenama dan sehelai seluar jeans pendek. “Pemeriksaan di rumah salah seorang suspek turut menemukan wang tunai RM3,180 serta sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki warga Filipina masing-masing berusia 35 dan 28 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan serta tinggal di Taman Telipok Ria. “Antara pengakuan awal diperoleh mendapati suspek mendakwa dadah itu diperoleh daripada ahli keluarganya sebelum dijual dalam kuantiti kecil. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Sementara itu, beliau berkata JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi di Telipok Ria dan tindakan agresif penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengelakkan Telipok Ria dijadikan lokasi selesa pengedaran dadah setempat. – Info X
May 23, 2026
Info X Reporters
100,000 alumni UMS berjaya dalam pelbagai bidang profesional
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sehingga kini melahirkan lebih 100,000 alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang profesional, selain menjadi tenaga pakar berkualiti di peringkat nasional dan antarabangsa. Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, malah berkata ramai graduan UMS kembali berkhidmat sebagai tenaga pengajar di UMS sendiri selain menyumbang kepakaran di universiti lain dalam dan luar negara. “Alumni adalah aset penting universiti serta bukti kejayaan UMS dalam melahirkan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, adab dan kemanusiaan yang tinggi. “Mahasiswa perlu mencontohi pengalaman serta nilai kepimpinan yang dibawa oleh alumni dalam membentuk jati diri sebagai pemimpin masa hadapan. “Setiap perbezaan pandangan perlu diraikan melalui pendekatan dialog, hikmah dan diplomasi, bukannya konfrontasi,” katanya pada Program Santai Alumni UMS yang diadakan selepas solat Jumaat, di Pusat Islam UMS, di sini, pada Jumaat. Program yang menghimpunkan alumni, pentadbiran universiti dan pimpinan mahasiswa itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim. Azrul turut menyampaikan khutbah Jumaat yang menyentuh mengenai peranan anak muda dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat. Kasim menegaskan generasi muda perlu menjadi agen perpaduan, membawa suara masyarakat secara berhemah serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian sosial. Beliau turut menekankan komitmen UMS untuk terus melahirkan graduan yang seimbang dari sudut akademik, kepimpinan dan nilai kemanusiaan selaras dengan aspirasi ‘Sabah Maju Jaya’. Alumni pula katanya perlu terus menyumbang idea, jaringan dan pengalaman demi pembangunan universiti serta masa depan UMS yang lebih cemerlang. Ends
May 23, 2026
Info X Reporters
17 barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Kaamatan, Gawai dari 27 Mei – 4 Jun
KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 yang disambut pada akhir Mei dan awal Jun ini. Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 akan dilaksanakan mulai 27 Mei hingga 4 Jun 2026 melibatkan keseluruhan 17 barangan meliputi 12 jenis barangan di Sabah dan Sarawak serta 11 di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan. Katanya, tempoh pelaksanaan skim itu ialah selama sembilan hari dan ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga. “Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama. “Di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (Sabah), kementerian telah mengenal pasti 12 jenis barangan berbanding 10 barangan pada 2025. Pertambahan dua jenis barangan itu ialah halia tua import dan ubi kentang (China). “Bagi SHMMP Hari Gawai 2026 (Sarawak), sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 barangan pada 2025. Satu barangan yang ditambah ialah daging kerbau import (India),” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan SHMMP Kaamatan dan Gawai 2026, di sini, pada Jumaat. Katanya, penentuan jenis dan harga maksimum bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2026 dibuat melalui perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya serta mengambil kira pandangan pemain industri. Bagi SHMMP Kaamatan tahun ini, katanya sebanyak enam jenis barangan di Sabah dan Labuan mencatat penurunan harga, tiga barangan kekal harga (dua di Labuan) manakala dua barangan baharu diperkenalkan. Untuk Hari Gawai, analisis perbandingan harga bagi tahun 2026 berbanding 2025 menunjukkan sebanyak lima barangan mengalami penurunan harga, tiga barangan kekal pada harga sedia ada, manakala satu barangan baharu. Armizan berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang membolehkan penentuan harga maksimum dibuat dan harga maksimum yang ditetapkan boleh disemak melalui laman web KPDN. “Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. “Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika. “Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga maksimum yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harga,” katanya. Beliau memberi amaran, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan penalti jika menjual barangan harga terkawal melebihiharga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal. Senarai Barangan Harga Terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (Sabah): Senarai Barangan Harga Terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (WP Labuan): Barangan Harga Terkawal SHMMP Hari Gawai 2026: Ends
May 22, 2026
Info X Reporters
Lori tangki bawa diesel subsidi kantoi di tepi jalan
TAWAU: Tindakan licik menyimpan 2,000 liter minyak diesel subsidi dalam sebuah lori tangki di tepi Jalan Kampung Aman, Tanjung Batu, di sini, terbongkar selepas dikesan pihak berkuasa, hari ini. Rampasan itu hasil tindakan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu). KPDN Tawau berkata, diesel berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan lori tangki jenama Nissan berkapasiti 10,000 liter. “Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM9,940 manakala keseluruhan nilai sitaan termasuk lori tangki berjumlah RM159,940. “Satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Tawau dan kawasan perairan sekitarnya. – Info X
May 22, 2026
Info X Reporters
Ops Tiris 4.0: 3,300 liter diesel dirampas, aset RM3.5 juta disita
TAWAU: Cubaan menyeludup 3,300 liter minyak diesel dipercayai ke negara jiran berjaya dipatahkan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di Kampung Merotai, Jalan Pitas, di sini, hari ini. Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan perairan daerah berkenaan. Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas minyak diesel yang disimpan di dalam lapan tong drum besi dipercayai untuk tujuan penyeludupan. Turut disita sebuah bot ‘skow’, sebuah bot tunda jenis tugboat, gulung hos sepanjang lima meter serta sebuah pam air 5 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pemindahan bahan api terbabit. Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM16,401 manakala keseluruhan rampasan termasuk aset dan peralatan lain mencecah RM3.5 juta. KPDN Tawau dalam kenyataan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut. “KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan bersubsidi. “Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan,” katanya. Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Katanya, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika sabit kesalahan. – Info X
May 22, 2026
Info X Reporters
37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu
KOTA KINABALU: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Selera yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah bersama JIM Tawau di sekitar Kota Kinabalu dan Tawau. Operasi berkenaan dijalankan sebagai sebahagian usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen di negeri ini. Dalam operasi yang dijalankan di 17 premis sekitar Kota Kinabalu dan Tawau itu, seramai 190 individu diperiksa membabitkan warga tempatan serta warga asing bagi tujuan semakan dokumen dan status imigresen. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 37 individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum ditahan untuk tindakan lanjut. Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa warga Filipina, selain tujuh lelaki dewasa warga Pakistan, tiga lelaki dewasa warga India serta lima perempuan dewasa warga Indonesia. Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, selain Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah membanteras kebanjiran PATI serta memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen termasuk individu atau majikan yang melindungi serta menggaji warga asing tanpa dokumen sah. JIM Sabah turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan. Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang khususnya membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman negara. – Info X
May 22, 2026
Info X Reporters
Samseng kedai runcit akhirnya diberkas
RANAU: Lelaki yang dipercayai mengugut dan memukul seorang pemuda sehingga rakaman kejadian itu tular di media sosial dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, akhirnya diberkas polis, hari ini. Suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian membabitkan mangsa lelaki berusia 19 tahun itu berlaku pada 19 Mei lalu ketika mangsa sedang membeli barangan dapur di sebuah kedai runcit. Katanya, mangsa kemudian terserempak dengan suspek sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba memarahi mangsa tanpa sebab. “Suspek dipercayai mengeluarkan buku lima berwarna keemasan sambil mengugut mangsa. “Suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bibir selain sakit di bahagian belakang badan dan bahu kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, hasil saringan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. “Semakan rekod lampau juga mendapati suspek pernah mempunyai rekod kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 2014. “Suspek turut akan ditahan bagi membantu siasatan tiga lagi kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang masih dalam siasatan polis,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala permohonan reman terhadap suspek akan dilaksanakan. Terdahulu, rakaman video memaparkan kejadian suspek memukul mangsa tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen. – Info X
May 22, 2026
Info X Reporters
APMM tahan lebih 4,000 migran sepanjang tahun ini
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan penahanan 4,107 migran dan 316 penyeludup di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) sepanjang tahun ini. Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara susulan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini. “Statistik tahun ini menunjukkan warga Myanmar mencatat jumlah tertinggi migran ditahan iaitu seramai 1,932 orang, diikuti Indonesia (1,727) dan Filipina (180). “Situasi ini membuktikan ancaman penyeludupan migran masih serius dan memerlukan tindakan penguatkuasaan agresif serta berterusan di semua kawasan perairan negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Operasi Redback 22/2026 yang dilaksanakan bersama Australian Border Force (ABF) di perairan Sandakan bermula 18 hingga 22 Mei lalu. Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Ab Majid; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed; Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain serta Kaunselor ABF ke Malaysia, Superintenden Brooke Leung. Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran tahun ini membabitkan penahanan 19 penyeludup dan 233 migran. “Majoriti penyeludup yang ditahan membabitkan warga Indonesia seramai 13 orang, diikuti Myanmar (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga tempatan. “Bagi migran yang ditahan atau diselamatkan pula, seramai 184 adalah warga Indonesia, diikuti Myanmar (46) dan Bangladesh (tiga),” katanya. Beliau berkata, operasi berkenaan turut membabitkan lima aset utama iaitu KM Pintar, KM Tebrau, Bot Banggi 14, Bot Kilat 34 dan Bot Kilat 37 selain rondaan laut, penggunaan Sea Rider, perkongsian risikan serta libat urus komuniti nelayan di Kampung Sungai Daling dan Kampung Bambangan. Katanya, antara kejayaan operasi ialah rampasan 27 kotak minyak masak dalam pemeriksaan di Jeti Nelayan Kampung Pukat pada 21 Mei lalu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sebelum semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya. Mohd Zawawi berkata, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui risikan, rondaan dan kerjasama pelbagai agensi di peringkat dalam negara serta antarabangsa bagi membendung aktiviti penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan. – Info X