May 10, 2026
Info X Reporters
DPMM Sabah sokong syarikat minyak dan gas milik anak tempatan
KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah memberi tumpuan serius terhadap industri minyak dan gas, selain menyatakan sokongan penuh kepada SAAEM Sabah Sdn Bhd yang disifatkan sebagai pemain baharu tempatan milik anak Sabah. Presidennya, Datuk M Sapawae @ Sapawai Tussin berkata, fokus itu selari dengan usaha memperkukuhkan penglibatan syarikat tempatan dalam industri berkenaan, khususnya membabitkan syarikat yang mempunyai pegangan saham rakyat Sabah. Katanya, DPMM Sabah akan terus menyokong perkembangan dan pengukuhan syarikat itu dalam ekosistem industri minyak dan gas yang semakin berkembang di negeri ini. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sebuah hotel, di sini, Sabtu lalu. Majlis itu menyaksikan SAA Engineering & Marine Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik bersama SAAEM Sabah Sdn Bhd selain berlangsungnya penyerahan Surat Hasrat (LOI) membabitkan DPMM Sabah. Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua (TYDP) DPMM Sabah, Muhammad Gaddafi Gulistan dan Naib Yang Dipertua, Shah Fareed Datuk Awang Sham. Sementara itu, Pengarah Urusan SAAEM Sabah, Muhammad Nasruddin Salim berkata, kerjasama berkenaan menjadi langkah strategik dalam memperkukuh industri minyak dan gas Sabah menerusi peningkatan penglibatan syarikat tempatan, pembangunan kapasiti serta pemindahan teknologi. Menurutnya, kerjasama bersama SAA Engineering & Marine yang berpangkalan di Terengganu itu membawa kepakaran teknikal yang mampu meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat serta vendor tempatan. Pada majlis sama, cawangan Sabah SAAEM turut menyerahkan permohonan keahlian kepada DPMM Sabah sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan dengan komuniti perniagaan tempatan. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Isu 40 peratus: ‘Pemimpin GRS gagal fahami ibu segala isu’ – Lisa Hassan Alban
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa gagal memahami ‘ibu’ kepada segala isu yang dikaitkan dengan tuntutan 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban, menyatakan perkara itu berdasarkan kenyataan pemimpin GRS yang bangga dengan kenaikan pemberian khas interim RM600 juta dan jangkaan jumlah itu meningkat kepada RM3 bilion. “Tuntutan kita adalah 40 peratus daripada hasil bersih, yang bermaksud jumlah itu bersifat dinamik dan meningkat mengikut pertumbuhan ekonomi. “Dengan menerima jumlah tetap (fixed sum), GRS secara sukarela telah meletakkan Sabah dalam kedudukan penerima sedekah dan bukannya rakan kongsi. “RM600 juta atau RM3 bilion hanyalah angka rawak yang diberikan mengikut ihsan Kerajaan Persekutuan. “Kenapa GRS begitu takut untuk menuntut pengiraan berdasarkan formula asal 40 peratus? Adakah kerana mereka lebih mementingkan kelangsungan politik di Putrajaya berbanding hak perlembagaan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau merujuk kepada kenyataan pemimpin GRS, Senator Datuk Anna Bell Perian baru-baru ini mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah. Lisa berkata, amat mendukacitakan apabila pemimpin GRS terus memilih untuk berpencak silat dengan retorik politik dan serangan peribadi berbanding menjawab persoalan asas yang beliau ajukan berkaitan penggunaan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membincangkan hak rakyat Sabah. Pemimpin Parti Warisan itu turut mempertahankan tindakan kerajaan Warisan sebelum ini yang didakwa pemimpin GRS gagal kerana hanya bersetuju dengan bayaran RM53.4 juta pada 2019. “Biar saya perbetulkan fakta ini: Warisan dengan tegas enggan membenarkan sebarang “warta” (gazette) dibuat ke atas jumlah tersebut. “Mengapa? Kerana sekiranya jumlah itu diwartakan, ia akan mematikan tuntutan 40 peratus dan mengunci Sabah kepada jumlah tetap untuk tempoh lima tahun lagi. “Warisan memilih untuk tidak berkompromi dengan hak perlembagaan demi kemenangan politik segera. Bukankah hanya setelah Warta 119/2022 diterbitkan barulah bermula tindakan semakan mahkamah dimulakan oleh SLS? Bukankah pendirian kerajaan GRS waktu itu bertentangan dengan SLS secara langsung? “Ingatkah lagi bahawa GRS begitu ghairah merayakan ‘pemberian khas’ yang sebenarnya merupakan taktik untuk melengah-lengah dan akhirnya melenyapkan formula 40 peratus tersebut,” katanya. Beliau berkata, pemimpin GRS tidak konsisten dalam kenyataan berkaitan isu 40 peratus selain menyebut perkara yang remeh dan melucukan. “Pada Mac 2023: Datuk Armizan kata Dewan Rakyat tidak sesuai bincang 40 peratus. Kini: Senator Anna Bell kata DUN Sabah pula tidak sesuai kerana ‘mengganggu proses teknikal’. “Jika Parlimen tidak sesuai dan DUN juga tidak sesuai, adakah GRS mahu rakyat Sabah bincang hak mereka di kedai kopi sahaja? Alasan bahawa usul oleh Datuk Roger Chin dan YB Chin Tek Ming akan ‘mengganggu proses perundangan’ adalah alasan yang lemah dan menghina fungsi institusi perundangan. “DUN adalah tempat untuk menetapkan mandat politik rakyat kepada eksekutif, bukannya sekadar ‘rubber stamp’ untuk keputusan yang dibuat secara tertutup,” katanya. Lisa turut mengkritik tindakan menolak usul dikemukakan ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin pada persidangan DUN baru-baru ini berhubung isu itu yang disifatkannya tidak wajar terhadap seorang pakar undang-undang. “Pelantikan Datuk Roger Chin sebagai penasihat undang-undang negeri dilihat sebagai langkah profesional, namun penolakan usul beliau membuktikan kepakaran beliau hanya digunakan sebagai ‘topeng’. “Apabila pakar yang anda lantik sendiri cuba membawa isu ini ke ruang rasmi, anda menyekatnya. Ini bukan diplomasi matang, ini adalah penindasan sistemik terhadap suara yang berbeza pendapat,” katanya. Berikutan itu, Lisa mendesak kepimpinan GRS untuk berhenti berselindung di sebalik Speaker DUN dan berhenti menyerang rekod masa lalu untuk menutup kelemahan masa kini. Katanya, rakyat Sabah bukan lagi rakyat yang boleh disogok dengan pengumuman ‘bonus interim’ sementara hak perlembagaan mereka digadaikan secara perlahan-lahan. “Jangan jadikan diplomasi sebagai alasan untuk bersikap tunduk. Kembalikan perdebatan 40 peratus ke Dewan Undangan Negeri. Jika anda benar-benar berjuang untuk Sabah, mengapa anda begitu takut untuk berdepan dengan usul kami,” katanya. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
17 bakal jurulatih futsal tamat kursus kejurulatihan Tahap 1
KOTA KINABALU: Seramai 17 peserta, masing-masing 14 lelaki dan tiga wanita berjaya menamatkan Kursus Sijil Kejurulatihan Futsal Tahap 1 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di sini. Kursus siri ke-10 di Sabah itu disertai peserta berusia antara 20 hingga 40-an, termasuk seorang peserta dari Brunei. Penganjurannya dilihat sebagai langkah berterusan memperkukuh pembangunan futsal akar umbi di negeri ini. Penganjur memaklumkan, Sabah kini mempunyai kira-kira 150 jurulatih Tahap 1, 40 jurulatih Tahap 2 dan hanya seorang jurulatih Tahap 3, iaitu tahap tertinggi dalam sistem kejurulatihan futsal AFC. Ketua Instruktor kursus, Azman Soaibah yang mewakili Football Association of Malaysia (FAM) dan Asian Football Confederation (AFC), berkata laluan pembangunan jurulatih futsal dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Tahap 1 hingga Tahap 3. Katanya, Tahap 3 memberi penekanan lebih menyeluruh melibatkan elemen kecergasan dan teknikal lanjutan, manakala Tahap 1 memfokuskan asas kejurulatihan. Beliau turut memaklumkan baru saja menamatkan kursus Tahap 3 tahun ini dan kini menjadi antara segelintir jurulatih di Malaysia yang memiliki kelayakan tersebut. Azman berkata, pendidikan futsal di peringkat awal penting bagi melahirkan pemain berkualiti sejak usia muda, seiring pembangunan futsal di negeri-negeri lebih maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur. “Sabah juga mempunyai ramai pemain berbakat termasuk pemain kebangsaan seperti Safar Mohammad dan Iwan Bakri selain pencapaian memberangsangkan dalam temasya SUKMA sebelum ini,” katanya. Perkembangan itu dilihat memberi petanda positif menjelang SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Sabah tahun depan. Sementara itu, Setiausaha Agung Sabah Football Association (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata pembangunan futsal memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti serta jurulatih di peringkat akar umbi. Jelasnya, komitmen jurulatih berkualiti amat penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan berdaya saing. Beliau berharap semua peserta kursus terus aktif menyumbang kepada pembangunan futsal di kawasan masing-masing serta menjadi agen perubahan dalam memperkukuh ekosistem sukan futsal negara. Tambahnya, proses pembelajaran seorang jurulatih tidak terhenti selepas memperoleh sijil kerana dunia sukan sentiasa berkembang dengan pendekatan baharu, teknologi moden dan corak permainan yang semakin pantas. Sehubungan itu, beliau menggesa jurulatih sentiasa menambah ilmu, mengikuti perkembangan semasa dan memperbaiki diri agar terus relevan serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, tenaga pengajar, fasilitator dan urus setia yang menjayakan Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 1 Tahun 2026. Beliau yakin peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan mampu melahirkan generasi pemain futsal lebih berkualiti dan berupaya mengharumkan nama negeri serta negara pada masa hadapan. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Baling kabel, lastik polis sebelum diberkas
BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada polis sambil bertindak agresif dengan melontar kabel dan melastik kenderaan pasukan polis berakhir dengan penahanannya dalam operasi di Jalan Bongawan, Papar. Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 20 tahun yang menaiki Proton Iswara bertindak memecut secara berbahaya selepas diarahkan berhenti sehingga mencetuskan aksi kejar – mengejar dari Pekan Beaufort ke Bongawan. Suspek akhirnya berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort dengan kerjasama anggota Balai Polis Bongawan, IPD Papar. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek bersama beberapa individu lain turut bertindak agresif sepanjang cubaan meloloskan diri daripada pihak polis. “Suspek dan individu lain dipercayai melontar kabel serta menggunakan lastik ke arah kenderaan pasukan polis ketika cuba melarikan diri. “Kenderaan suspek bagaimanapun terbabas di bahu jalan sebelum dia melarikan diri ke kawasan belukar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek berjaya diberkas selepas operasi mengesan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort. Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan, enam gulung kabel besar dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel. “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. “Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas pihak berkuasa,” katanya. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Curi kabel pencawang, suspek diberkas polis
BEAUFORT: Kegiatan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes khianat dan kecurian kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd akhirnya terbongkar selepas dia diberkas polis dalam satu operasi di Menumbok. Suspek lelaki tempatan itu dipercayai memecah masuk sebuah pencawang berhampiran Perkuburan Cina Kampung Asam Jawa, di sini sebelum meleraikan kabel serta komponen tembaga transformer hingga menyebabkan kerugian melebihi RM100,000. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merosakkan kunci pencawang dan memutuskan bekalan elektrik sebelum mencuri kabel serta komponen tembaga di lokasi berkenaan. “Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort berjaya menahan suspek dalam satu operasi di Jalan Kampung Melikai, Menumbok. “Turut dirampas beberapa barang kes termasuk kabel dipotong, dawai, enjin sangkut Yamaha 40HP dan tong minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, siasatan awal turut mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel di sekitar Beaufort dan Kuala Penyu. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. “Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mensabotaj kemudahan awam dan menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Dua kanak-kanak antara lapan cedera dalam kemalangan tiga kenderaan
KOTA KINABALU: Lapan individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan UMS berhampiran Kampung Delima Sulaman, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner, Proton Saga dan Proton Exora. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 11 anggota bersama jentera dari BBP Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.50 petang dan mendapati terdapat lapan mangsa mengalami kecederaan akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan. “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut. Katanya, operasi yang diketuai PBK I Masri Gari ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditemui maut atas bumbung dipercayai terkena renjatan elektrik
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di atas bumbung sebuah bangunan di Karambunai, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa ditemui di atas bumbung bangunan sebelum pasukan bomba dipanggil bagi membantu menurunkannya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 10 anggota bersama jentera dari BBP Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.50 petang dan mendapati terdapat seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik di atas bumbung bangunan. “Operasi menurunkan mangsa dilakukan menggunakan pengusung (stretcher) sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.06 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Lawatan ke SMK Banggi imbau kenangan 32 tahun lalu – PM
KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali kenangan lawatannya ke Pulau Banggi kira-kira 32 tahun lalu ketika meletakkan batu asas pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi yang kini menjadi satu-satunya sekolah menengah di pulau berkenaan. Menurut beliau, kunjungan ke Karakit baru-baru ini memberi makna tersendiri apabila berpeluang kembali menjejakkan kaki ke sekolah yang pernah dirasmikan pembinaannya pada 10 November 1994. “Sebaik tiba di Karakit, saya dibawa ke SMK Banggi, lokasi sama yang pernah saya kunjungi sekitar 32 tahun lalu. “Kunjungan ini menghimbau kembali lawatan saya pada 10 November 1994 untuk meletakkan batu asas dan melakukan pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan sekolah ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook. Anwar berkata, beliau turut berkesempatan bertemu bekas pengetua sekolah berkenaan, Abdul Kadir Junaidil yang memimpin SMK Banggi ketika mula membuka pintunya kepada pelajar pada 1997. Beliau berkata, sebelum sekolah itu diwujudkan, ramai pelajar dari Pulau Banggi terpaksa ke tanah besar Kudat untuk menyambung persekolahan di peringkat menengah. “Malah tidak kurang juga yang terhenti persekolahan kerana kekangan kos dan kesukaran perjalanan,” katanya. Menurut beliau, perkembangan SMK Banggi yang kini berdiri megah menjadi simbol perubahan besar terhadap akses pendidikan masyarakat di pulau terpencil itu. “Alhamdulillah, sekolah yang suatu ketika dahulu hanya sebuah tapak kini berdiri megah dan menjadi medan mencorak masa depan pulau terpencil ini. “Pertemuan dengan anak-anak yang pernah menimba ilmu di sekolah ini dan telah melangkah jauh dalam kehidupan memberi makna besar buat saya,” katanya. Anwar berkata, beliau berharap generasi muda Pulau Banggi terus berjaya dan kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat. “Semoga anak-anak Banggi terus berjaya, kembali menyumbang kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar kita membangunkan pulau ini demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah,” katanya. – Info X