May 9, 2026
Info X Reporters
Pusat pemprosesan avokado bakal diwujudkan di Tenom
TENOM: Sebuah pusat pemprosesan hasil pertanian khususnya avokado bakal diwujudkan di daerah ini bagi membantu meningkatkan nilai pasaran hasil tanaman petani tempatan sekali gus memperkukuh industri avokado di Sabah. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Tenom dipilih sebagai lokasi pembinaan pusat pemprosesan itu kerana kawasan pedalaman terutama daerah berkenaan merupakan antara pengeluar avokado terbesar di negeri ini. Beliau berkata, pembinaan pusat pemprosesan itu juga bertujuan menangani rungutan pengusaha avokado kampung yang berdepan masalah harga jualan rendah berbanding varieti premium QAV1. “Kita memahami tanaman avokado terbesar di negeri Sabah adalah di kawasan pedalaman terutama Tenom.Sebab itu kita menjadikan kilang ini di sini kerana ada rungutan daripada pengusaha tanaman avokado kampung apabila memasarkan hasil mereka dengan harga agak murah berbanding varieti QAV1,” katanya selepas melawat tapak kilang memproses hasil pertanian di sini, pada Sabtu. Menurut beliau, kementerian turut menggalakkan petani melakukan cantuman dewasa kepada varieti QAV1 bagi meningkatkan kualiti serta nilai komersial tanaman mereka. Dalam masa sama, katanya, pusat pemprosesan itu akan membantu memanfaatkan buah avokado yang tidak sesuai dijual di pasaran segar. “Ada hasil tanaman yang mungkin tidak boleh dijual ataupun mempunyai kualiti buah yang tidak sesuai untuk pasaran. Jadi kawasan ini akan diaktifkan sebagai tempat memproses hasil tanaman terutama avokado,” katanya. Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, petani di Tenom disaran terus memperluaskan tanaman avokado memandangkan kapasiti pengeluaran pusat pemprosesan itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa. “Kita kena ada jumlah hasil yang sesuai untuk memenuhi keperluan kilang ini,” katanya. Beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan persatuan penanam durian dan buah-buahan tropika bagi memperkukuh pemasaran hasil pertanian tempatan serta memperluaskan peluang pasaran kepada pengusaha di kawasan pedalaman. Sementara itu, Jamawi berkata, kementeriannya turut memperkasa sektor perikanan darat melalui pembinaan jeti pendaratan ikan pertama di Tenom. Katanya, pembinaan jeti itu mengambil kira aktiviti penangkapan ikan di Sungai Padas dan Sungai Pegalan yang menjadi sumber pendapatan nelayan darat di kawasan berkenaan. “Malah buat pertama kalinya kita akan membina jeti guna tanah di kawasan Tenom kerana kita mengambil kira aktiviti penangkapan ikan di Sungai Padas dan Sungai Pegalan. “Jika kita memanggilnya perikanan darat, mereka juga layak mendapat peluang dan kemudahan lain sama seperti nelayan yang menangkap ikan di laut,” katanya. Beliau berkata, sebelum ini nelayan darat menjual hasil tangkapan di tepi jalan menggunakan kenderaan sendiri sehingga menimbulkan isu keselamatan dan kualiti ikan. Menurutnya, fasiliti lebih baik akan disediakan termasuk kemudahan untuk pengunjung mendapatkan bekalan ikan air tawar selain menjadikan kawasan jeti sebagai lokasi aktiviti memancing. Katanya, kerajaan juga mahu memastikan populasi ikan air tawar di Tenom terus terpelihara memandangkan kawasan itu masih bebas daripada serangan penyakit virus yang menjejaskan ikan pelian. Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jifrin Mohammad; Pengarah Ko-Nelayan, Yusof Ag Besar; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Ramle Kasin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta pegawai kementerian. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
PM umum lebih RM33 juta bangunkan infrastruktur, kesejahteraan rakyat Pulau Banggi
KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan bernilai lebih RM33 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memenuhi keperluan asas penduduk di Pulau Banggi, di sini. Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi peruntukan khas Kerajaan MADANI dan Jabatan Perdana Menteri bernilai lebih RM31 juta yang melibatkan pelbagai projek infrastruktur asas di pulau berkenaan. Menurutnya, beberapa projek sudah mula dilaksanakan termasuk kerja naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung seperti Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut. Selain itu, katanya, kerajaan turut melaksanakan projek naik taraf Balai Polis Pulau Banggi, penambahbaikan Klinik Kesihatan Karakit serta menaik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan. “Turut diberi perhatian ialah pelaksanaan projek berkaitan keselamatan dan pertahanan negara selain menaik taraf Jeti Awam Karakit kepada Terminal Feri bagi kemudahan penduduk dan pelancong,” katanya menerusi kenyataan di Facebook selepas berucap di Karakit, Pulau Banggi. Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.25 juta bagi melaksanakan beberapa projek baharu untuk manfaat penduduk setempat. Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM1.25 juta diperuntukkan bagi program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). “Sebanyak RM1 juta lagi disalurkan untuk menaik taraf jeti di Kampung Dogoton bagi memberi manfaat kepada penduduk kampung serta agensi penguatkuasaan,” katanya. Anwar berkata, kerajaan komited memastikan penduduk di kawasan pulau terpencil turut menikmati pembangunan yang lebih adil dan selesa seperti kawasan lain di negara ini. “Insya-Allah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah. “Terpencil tetapi tidak sesekali terpinggir. Itu janji saya,” katanya. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Polis datang cari isteri ‘wanted person’, suami pula kena tahan
TAWAU: Tindakan seorang lelaki menghalang tugas polis ketika operasi mengesan individu dikehendaki membawa padah apabila dia ditahan dalam kejadian di Kampung Blok 31 Batu 17, Jalan Apas Balung, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai enggan memberi kerjasama selain bertindak membuat provokasi terhadap anggota polis yang menjalankan Ops Kesan Khas. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau ke lokasi berkenaan bagi mengesan dan menahan seorang wanita yang dikehendaki berhubung satu laporan polis di Beaufort. “Bagaimanapun, suspek yang juga suami kepada wanita berkenaan bertindak agresif dan enggan memberikan kerjasama ketika polis menjalankan tugas. “Berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Gara-gara mangga, ibu hampir dipukul guna kerusi kayu
TAWAU: Hanya kerana isu jualan buah mangga, seorang lelaki tergamak mengugut ibunya yang sudah berusia hingga hampir dipukul menggunakan kerusi kayu dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu, Tanah Merah, di sini, semalam. Suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun dipercayai berang selepas seorang pelanggan membeli buah mangga daripada ibu bapanya menyebabkan mangga miliknya tidak terjual. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan kejadian itu, bapa suspek tampil membuat laporan polis. “Berhubung kejadian tersebut, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut. “Suspek dikatakan tidak berpuas hati berhubung urusan jual beli mangga kerana seorang lelaki membeli mangga daripada ibu bapanya menyebabkan buahnya tidak terjual,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Bawa kayu curi, dua lelaki positif dadah ditahan
LAHAD DATU: Cubaan dua lelaki warga Filipina membawa 35 batang kayu bergergaji dipercayai dicuri menggunakan sebuah bot di perairan Kunak terbantut apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), awal pagi tadi. Lebih mengejutkan, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing. Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 5 pagi hasil maklumat risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0. Katanya, sebuah vesel berwarna merah dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak. “Pemeriksaan mendapati beberapa batang kayu terapung diikat bersama vesel berkenaan. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu dikendalikan dua lelaki warga Filipina berusia 51 dan 33 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 35 batang kayu bergergaji yang dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata. Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984/Enakmen Hutan 1968 Sabah, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya 1952. “APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan aktiviti jenayah maritim di perairan negara,” katanya. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Festival Bambu Sabah Telupid 2026 angkat warisan budaya tempatan ke pentas antarabangsa
TELUPID: Festival Bambu Sabah Telupid 2026 bakal menjadi antara acara pelancongan budaya terbesar di Sabah apabila menghimpunkan pelbagai aktiviti berasaskan bambu yang mengetengahkan seni, budaya, muzik tradisional dan makanan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Festival yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Mei depan di Pekan Telupid itu dianjurkan bersama Pejabat Daerah Telupid dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar daerah berkenaan. Bertemakan ‘Bamboo For Life (Bamboo4Life)’, penganjuran festival itu bertujuan mempromosikan warisan seni budaya Sabah berasaskan bambu selain menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini. Selain memperkenalkan keunikan budaya masyarakat tempatan, festival itu juga dijangka membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat menerusi jualan produk kraftangan, makanan tradisional dan pelbagai aktiviti komersial lain sepanjang acara berlangsung. Antara pengisian utama festival termasuk Pesta MiBangkal atau perlumbaan rakit, pertandingan fotografi, pertandingan Sulap Bambu, Battle of Bamboo Music, pertandingan masakan tradisi, pertandingan busana kreatif etnik Sabah, Bambu Voice Challenge dan sukan tradisi seperti tarik tali, menyumpit, melastik serta gasing. Battle of Bamboo Music atau dikenali sebagai “Tunion Do Poring” dijangka menjadi tarikan utama apabila mengetengahkan persembahan muzik tradisional berasaskan bambu dengan penggunaan alat muzik warisan Sabah seperti sompoton, bungkau dan suling bambu. Selain pertandingan, festival berkenaan turut menampilkan pameran serta jualan kraftangan dan demonstrasi bengkel oleh penggiat seni tempatan bagi memberi peluang kepada pengunjung mengenali proses penghasilan produk berasaskan bambu secara lebih dekat. Majlis perasmian festival dijadual berlangsung pada 14 Mei di Dewan Serbaguna Telupid dan disempurnakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Dr Jonnybone J Kurum (gambar). Turut dijadual hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, selain Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison dan Pegawai Daerah Telupid, Celestine Jetony. Sementara itu, majlis penutupan festival pada 15 Mei dijangka disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin. Penganjur berharap Festival Bambu Sabah dapat dijadikan acara tahunan di Telupid dalam usaha memelihara serta memulihara seni budaya tempatan, di samping memperkukuhkan perpaduan komuniti dan merancakkan sektor pelancongan negeri. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
Bezza panjat divider, pemandu Saga lawan arus ditahan
LAHAD DATU: Tindakan dua lelaki melakukan aksi berbahaya di jalan raya hingga tular di media sosial membawa padah apabila kedua-duanya berjaya dikesan dan ditahan polis dalam tempoh singkat. Kedua-dua kejadian membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Proton Saga FL yang dirakam melakukan kesalahan lalu lintas berasingan di sekitar daerah ini sebelum video tular di Facebook. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pertama pada 7 Mei lalu, video berdurasi 21 saat memaparkan sebuah Perodua Bezza biru membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan dengan memanjat pembahagi jalan bersimen di hadapan Bismi Bistro, Jalan Pantai. Katanya, susulan video tular itu, pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Lahad Datu berjaya mengesan serta menahan pemandu terbabit bersama kenderaan berkenaan. “Siasatan awal mendapati pemandu lelaki warga Filipina berusia 42 tahun itu melakukan tindakan berbahaya berkenaan kerana mahu mencari jalan pintas dan bergerak lebih cepat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, dalam kejadian kedua pada 8 Mei lalu pula, satu video berdurasi seminit memaparkan sebuah Proton Saga FL merah dipandu secara melawan arus dari Jalan Pantai menuju lampu isyarat berhampiran Kem Askar turut tular di Facebook. Katanya, hasil siasatan dijalankan BSPTD Lahad Datu, pemilik serta pemandu kenderaan berjaya dikesan sebelum hadir ke pejabat trafik IPD Lahad Datu pada malam hari sama. “Pemandu lelaki tempatan berusia 43 tahun itu mendakwa bertindak demikian kerana mahu bergerak cepat atas alasan kecemasan,” katanya. Dzulbaharin berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000. “Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak melakukan tindakan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain. “Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – Info X
May 9, 2026
Info X Reporters
JIM Sabah tahan 21 warga asing dalam Ops Sapu di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Seramai 21 warga asing termasuk kanak-kanak ditahan dalam operasi bersepadu menerusi Ops Sapu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar bandar raya ini, semalam. Dalam operasi itu, tiga premis diperiksa dengan seramai 40 individu menjalani pemeriksaan dokumen sebelum 21 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63. JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, semua yang ditahan terdiri daripada 19 warga Filipina membabitkan empat lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. “Turut ditahan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia. “Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu, hari ini. Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan JIM Sabah bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini. Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI. “JIM Sabah turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing. “Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang terutama membabitkan isu keselamatan,” katanya. – Info X