May 7, 2026
Info X Reporters
Kerajaan pimpinan Hajiji ada rekod jelas kejayaan perjuangan hak Sabah
SANDAKAN: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mempunyai rekod kejayaan yang jelas dalam memperjuangkan hak Sabah secara konsisten dengan momentum yang amat positif. Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata dalam isu 40 peratus hasil Sabah, pentadbiran Hajiji berjaya meningkatkan kadar interim pemberian khas. Kenaikan kadar itu, katanya bermula dengan RM125.6 juta berbanding hanya RM26.7 juta yang diberikan terdahulu selepas tidak pernah dinaikkan atau disemak selama puluhan tahun lalu. “Pada tahun 2023 kadar interim pemberian khas sekali lagi dinaikkan kepada RM300 juta, sebelum meningkat lagi kepada RM600 juta pada 2025,” katanya pada sesi penerangan sempena Jelajah Pemuda Gagasan Rakyat Zon Sandakan yang disertai tujuh bahagian iaitu Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Tanjung Papat dan Elopura, pada Rabu. Program jelajah itu, katanya dilaksanakan sebagai platform untuk pimpinan pemuda menyampaikan perkembangan terkini parti di samping memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa kepada akar umbi. Azrul berkata, isu pemberian khas Persekutuan semakin mendapat perhatian meluas selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan kerajaan Persekutuan menyelesaikan pembayaran 40 peratus kepada Sabah. Susulan itu, katanya kerajaan negeri mengambil langkah signifikan dengan mendesak kerajaan Persekutuan supaya membayar pemberian khas bagi tahun semasa melibatkan cukai yang tidak dipertikaikan, sebagaimana yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu. “Antara hasil cukai yang terlibat ialah cukai kastam dan cukai LHDN, yang mana anggaran 40 peratus bagi tahun semasa berjumlah RM3.019 bilion. “Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menyeru pimpinan Pemuda di semua peringkat untuk bersama-sama kerajaan negeri menuntut agar kerajaan Persekutuan membayar jumlah tersebut pada tahun semasa. “Dana tersebut amat penting dan diperlukan oleh kerajaan negeri bagi memperkasa pembangunan infrastruktur rakyat serta menyelesaikan pelbagai masalah asas yang membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama,” katanya. Selain itu, Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat juga bersedia untuk terus menjadi tulang belakang parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Pilihan Raya Negeri (PRN) pada masa akan datang demi memastikan perjuangan rakyat dan hak Sabah terus dipertahankan. Pada program itu, beliau turut menerangkan memgenai penstrukturan semula dan pindaan perlembagaan Gagasan Rakyat, khususnya yang nembabitkan struktur bahagian. “Langkah penstrukturan ini amat penting bagi memperkukuhkan parti dalam mendepani PRU akan datang. Selain itu, ia juga bertujuan memudahkan penyampaian arahan dan komunikasi parti dari peringkat tertinggi kepada ahli di peringkat akar umbi secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Ketua sindiket dadah diberkas, syabu lebih RM18 juta dirampas
TAWAU: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan kenderaan terpakai untuk menyembunyikan dadah sebelum dihantar ke Sabah akhirnya terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan kegiatan itu dalam dua operasi berasingan di Tawau dan Sarawak. Kejayaan operasi dikenali sebagai Op Hymenoptera dan susulan Op Coleoptera itu menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM18.79 juta selain penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 52 tahun termasuk ketua sindiket. Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, di Sabah, dua lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan pada 21 April dan 1 Mei lalu hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Eastern Sabah Security Command (ESSCOM). Menurutnya, serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas, Tawau berjaya menahan dua suspek bersama sebuah Toyota Harrier sebelum pemeriksaan menemukan 128 paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 130.60 kilogram. “Susulan itu, serbuan kedua dilakukan ke atas dua lagi kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas. “Hasil pemeriksaan menemukan 85 bungkusan syabu seberat 90.41 kilogram dan 488 bungkusan mengandungi cecair disyaki fentanyl sebanyak 0.98 liter dalam Nissan Sylphy,” katanya dalak sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Camry pula menemukan 99 bungkusan syabu seberat 102.90 kilogram. Katanya, jumlah keseluruhan rampasan di Sabah membabitkan 323.91 kilogram methamphetamine dan 0.98 liter fentanyl dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16.34 juta. “Rampasan dadah itu boleh merosakkan kira-kira 1.58 juta pengguna. “Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menggunakan kenderaan terpakai serta menyembunyikan dadah di ruang tersembunyi dalam kenderaan sebelum dihantar ke Sabah,” katanya. Menurutnya, suspek pertama berperanan sebagai penghantar atau transporter manakala suspek kedua dipercayai ahli sindiket. “Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan lima kes dadah dan satu kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod kesalahan jenayah. “Kedua-dua suspek juga sudah didakwa di mahkamah semalam,” katanya. Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan pelucuthakan harta membabitkan sitaan keseluruhan RM34,000 termasuk sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000. Sementara itu, susulan Op Coleoptera di Sarawak pada 2 Mei lalu, beliau berkata JSJN menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan di Miri. Katanya, pemeriksaan di dua rumah berjaya merampas wang tunai RM820,000 selain menyita beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes G-Wagon Brabus, dua Ford Mustang dan Toyota Harrier. “Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket manakala suspek kedua sebagai rakan kongsi atau transporter. “Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun tahun lalu dengan modus operandi menyeludup bekalan dadah menggunakan pelbagai kaedah termasuk penghantaran kontena melalui laluan laut sebelum diedarkan ke Sabah, Sarawak dan pasaran antarabangsa,” katanya. Menurutnya, jumlah keseluruhan sitaan bagi kes di Sarawak dianggarkan bernilai RM2.42 juta. “Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Yayasan Sabah catat untung RM685 juta, naik 17 peratus pada 2025
KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mencatat pencapaian bersejarah pada 2025 apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta. Jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding RM586 juta jumlah keuntungan yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Mengumumkan pencapaian itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata di peringkat syarikat pula, cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM243 juta, meningkat 35 peratus berbanding RM179 juta kutipan untung pada 2024. Katanya, pencapaian ICSB itu juga adalah rekod keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan. “Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC), di sini, pada Rabu. Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata pada b2025, ICSB telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada 2024. “Ia adalah rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB. Pada masa yang sama, ICSB kekal sebagai GLC Sabah yang membayar dividen tertinggi di negeri ini bagi lima tahun berturut-turut. “Kita optimis prestasi ini akan terus melonjak pada 2026 selaras dengan prestasi kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya. Kejayaan itu, katanya digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor dalam kumpulan termasuk sektor agro-perladangan yang terus menjadi penyumbang terbesar dengan keuntungan gabungan RM323 juta, sekali gus kekal sebagai tonggak utama pendapatan kumpulan. Katanya, sektor pelancongan dan riadah pula mencatat keuntungan sebanyak RM65 juta, mencerminkan perkembangan positif industri pelancongan Sabah. “Lebih membanggakan, sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan lonjakan yang amat ketara dengan keuntungan RM40 juta, berbanding hanya RM0.07 juta pada 2024,” katanya. Ends
May 7, 2026
Info X Reporters
“Memang saya terkejut…” – Jabita kongsi detik temui Vin
BEAUFORT: Malam penuh debaran buat sebuah keluarga di Kampung Lumadan, berakhir dengan kelegaan apabila kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemui selamat pagi ini. Kanak-kanak berkenaan, Vin Aaric Vicktor, 7, ditemui orang awam dalam keadaan tertidur dipercayai akibat keletihan di kawasan Bukit Rimba Jaya, kira-kira 3.5 kilometer dari rumahnya. Wanita yang menemui mangsa, Jabita Abawah berkata, dia menemui Vin ketika dalam perjalanan ke kebun kira-kira jam 7 pagi. Menurutnya, dia sudah mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak itu selepas dimaklumkan menerusi kumpulan mengaji Raudah pada malam sebelumnya. “Saya memang terkejut bila tahu budak itu hilang malam tadi. Pagi tadi masa saya pergi kebun, saya nampak dia tertidur di jalan. “Bila saya dekat, memang budak itu. Saya terus panggil dan pujuk dia balik sebab mummy dan daddy dia sedang mencarinya,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan. Jabita berkata, Vin kelihatan keletihan dan meminta minuman sebelum dia membawanya masuk ke dalam kenderaan untuk dihantar pulang. Katanya, ketika dalam perjalanan ke balai polis, dia terserempak dengan bapa mangsa yang sedang mencarinya sebelum kanak-kanak itu diserahkan semula kepada keluarganya. “Alhamdulillah Vin ditemui selamat, semua ini Allah SWT yang bagi. Alhamdulillah vi selamat ditemui,” katanya. Sementara itu,Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh ketika dihubungi mengesahkan penemuan kanak-kanak terbabit. Terdahulu, polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu kira-kira jam 6.15 petang semalam selepas dimaklumkan mangsa keluar dari rumah dan tidak pulang. Difahamlan kanak-kanak itu dipercayai keluar melalui pintu dapur rumah sebelum disedari tiada di rumah oleh ahli keluarganya. Usaha mencari kemudian dijalankan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sekitar kawasan rumah mangsa dengan radius pencarian kira-kira 500 meter. Operasi pencarian semalam itu juga turut menggunakan pembesar suara mudah alih dengan rakaman suara ibu mangsa kerana difahamkan mangsa takut dengan kehadiran orang ramai dan bunyi bising. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
MCMC ajak rakyat sokong inovasi Malaysia di WSIS Prizes 2026
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengajak rakyat negara ini memberikan sokongan terhadap inovasi teknologi dan usaha pembangunan digital negara dengan mengundi projek Malaysia yang dicalonkan dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026. MCMC dalam kenyataan media memaklumkan, anugerah anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) itu menjadi platform global bagi mengiktiraf projek berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG). Menurut kenyataan itu, penyertaan Malaysia tahun ini selari dengan tema WSIS 2026 yang menekankan penggunaan ICT untuk mempercepat pembangunan mampan dan membina masa depan digital yang inklusif. “Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memanfaatkan teknologi bagi memacu kemajuan, daya tahan dan kemakmuran bersama. “Malaysia juga meneruskan peranan sebagai Rakan Strategik Platinum, sekali gus menonjolkan sumbangan negara dalam membentuk dialog global berkaitan inovasi teknologi,” menurut kenyataan itu. Sebanyak 10 projek diterajui Malaysia dengan sokongan MCMC berjaya disenarai pendek dalam pelbagai kategori yang meliputi tadbir urus digital, keselamatan dalam talian, inovasi ICT, teknologi pertanian dan pemerkasaan komuniti. Antara projek yang dicalonkan ialah ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform, Communications and Infrastructure Disaster Recovery (CIDR) Plan, portal Sebenarnya.my serta Kempen Internet Selamat (KIS). Turut tersenarai ialah beberapa inisiatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi program AgriNXT yang membantu penternak dan pesawah meningkatkan produktiviti menggunakan teknologi digital. Menurut MCMC, pencapaian itu menunjukkan pendekatan menyeluruh Malaysia dalam memanfaatkan teknologi untuk pembangunan negara termasuk memperkukuh daya tahan digital, memperkasakan komuniti serta mempromosikan penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab. Kenyataan itu memaklumkan, undian awam memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang akhir, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengetengahkan inovasi tempatan di pentas antarabangsa. Sehubungan itu, MCMC menggalakkan rakyat negara ini supaya menyokong projek terbabit dengan mengundi melalui platform rasmi WSIS Prizes 2026. “Menerusi usaha bersama ini, Malaysia dapat memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi teknologi yang bertanggungjawab serta memacu masa depan digital yang selamat, inklusif dan diyakini,” menurut kenyataan itu lagi. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Seorang melecur, dua rumah terbakar
BELURAN: Seorang individu dilaporkan melecur di bahagian tangan selepas dua rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Sapi Nangoh, Kampung Rancangan, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dilaporkan sudah dihantar ke klinik oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi, namun identiti mangsa tidak diperoleh. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 99 kilometer dari balai. Katanya, kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal dan kedua-duanya terbakar sepenuhnya. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 61 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan kolam berhampiran. “Pasukan bomba kemudian memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.42 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Operasi diketuai PBK I Mohamed Arsad Kadir dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X
May 6, 2026
Info X Reporters
Guna suara ibu cari kanak-kanak autisme hilang di Beaufort
BEAUFORT: Seorang kanak-kanak autisme dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Lumadan, di sini, petang tadi. Mangsa Vin Aaric Victor, 7, dilaporkan hilang sekitar jam 5 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan oleh pasukan bomba bersama polis Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada IPD Beaufort pada jam 6.53 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi. Katanya, operasi pencarian dijalankan di sekitar kawasan rumah mangsa termasuk kawasan kebun kelapa sawit berhampiran dengan radius pencarian kira-kira 500 meter. “Mangsa kali terakhir dilihat memakai pakaian berwarna hitam. “Operasi turut diteruskan dengan menggunakan pembesar suara mudah alih serta rakaman suara ibu mangsa untuk memanggilnya keluar kerana difahamkan mangsa takut dengan kehadiran orang ramai dan bunyi bising,” katanya ketika dihubungi malam ini. Menurutnya, operasi pencarian bagaimanapun ditangguhkan pada jam 12 tengah malam ini akibat keadaan gelap dan hujan sebelum disambung semula pagi esok. “Diharapkan dengan suara ibunya, mangsa akan tampil keluar dan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya. – Info X
May 6, 2026
Info X Reporters
47 ayam sabung baka import dirampas di Semporna
SEMPORNA: Kegiatan menternak dan menjual ayam sabung baka luar negara tanpa permit sejak tahun lalu tumpas selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi di Kampung Tanjong Kapor, di sini, semalam. Dalam serbuan menerusi Operasi Intra/Inter Agensi (Op Bersepadu Khazanah-Op Taring Kandang) itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut. Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 PGA Kunak, operasi dijalankan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) Cawangan Semporna. Menurut kenyataan itu, suspek dipercayai menjalankan aktiviti menternak dan menjual ayam sabung baka luar negara yang diseludup masuk tanpa permit sah sejak 2024. “Ayam sabung terbabit dipercayai dijual pada harga mencecah sehingga RM8,500 seekor,” katanya. Katanya lagi, pihak berkuasa turut merampas 47 ekor ayam jantan dan betina, peralatan gelanggang serta ubat-ubatan dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan Filipina. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM288,650,” katanya. Menurutnya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pihak JPVS Semporna untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015. – Info X