Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

November 5, 2026

Info X Reporters

Hilang dua hari, warga emas ditemui lemah dalam semak

KOTA KINABALU: Selepas dua hari menghilangkan diri, seorang warga emas akhirnya ditemui dalam keadaan lemah di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, hari ini. Lelaki berusia 67 tahun itu ditemui pasukan bomba selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak petang semalam. Mangsa kali terakhir dilihat dalam keadaan kebingungan di tepi jalan kampung kira-kira jam 4.30 petang, Selasa lalu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.29 petang semalam. Katanya, operasi pencarian dimulakan di kawasan tanah perkuburan, kandang ayam dan kebun pisang berhampiran sebelum ditangguhkan pada malam berkenaan. “Pencarian disambung pagi tadi dengan membahagikan anggota kepada tiga kumpulan membabitkan pasukan bomba, Unit Anjing Pengesan (K9) dan penduduk kampung. “Pasukan bomba akhirnya berjaya menemui mangsa di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat. “Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Noor Sherriyana berkata, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. Katanya, operasi membabitkan 19 anggota bomba dengan bantuan polis dan penduduk kampung itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Banglo elit jadi sarang ‘online scam’, 14 warga China ditahan

KOTA KINABALU: Sebuah banglo mewah tiga tingkat di kawasan elit sekitar bandar raya ini dipercayai dijadikan pusat kegiatan penipuan dalam talian (online scam) membabitkan warga asing. Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menyerbu banglo berkenaan menerusi Ops Serkap, malam tadi, sebelum menahan 14 lelaki warga China berusia antara 26 hingga 44 tahun. Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, pihak berkuasa turut merampas 75 telefon bimbit dan 14 komputer riba yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan. Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dijalankan hasil risikan selama seminggu sebelum sepasukan 49 pegawai penguat kuasa digerakkan ke lokasi. Katanya, pemeriksaan mendapati semua lelaki terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun sebahagian besar sudah tinggal melebihi tempoh dibenarkan. “Hasil pemeriksaan mendapati 13 lelaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa. “Seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sitti Saleha berkata, siasatan awal turut mendapati semua lelaki terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dari banglo berkenaan. Katanya, selain telefon bimbit dan komputer riba, pihaknya turut merampas wang tunai RM3,742 serta 560 Yuan China. “Turut dirampas ialah 13 kerusi, enam meja serta satu set peralatan dan kelengkapan internet yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan. “Semua lelaki yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Beliau berkata, JIM Sabah memandang serius kegiatan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa dan berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau permit yang sah. Menurutnya, kegiatan penipuan dalam talian yang disyaki membabitkan warga asing turut diberikan perhatian serius kerana boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. “JIM Sabah akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang negara. “Orang ramai khususnya masyarakat Sabah juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya. Sitti Saleha berkata, kejayaan operasi berkenaan membuktikan komitmen berterusan JIM Sabah dalam membanteras penyalahgunaan pas imigresen selain mengesan warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Pickleball Terbuka Sabah tawar ganjaran wang tunai RM100,000

KOTA KINABALU: Seramai 538 pemain pickleball, termasuk bertaraf antarabangsa bakal berentap dalam Kejohanan Pickleball Terbuka Sabah 2026 yang menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM100,000, dari 6 hingga 9 November ini. Kejohanan yang diadakan di Replay Pickleball Club, Tingkat 5, Kompleks Karamunsing itu antaranya disertai dua beradik pemain profesional antarabangsa dari Vietnam, Quang Duong dan Bao Duong. Turut menyertainya ialah Sophia Tran Phuong Anh, juga dari Vietnam dan beberapa pemain antarabangsa lain, antaranya dari Indonesia, Amerika Syarikat dan Brunei, selain dari Sabah sendiri, Sarawak dan Semenanjung. Dari Sabah, cabaran kejohanan itu bakal tertumpu di tangan Stefan Alex yang dikenali antara pemain terbaik pickleball di Sabah ketika ini bersama seorang lagi pemain, Neem Shamsuddin. Pengarah Pasukan Penganjur Replay Karamunsing, Lamardani Jonaeli, berkata kejohanan empat hari yang dianjurkan dengan kerjasama Borneo Vision Holiday Sdn Bhd itu disasar untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi menarik untuk pertandingan pickelball. Katanya, kejohanan itu juga disasar dianjurkan setiap tahun untuk membuka mata pemain pickleball tempatan mengenai potensi mereka menembusi kejohanan antarabangsa dalam permainan sukan yang semakin berkembang itu. “Kejohanan ini dianjurkan untuk membuka peluang kepada pemain tempatan atau bakat dari sabah untuk ke peringkat antarabangsa. “Menerusi kejohanan ini, pemain tempatan dapat kemahiran dan meningkatkan keyakinan untuk bersaing di peringkat tinggi selepas ini menerusi pendedahan pemain antarabangsa,” katanya. Beliau berkata, kejohanan itu menawarkan 11 kategori pertandingan dengan penyertaan seramai 538 pemain dan ganjaran wang tunai keseluruhan mencecah RM100,000. Sementara itu, Penaja dan Penganjur Bersama Kejohanan dari Borneo Vision Holiday Sdn Bhd, Wilson Ngu Siong Yiung, melihat kejohanan itu sebagai peluang untuk membangunkan sukan pelancongan di Sabah. “Menerusi sukan pelancongan, kita gabungkan sukan dan pelancongan, ini motifnya sebab pickleball sedang berkembang pesat di seluruh dunia, jadi kita mahu ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan Sabah,” katanya. Katanya, kejohanan itu satu peluang untuk membawa pemain antarabangsa dan memperkenalkan Sabah kepada masyarakat luar, selain sebagai platform untuk penduduk tempatan mengenali sukan pickelball. “Kita perlu membawa Sabah ke peringkat antarabangsa, sebab itu kita adakan kejohanan ini dengan kerjasama Replay Pickleball Club,” katanya. Dalam pada itu, Quang Duong yang berstatus pemain pickleball nombor satu Asia menyifatkan kejohanan Terbuka Sabah yang julung kali diadakan itu sebagai program yang menarik. “Terima kasih kerana menjemput saya untuk menyertai kejohanan ini dan saya berharap usaha ini dapat membawa Sabah ke peringkat antarabangsa dalam sukan pickleball,” katanya. Bagi Stefan, selaku pemain terbaik pickleball Sabah ketika ini, beliau menyifatkan sukan berkenaan yang semakin berkembang di negeri ini berpotensi untuk membawa pemain tempatan ke peringkat lebih jauh. “Saya rasa ramai yang teruja untuk datang mahu tengok pemain antarabangsa, ramai yang menyokong dan saya rasa ia akan dapat sambutan sangat baik dari orang Sabah,” katanya. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kadamaian

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Ijuk, di sini, petang semalam, ditemukan meninggal dunia di Sungai Kadamaian, pagi tadi. Mangsa, Tiklum Santan, 87, ditemukan terapung berhampiran Jambatan Tempasuk, Kampung Lebak Engad, kira-kira jam 7.15 pagi oleh orang awam yang turut membantu operasi pencarian. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, sebelum kejadian, mangsa disedari tiada di rumah oleh ahli keluarganya kira-kira jam 4 petang semalam. Katanya, ahli keluarga kemudian berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan kampung, namun gagal menemukannya. “Kira-kira jam 7 malam, ahli keluarga menemui pakaian dan selipar milik mangsa di tepi Sungai Kadamaian, kira-kira 150 meter dari rumahnya. “Penemuan itu menyebabkan ahli keluarga bimbang mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pencarian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Khairul Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai kebiasaan mandi di sungai berkenaan setiap hari kecuali ketika banjir. Katanya, susulan laporan diterima, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pencarian. “Operasi pencarian turut dibantu ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung. “Bagaimanapun, mangsa ditemukan meninggal dunia pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari lokasi pakaian dan seliparnya ditemui,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut. “Setakat ini, mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan. “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Dewan Pengaman RM480,000, jimat kos sewa khemah IPK Sabah

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bakal memiliki dewan serbaguna sendiri bernilai RM480,000 yang bukan sahaja menyediakan kemudahan lebih selesa kepada warga polis, malah mampu menjimatkan kos penyewaan khemah bagi penganjuran pelbagai program rasmi. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pembinaan Dewan Pengaman berukuran 150 kaki panjang dan 50 kaki lebar itu dicadangkan di kawasan padang kawad IPK Sabah sebagai kemudahan serbaguna pertama seumpamanya di ibu pejabat berkenaan. Katanya, pembinaan dewan itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang memandangkan perbelanjaan menyediakan khemah dan kanopi bagi pelbagai program sepanjang tahun boleh mencecah jumlah besar. “Kos penyediaan khemah bagi program yang diadakan sepanjang tahun berpotensi menampung hampir separuh daripada kos pembinaan dewan ini. “Selain menjimatkan perbelanjaan, kita juga dapat mengurangkan penggunaan masa dan tenaga kerja untuk menyediakan kemudahan sementara setiap kali program diadakan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi November 2026 dan Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Dewan Pengaman IPK Sabah, di sini, hari ini. Jauteh berkata, dewan berkonsepkan ruang terbuka berbumbung itu dirancang dengan mengambil kira aspek penjimatan kos pembinaan dan penyelenggaraan, selain mengutamakan pengudaraan semula jadi serta pencahayaan yang baik. Katanya, reka bentuk berkenaan membolehkan dewan digunakan secara fleksibel untuk pelbagai aktiviti termasuk perhimpunan, program jabatan dan majlis rasmi tanpa terlalu bergantung kepada khemah sementara. “Dewan ini bukan hanya untuk kegunaan satu unit atau jabatan, sebaliknya boleh dimanfaatkan seluruh warga IPK Sabah termasuk ahli keluarga mereka. “Malah, kemudahan ini juga berpotensi digunakan untuk penganjuran majlis kekeluargaan dan sosial membabitkan orang awam pada masa akan datang,” katanya. Menurutnya, pembinaan dewan berkenaan turut mengambil kira aspek keselesaan dan keselamatan bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan memberikan manfaat berterusan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Jenayah komersial di Sabah, kerugian cecah RM133.35 juta

KOTA KINABALU: Jenayah komersial di Sabah mencatatkan kerugian mencecah RM133.35 juta sepanjang Januari hingga Oktober lalu, dengan sebanyak 12,962 laporan polis diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penipuan dalam talian. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepanjang tempoh berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah membuka 3,282 kertas siasatan susulan laporan yang diterima. Katanya, sebanyak 1,452 serbuan dilaksanakan dengan 2,034 tangkapan direkodkan, manakala 1,005 kes berjaya dituduh di mahkamah. “Jenayah komersial kini semakin kompleks seiring kemajuan teknologi dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih proaktif, bersepadu serta berorientasikan pencegahan. “Justeru, pelbagai program kesedaran awam terus dipergiat bagi meningkatkan kewaspadaan masyarakat terhadap trend dan modus operandi jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi November 2026 yang turut menyaksikan peluncuran projek pembinaan Dewan Pengaman Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini. Sementara itu, Jauteh berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah turut mencatatkan kejayaan besar apabila merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM287.14 juta sepanjang tempoh sama. Katanya, rampasan itu membabitkan 4,051.18 kilogram syabu, 451.8 kilogram serbuk ekstasi, 70.9 kilogram pil ekstasi, 51.68 kilogram ketamin dan 44.3 kilogram bunga ganja. “Seramai 33 suspek terdiri daripada 26 lelaki dan tujuh wanita ditahan dalam kes berprofil tinggi membabitkan rampasan dadah seberat 10 kilogram ke atas. “Secara keseluruhan, JSJN Sabah merekodkan 14,238 tangkapan membabitkan 9,894 warga tempatan dan 4,344 warga asing,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah turut merekodkan ribuan tangkapan menerusi pelbagai operasi membanteras kegiatan jenayah. Katanya, Cawangan D4 melaksanakan 2,225 operasi dengan 2,214 tangkapan, manakala Cawangan D7 mencatatkan 2,064 operasi dengan 2,857 tangkapan. “Cawangan D9 pula melaksanakan 471 operasi dengan 504 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk bunuh, samun, ragut dan penyeludupan,” katanya. Mengulas penguatkuasaan trafik, Jauteh berkata, sebanyak 16,651 kertas siasatan dibuka dengan 16,043 daripadanya berjaya diselesaikan. Katanya, sebanyak 453 operasi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol dilaksanakan dengan 2,878 saman dikeluarkan, manakala 411 operasi kenderaan perdagangan menyaksikan 18,983 kenderaan diperiksa dan 1,493 saman dikeluarkan. Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Pesanan Jauteh sebelum bersara, jaga maruah dan nama baik PDRM

KOTA KINABALU: “Ingatlah, setiap tindakan kita membawa imej dan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadilah anggota polis yang bukan sahaja dihormati kerana kuasa yang dimiliki, tetapi disegani kerana integriti, profesionalisme dan keperibadian yang ditunjukkan.” Itu antara pesanan penuh bermakna Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun kepada seluruh warga PDRM Sabah ketika beliau kini menghitung hari sebelum menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun menabur bakti dalam pasukan. Bagi Jauteh, pangkat dan kuasa bukanlah segala-galanya, sebaliknya integriti, disiplin dan keperibadian menjadi ukuran sebenar seseorang anggota polis dalam memikul amanah yang diberikan. Beliau berkata, setiap anggota perlu sentiasa mengenali diri, memahami tanggungjawab dan tidak melupakan asal usul sebagai asas membentuk kecemerlangan sepanjang perkhidmatan. “Apabila kita mengenali diri, asal usul dan memahami apa yang menyebabkan kita berada dalam pasukan polis, kita akan lebih menghargai tanggungjawab yang diberikan. “Kita akan berusaha melakukan yang terbaik dan memberikan sumbangan semampu mungkin kepada organisasi seterusnya kepada masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Dewan Pengaman IPK Sabah, di sini, hari ini. Jauteh berkata, setiap anggota perlu menyedari bahawa tanggungjawab sebagai anggota polis bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, malah membawa bersama imej, maruah dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan. Sehubungan itu, beliau berharap seluruh warga PDRM terus memelihara disiplin, integriti serta profesionalisme dalam setiap tindakan supaya pasukan itu sentiasa dihormati dan diyakini masyarakat. Dalam pada itu, Jauteh yang dijadual bersara wajib pada 11 November ini turut berkongsi mengenai kehidupan selepas persaraan yang disifatkannya sebagai permulaan fasa baharu selepas sekian lama berkhidmat dalam pasukan polis. Katanya, beliau mahu kembali menjalani kehidupan sebagai orang awam dan hanya akan memikirkan perancangan seterusnya selepas menamatkan perkhidmatan. Beliau turut membayangkan hasrat untuk kembali ke kampung halaman dan menikmati kehidupan seperti biasa selepas lebih tiga dekad menggalas tanggungjawab dalam PDRM. – Info X

November 5, 2026

Info X Reporters

Mawi kembali dengan ‘Pawana Pawaka’, jalin kerjasama bersama label Sabah

KOTA KINABALU: Selepas sekian lama tidak tampil dengan karya baharu, penyanyi popular tanah air, Mawi bakal mengubat kerinduan peminat menerusi single terbaharunya berjudul ‘Pawana Pawaka’ hasil kerjasama istimewa bersama syarikat rakaman dari Sabah. Kemunculan penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air itu turut membuka lembaran baharu apabila buat pertama kalinya AJ Productions Sdn Bhd dari Sabah menerbitkan karya untuk Mawi. Lebih menarik, lagu berkenaan adalah hasil ciptaan Ketua Pegawai Operasi (COO) AJ Productions, Jasnie Mohd Yaakub, manakala lirik ditulis oleh Kamarudin Hasim. Single berkenaan diterbitkan bersama AJ Productions Sdn Bhd dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd, dengan urusan edaran dikendalikan oleh AJ Productions. Jasnie berkata, kerjasama bersama penyanyi terkenal itu menjadi satu pencapaian bermakna buat syarikat berkenaan dalam usaha memperluaskan penglibatan bakat kreatif Sabah ke peringkat nasional. Katanya, penerbitan lagu itu bukan sekadar memperkenalkan karya baharu Mawi, malah membuka peluang kepada penggiat muzik tempatan untuk bekerjasama dengan nama besar dalam industri hiburan tanah air. “Kerjasama ini menjadi satu pencapaian penting buat AJ Productions apabila berpeluang menerbitkan karya untuk penyanyi popular seperti Mawi. “Ia juga membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah untuk terus berkembang dan mengetengahkan hasil karya mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya. Menurutnya, proses rakaman ‘Pawana Pawaka’ sudah diselesaikan sepenuhnya dengan penglibatan barisan pemuzik berpengalaman dalam industri muzik Malaysia. Katanya, gabungan tenaga kreatif dan pemuzik profesional itu diharap mampu menghasilkan sebuah karya berkualiti yang dapat memenuhi cita rasa peminat muzik tempatan. “Single ini membawa identiti tersendiri dengan menampilkan sentuhan muzik yang menggambarkan perjalanan seni Mawi, selain memberikan sesuatu yang segar kepada peminatnya. “Kami berharap lagu ini mendapat sambutan baik, sekali gus menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara penggiat seni Sabah dengan artis terkenal tanah air,” katanya. Sementara itu, ‘Pawana Pawaka’ dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, namun tarikh rasmi pelancarannya masih belum diumumkan. Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran rasmi Mawi dan AJ Productions bagi mendapatkan maklumat mengenai pelancaran single berkenaan. Kemunculan karya terbaharu itu bukan sahaja dijangka mengubat kerinduan peminat terhadap suara Mawi, malah menjadi satu lagi langkah memperkenalkan kemampuan tenaga kreatif Sabah dalam industri muzik arus perdana. Kerjasama berkenaan turut mencerminkan aspirasi AJ Productions untuk terus membawa karya anak tempatan menembusi pasaran muzik yang lebih luas. – Info X