May 3, 2026
Info X Reporters
Rempit malam minggu ‘kena sapu’, dua motor kena sita
PENAMPANG: Aksi ‘rempit’ malam minggu di dua laluan utama berakhir padah apabila dua motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan, awal pagi tadi. Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu dijalankan bermula jam 11 malam hingga 3 pagi dengan tumpuan di Jalan Pintas Penampang serta Jalan Papar – Kota Kinabalu. Dalam suasana jalan yang sunyi namun sesekali dipecah bunyi deruman enjin, anggota trafik melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang mencurigakan selain mengekang aktiviti lumba haram. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sepanjang operasi itu sembilan kenderaan diperiksa membabitkan lima motokar dan empat motosikal, selain 13 individu turut ditahan untuk pemeriksaan. “Hasil tindakan itu, sebanyak lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. “Dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana diubah suai secara berlebihan dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Operasi diketuai Inspektor Rozami Ahmad itu memberi fokus terhadap penunggang yang melakukan pengubahsuaian ekstrem selain berpotensi terlibat dalam kegiatan lumba haram. Menurut Sammy, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan jalan raya di daerah ini tidak dijadikan ‘litar’ oleh golongan tidak bertanggungjawab. Beliau turut mengingatkan golongan remaja dan penunggang motosikal supaya tidak terjebak dengan aktiviti samseng jalanan kerana risikonya bukan sahaja kepada diri sendiri, malah boleh meragut nyawa pengguna lain. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
300 liter diesel kena angkut
TAWAU: Cubaan menyeleweng bahan api gagal apabila 300 liter diesel dirampas dalam satu serahan kes daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau, petang semalam. Rampasan kira-kira jam 4.40 petang itu membabitkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper yang dipercayai diubah suai dengan tangki tambahan bagi menyimpan minyak diesel. KPDN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan menemukan 300 liter diesel di dalam kenderaan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445. “Kes ini diserahkan oleh pihak PDRM kepada KPDN untuk tindakan lanjut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu. Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi. Katanya, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras kegiatan itu selain memastikan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal rasmi KPDN atau menghubungi talian disediakan. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
Wanita 46 tahun positif dadah di pusat hiburan
PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 46 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Pusat Hiburan yang dijalankan di dua premis sekitar daerah ini, awal pagi tadi. Dalam operasi berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memeriksa seramai 38 individu terdiri daripada pekerja dan pengunjung premis. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang wanita tempatan disyaki positif dadah sebelum ditahan untuk tindakan lanjut. “Suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan menggunakan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Operasi itu diketuai Ketua BSJND Penampang, Asisten Superintendan (ASP) Bakar Jasa dengan tumpuan ke atas aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan sekitar daerah berkenaan. Menurutnya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan dadah selain memastikan semua premis hiburan mematuhi undang-undang ditetapkan. Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya golongan belia, agar tidak terjebak dengan gejala dadah kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan masa depan, malah boleh berdepan tindakan undang-undang. – Info X
May 2, 2026
Info X Reporters
Wanita maut nahas kereta dan lori
TUARAN: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Penampang Baru berhampiran Lemawang, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan selepas tersepit dalam kereta jenis Toyota Inova. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Inova dan lori 10 tan yang bertembung dari arah bertentangan. “Pemandu Toyota Inova didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X
May 2, 2026
Info X Reporters
65 warga asing dicekup dalam Ops JIM Sabah
KOTA KINABALU: Seramai 65 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Lahad Datu dan sekitar bandar raya ini, semalam. JIM Sabah menerusi kenyataan di Facebook, hari ini, memaklumkan tangkapan itu dibuat dalam Ops Sapu di Lahad Datu serta Ops Mahir dan Ops Sapu di Kota Kinabalu. Menurut kenyataan itu, di Lahad Datu, seramai 69 individu diperiksa dengan 50 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. “Tangkapan membabitkan warga Filipina iaitu 11 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan. “Manakala warga Indonesia pula membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan,” menurut kenyataan itu. Sementara itu di Kota Kinabalu, operasi Ops Mahir dan Ops Sapu memeriksa 41 individu dengan 15 warga asing ditahan. “Tangkapan membabitkan warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, manakala lima lagi adalah warga China terdiri daripada lelaki dewasa,” katanya. Menurut JIM Sabah, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan tindakan lanjut sedang diambil. Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang negara. – Info X
May 2, 2026
Info X Reporters
Ewon tinjau laluan kereta api Beaufort–Tenom, nilai tahap penyelenggaraan
TENOM: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, meninjau laluan kereta api dari Beaufort ke Tenom bagi melihat sendiri keadaan perkhidmatan serta tahap penyelenggaraan laluan berkenaan. Beliau berkata, perkhidmatan kereta api masih menjadi mod pengangkutan utama penduduk di sepanjang laluan itu, khususnya bagi tujuan bekerja dan bersekolah. “Perkhidmatan kereta api merupakan pilihan penduduk di sepanjang laluan ini terutama pada waktu bekerja dan bersekolah. “Saya berpuas hati dengan usaha dan inisiatif berterusan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam memastikan keselamatan serta kelangsungan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan tinjauan, di sini. Ewon turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan segera jabatan berkenaan dalam menangani kerosakan seperti runtuhan tanah dan tebing di sepanjang laluan. “Saya menghargai semua inisiatif Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam penambahbaikan aset, penyelenggaraan laluan dan memastikan perkhidmatan terus beroperasi kepada pengguna,” katanya. Dalam tinjauan itu, beliau turut melawat Stesen Keretapi Rayoh dan diberikan taklimat ringkas berhubung permohonan rizab tanah kampung yang dipanjangkan wakil rakyat Melalap dan Kemabong. Selain itu, di Stesen Keretapi Pangi, beliau dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku awal tahun ini serta langkah penyelenggaraan laluan dan perolehan aset baharu bagi menambah baik perkhidmatan. Dalam perkembangan sama, Ewon berkata kementeriannya akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah yang merangkumi pengangkutan darat termasuk kereta api, selain udara dan laut. “Hasil dapatan kajian ini akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dikongsikan kepada rakyat Sabah, dan sudah tentu perkhidmatan kereta api menjadi antara komponen penting dalam pelan induk berkenaan,” katanya. Perkhidmatan kereta api dari Stesen Keretapi Beaufort bertolak kira-kira jam 2.07 petang sebelum tiba di Stesen Keretapi Tenom pada jam 5 petang, dengan beberapa hentian termasuk di Saliwangan, Halogilat, Rayoh dan Pangi. Turut serta dalam tinjauan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Jonnybone Kurum; Setiausaha Tetap MINDET, Thomas Logijin; serta pegawai dan agensi berkaitan. – Info X
May 2, 2026
Info X Reporters
Kebakaran musnahkan lima rumah di Apin-Apin
KENINGAU: Sebanyak lima rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Apin-Apin, di sini, pagi tadi. Kejadian itu turut membabitkan enam kenderaan serta beberapa premis lain yang terjejas, sekali gus menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dalam sekelip mata. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.06 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, didapati lima rumah tidak kekal sudah terbakar sepenuhnya, selain sebuah kedai runcit terbakar 50 peratus dan sebuah rumah separuh kekal terbakar 60 peratus. “Kebakaran turut melibatkan enam kenderaan iaitu dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona serta empat motosikal yang semuanya musnah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran. “Api berjaya dikawal pada jam 8.02 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari selepas kerja-kerja memadam bara api selesai. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
May 2, 2026
Info X Reporters
Suspek ‘wanted’ kes tipu kantoi hisap syabu
TAWAU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas terserempak polis ketika rondaan cegah jenayah membawa padah apabila dia bukan saja ditahan, malah terbongkar sebagai individu dikehendaki kes tipu di Putatan, semalam. Dalam kejadian di Kampung Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, suspek warga tempatan berusia 34 tahun itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang sedang membuat rondaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas semula selepas berlaku kejar-mengejar singkat. “Semakan rekod jenayah melalui nombor kad pengenalan menggunakan sistem MCAD mendapati lelaki itu adalah ‘wanted person’ bagi satu kes tipu yang sedang disiasat di daerah Putatan. “Suspek kemudian dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media. Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan pernah disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 di negeri Selangor dan di daerah Tawau sendiri. Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan. “Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu,” katanya. – Info X