Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 9, 2026

Info X Reporters

24 warga China dihantar pulang

SEMPORNA: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China dihantar pulang ke negara asal selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah. Semua PATI terbabit terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita dewasa yang dihantar pulang pada 7 Mei lalu selepas ditahan menerusi Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu di daerah ini pada 21 April lalu. Dalam operasi berkenaan, seramai 45 individu diperiksa dengan 34 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua PATI yang ditahan terdiri daripada 33 warga China membabitkan 30 lelaki dan tiga wanita serta seorang lelaki warga Pakistan. “Kesemua mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Semua warga asing yang dihantar pulang turut disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini,” menurut kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, proses siasatan dan pendakwaan yang dijalankan pada 4 Mei lalu di Mahkamah Sesyen Tawau membabitkan sembilan PATI warga China. Katanya, enam lelaki warga China dituduh mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua wanita dan seorang lelaki lagi didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) peraturan sama. “Enam PATI yang dituduh di bawah Peraturan 39(b) tidak mengaku bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah sehingga kes disebut semula pada 11 Jun depan. “Tiga lagi PATI mengaku bersalah dan membayar denda bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, namun tiada jaminan diberikan mahkamah bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b),” katanya. JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara terus dipatuhi. – Info X

May 9, 2026

Info X Reporters

Media digital benteng utama sebarkan budaya antirasuah kepada masyarakat

KOTA KINABALU: Peranan media dalam era digital kini menjadi antara elemen paling penting dalam memperluaskan kesedaran integriti dan budaya antirasuah kepada masyarakat. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, perkembangan teknologi dan penggunaan platform digital secara meluas menjadikan media saluran utama dalam menyampaikan maklumat berkaitan usaha pencegahan rasuah. Katanya, pengamal media memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat selain membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha penguatkuasaan serta pendidikan antirasuah. “Dalam era digital hari ini, media menjadi saluran utama untuk memperluaskan kempen kesedaran integriti dan budaya antirasuah kepada semua lapisan masyarakat. “Kerjasama strategik antara SPRM dan media amat penting dalam memastikan maklumat sahih berkaitan usaha pencegahan rasuah dapat disampaikan secara tepat dan berkesan kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Court Talk: Communicator & Media di sini, hari ini. Hadir sama Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil serta Ketua Cawangan Korporat dan Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Ibu Pejabat, Badrila Jamlus. Mohd Fuad berkata, media bukan sahaja berperanan melaporkan berita, malah menjadi rakan strategik dalam membina masyarakat yang lebih peka terhadap isu integriti dan salah guna kuasa. “Penyebaran maklumat yang cepat melalui platform digital memberi peluang lebih luas kepada masyarakat mendapatkan pemahaman mengenai bahaya rasuah serta kepentingan tadbir urus yang baik. “Pengamal media juga membantu memastikan mesej kempen antirasuah dapat menembusi semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda yang aktif menggunakan media sosial. “Media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran masyarakat, sebab itu penyampaian maklumat yang tepat, berintegriti dan bertanggungjawab amat penting dalam usaha membudayakan penolakan terhadap rasuah,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata SPRM Sabah terus memperkukuh pelbagai program pendidikan dan advokasi bersama media, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti akar umbi bagi meningkatkan kesedaran integriti dalam kalangan rakyat. Beliau berharap kerjasama erat antara SPRM dan pengamal media dapat diteruskan bagi memastikan usaha memerangi rasuah dapat diperkasakan secara menyeluruh. – Info X

May 8, 2026

Info X Reporters

KREATIF SABAH sokong cadangan insentif tambahan industri perfileman

KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) menyokong cadangan pemberian insentif tambahan antara lima hingga lapan peratus oleh Kerajaan Sabah bagi memperkasakan industri perfileman di negeri ini. Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, sebagai tambahan kepada rebat sedia ada Film in Malaysia Incentive (FIMI) sebanyak 30 peratus, sekali gus menjadikan Sabah lebih kompetitif sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa. Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang, berkata pihaknya komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada FINAS bagi memastikan pelaksanaan insentif itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri kreatif tempatan. Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi memastikan pembangunan bakat kreatif tidak hanya tertumpu di bandar utama, sebaliknya turut melibatkan komuniti di kawasan luar bandar Sabah. “KREATIF SABAH komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada FINAS bagi merealisasikan insentif ini serta memastikan pembangunan bakat kreatif dapat diperluaskan ke seluruh pelosok negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Terdahulu, dalam majlis penutupan bengkel penulisan skrip FINAS di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyerahkan memorandum kepada FINAS bagi menjalin kerjasama strategik dalam memperluaskan pembangunan industri kreatif di Sabah. Menurut beliau, perkembangan industri filem Sabah ketika ini menunjukkan perubahan positif hasil sokongan berterusan FINAS terhadap penggiat seni tempatan sejak sekian lama. Katanya, industri perfileman Sabah pernah bermula secara kecil-kecilan dengan penjualan karya dalam bentuk VCD dan DVD di tamu serta pasar malam, namun kini karya anak tempatan berjaya menembusi layar perak dan mendapat perhatian lebih meluas. “Pencapaian membanggakan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan penglibatan berterusan daripada FINAS,” katanya lagi. Dalam pada itu, Hans ketika berucap pada majlis berkenaan menjelaskan model insentif tambahan itu diinspirasikan daripada pendekatan di Australia, apabila kerajaan negeri menawarkan peruntukan tambahan selain insentif kerajaan pusat bagi menarik pelaburan industri kreatif. Beliau berkata, langkah sedemikian mampu memberikan kelebihan strategik kepada Sabah dan Sarawak dalam menarik lebih banyak produksi filem antarabangsa untuk menjalankan penggambaran di Malaysia Timur. Bengkel penulisan skrip anjuran FINAS itu berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan mutu pengisian kreatif dan pembangunan bakat dalam industri perfileman tempatan. – Info X

May 8, 2026

Info X Reporters

PM ke Pulau Banggi untuk lawatan kerja sehari

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual mengadakan lawatan kerja ke Pulau Banggi, Kudat, esok (Sabtu). Beliau yang dijadual tiba dengan pesawat khas di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 11 malam ini bakal menghadiri dua program di pulau berkenaan. Program pertama ialah sesi lawatan ke Pos Dogotan setibanya di Pulau Banggi dengan helikopter khas pada jam 9.20 pagi. Terdahulu, Perdana Menteri dijadual berlepas ke Pulau Banggi dari Terminal Dua KKIA pada jam 8.20 pagi. Selesai lawatan di Pos Dogotan, Anwar dijadual menghadiri program kedua iaitu Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Dewan Terbuka Pekan Baru Banggi pada jam 11 pagi. Sebelum itu, Perdana Menteri turut melawat SMK Banggi setibanya dari Pos Dogotan dengan helikopter khas di padang sekolah berkenaan pada jam 10.30 pagi. Program di Pulau Banggi dijadual selesai pada jam 12.30 tengah hari sebelum Perdana Menteri berlepas balik ke Terminal Dua KKIA dan dijangka tiba pada jam 1.35 tengah hari. Sejurus selepas itu, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke ibu negara dengan pesawat khas dan dijadual tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada jam 4.05 petang. – Info X

May 8, 2026

Info X Reporters

Dua wanita tersepit selepas Proton Saga terbabas masuk parit

SANDAKAN: Dua wanita berdepan detik cemas apabila kereta Proton Saga dinaiki terbabas sebelum masuk ke dalam parit di Jalan Sungai Batang, Batu 10, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kedua-dua mangsa 21 dan 26 tahun dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, jentera tiba di lokasi pada jam 7.21 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer. “Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang terbabas masuk ke dalam parit. “Terdapat dua mangsa wanita tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan kedua-duanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, seorang mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS). Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 7.30 malam sebelum ditamatkan lapan minit kemudian selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi. – Info X

May 8, 2026

Info X Reporters

Pemilihan JKKK DUN Tamparuli cipta rekod

TAMPARULI: Proses pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Tamparuli diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Pemilihan Jawatankuasa Kampung Terbanyak Secara Serentak’. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pengiktirafan itu satu sejarah bagi DUN Tamparuli yang diwakilinya selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) “Pemilihan JKKK melibatkan sebanyak 94 buah kampung di lima mukim yang diadakan secara serentak di kawasan DUN Tamparuli iaitu Mukim Tenghilan, Topokon, Mangkaladoi, Pantai dan Mukim Tamparuli. “Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh rakyat Tamparuli kerana ia membuktikan masyarakat luar bandar juga mampu melaksanakan proses pemilihan komuniti secara tersusun, telus dan berintegriti. “Ia juga mencerminkan komitmen semua pihak termasuk Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, UPPM, petugas serta masyarakat kampung yang telah bersama-sama menjayakan proses ini,” katanya. Madius berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah JKKK Peringkat DUN Tamparuli di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, di sini, pada Jumaat. Sijil pengiktirafan The Malaysia Book of Records ‘Most Villages in a Simultaneous Village Committee Election’ itu diberikan Dr Stanley Tulis Missun kepada Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry selaku Pengerusi Pelaksana Proses Pemilihan JKKK DUN Tamparuli pada 15 Mac 2026. Terdahulu, Majlis Penyerahan Watikah JKKK Tamparuli dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Rubin Balang. Rubin turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan yang disampaikan Madius kepada wakil JKKK dari setiap mukim di DUN Tamparuli. “Kita berterima kasih atas sokongan yang diberikan pihak KPLB sehingga proses pemilihan JKKK dapat dilaksanakan dengan jayanya. “Pelaksanaan pemilihan secara serentak ini juga adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem tadbir urus kampung yang lebih demokratik dan inklusif,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut mengumumkan pelaksanaan pertandingan Program Kampung Lestari Peringkat Daerah Kecil Tamparuli yang dilaksanakan bersama rakan strategik Zero Waste Sabah dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS). Katanya, program itu memberi penekanan terhadap pembangunan komuniti yang lebih lestari menerusi aspek pengukuhan ekonomi kampung, pemeliharaan adat dan budaya, pengurusan sisa, pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan komuniti mampan. – Info X

May 8, 2026

Info X Reporters

Kru bot terjun laut tinggalkan 4,000 liter petrol cuba diseludup

KUDAT: Cubaan menyeludup kira-kira 4,000 liter petrol ke negara jiran gagal selepas dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Kudat, semalam. Dalam kejadian itu, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dipintas pasukan ronda Maritim Malaysia kira-kira 1.5 batu nautika timur laut Pulau Linggisan selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan. Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kru bot terbabit bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri. Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot menemui beberapa tong drum berisi petrol yang dianggarkan berjumlah kira-kira 4,000 liter dan dipercayai cuba diseludup ke Filipina. “Operasi ini hasil maklumat risikan serta rondaan penguatkuasaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI, Op Tiris dan Op Naga. “Bot bersama muatan petrol yang dirampas kemudian dibawa ke Jeti Lembaga Bandaran Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit atau dokumen sah. Hasbullah berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan rondaan keselamatan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Kudat untuk tindakan segera. – Info X

May 8, 2026

Info X Reporters

Tiga rumah musnah terbakar, warga emas sesak nafas

TAWAU: Tiga rumah tidak kekal di Kampung Titingan Laut, Blok 6, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi menyebabkan seorang wanita warga emas mengalami sesak nafas. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Siti Jamilah, 65, diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan 21 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.40 petang, kira-kira lima kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis tidak kekal berkeluasan 200×100 kaki persegi yang terbakar sepenuhnya. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera Water Tanker serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengelakkan api daripada merebak ke kira-kira 2,000 rumah lain di kawasan berkenaan. Katanya, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 2.06 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. – Info X