Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 17, 2026

Info X Reporters

Galeri Polis Sabah dibuka kepada awam, pamer ratusan koleksi bersejarah

KOTA KINABALU: Orang ramai kini berpeluang menelusuri sejarah kepolisan Sabah sejak era penjajahan hingga zaman moden menerusi pembukaan Galeri Polis Sabah, bermula hari ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, galeri itu menempatkan ratusan koleksi bersejarah termasuk kelengkapan, gambar dan aset logistik yang pernah digunakan pasukan polis. Katanya, antara bahan dipamerkan ialah mesin taip, alat komunikasi, senjata serta pelbagai peralatan berkaitan perkembangan kepolisan di negeri ini. “Jika dihitung satu persatu, terdapat ratusan koleksi membabitkan kelengkapan kepolisan, sejarah, gambar dan aset logistik yang digunakan sejak era penjajahan hingga zaman moden. “Galeri ini turut memaparkan gambaran beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku di Sabah, termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian bersejarah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Galeri Polis Sabah kepada orang awam, di sini, hari ini. Menurutnya, antara sejarah penting yang diketengahkan ialah peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu pada 2013. “Setiap peristiwa penting sejak era penjajahan hingga sekarang dipaparkan supaya masyarakat dapat memahami sejarah dan pengorbanan pasukan polis di Sabah,” katanya. Galeri berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, namun pengunjung perlu menetapkan temu janji terlebih dahulu dengan pegawai bertanggungjawab. Jauteh berkata, ketetapan itu perlu kerana galeri berkenaan terletak dalam kawasan larangan dan setiap pengunjung perlu didokumentasikan mengikut prosedur keselamatan. “Lawatan secara individu atau berkumpulan dibenarkan, tetapi pengunjung perlu memaklumkan lebih awal bagi membolehkan urusan dokumentasi dan keselamatan dibuat,” katanya. Menurutnya, kadar bayaran lawatan belum ditetapkan dan pihak pengurusan akan menilai keperluan mengenakannya selepas beberapa siri lawatan dilaksanakan. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Polis Sabah terima 13 laporan isu ucapan Ketua UMNO Sepang

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 13 laporan berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang didakwa menyentuh sensitiviti agama. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semua laporan diterima sehingga tengah hari tadi daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin setempat. Katanya, laporan berkenaan dirujuk kepada laporan awal yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kelana Jaya bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh. “Semua laporan berkenaan sudah dirujuk kepada laporan awal di IPD Kelana Jaya dan tindakan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini. Sementara itu, Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi ketika isu berkenaan masih mendapat perhatian dan tular di media sosial. “Kita berharap masyarakat melihat perkara ini secara matang. Laporan yang dibuat sudah diambil tindakan oleh PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus,” katanya. Isu berkenaan mendapat perhatian selepas rakaman ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini tular di media sosial. Ucapannya yang didakwa membuat jenaka mengaitkan paderi dan biarawati Kristian mencetuskan pelbagai reaksi serta membawa kepada laporan polis dibuat di seluruh negara. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut bertembung lori

KUNAK: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 6, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, hari ini. Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika lori Mitsubishi Rigid dipandu lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak. Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Rejali Angong berkata, motosikal Modenas ditunggang mangsa dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang di sebelah kanan laluan lori. “Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan. “Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rejali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keadaan serta jarak selamat sebelum keluar dari simpang. “Pengguna jalan raya juga diminta bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Dua jambatan baharu bernilai RM23.3 juta siap di Kadamaian

KOTA BELUD: Dua projek jambatan konkrit bernilai keseluruhan RM23.3 juta di Kampung Kaung dan Melangkap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di sini, kini siap sepenuhnya. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata, kemudahan itu memudahkan perhubungan, selain membantu merancakkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu. Beliau berkata, jambatan konkrit Kampung Kaung sepanjang 100 meter melibatkan peruntukan RM14.3 juta, termasuk pembinaan sebuah pembetung bagi laluan anak sungai, dimulakan pada Ogos 2024 dan siap sepenuhnya awal bulan ini. Beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata, jambatan konkrit di Kampung Melangkap pula sepanjang 50 meter dengan kos kira-kira RM9 juta dimulakan pada Februari 2025 dan siap sepenuhnya pada Ogos lalu. “Kedua-dua jambatan ini akan membawa perubahan besar kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan ribuan penduduk di Mukim Kaung dan Mukim Melangkap. “Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya yakin kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan ribuan penduduk yang menggunakan kemudahan ini. “Saya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk JKR Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menjayakan rancangan pembangunan Kadamaian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bersama pegawai JKR Sabah, Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, pada Khamis. Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyediakan peruntukan bagi kedua-dua projek itu. “Terima kasih juga kepada agensi pelaksana, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta syarikat pelaksana yang dilantik kerana memastikan kedua-dua projek ini dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya. Dalam lawatan itu, Ewon turut meninjau Jalan SK Kaung sepanjang tiga kilometer dan Jalan Melangkap-Kebayau yang telah dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk dilaksanakan tahun depan menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri. Katanya, cadangan menaik taraf kedua-dua jalan itu dibuat susulan permintaan dan aduan penduduk, selain menjadi sebahagian daripada perancangan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian. “Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar terus dilaksanakan secara berterusan di Kadamaian,” katanya. Ewon berkata, beberapa lagi projek jalan raya berskala besar kini sedang dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, Jalan Kinasaraban serta Jalan Taginambur- Komburaon. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Landasan KKIA ditutup sementara

KOTA KINABALU: Malaysia Airports mengeluarkan nota penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi melaksanakan kerja pembaikan. Nota itu dikeluarkan menerusi Facebook Malaysia Airports pada kira-kira jam 2 petang tadi, namun tidak dijelaskan bila penutupan itu bermula dan berapa lama ia dilaksanakan. Pihak berkuasa lapangan terbang itu hanya memaklumkan pembukaan semula landasan akan dibuat selepas kerja pembersihan dan pemeriksaan keselamatan selesai. Berikutan penutupan itu, Malaysia Airports menasihatkan penumpang untuk menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing mengenai status dan perkembangan terkini penerbangan. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Percikan air lopak cetus pergaduhan dua lelaki

BELURAN: Gara-gara terkena percikan air lopak, seorang lelaki Pakistan dan lelaki tempatan terbabit dalam pergaduhan di Kampung Kubambangan, Paitan, malam tadi. Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku selepas kenderaan dipandu lelaki tempatan berkenaan melalui lopak di tepi jalan hingga menyebabkan air terpercik mengenai lelaki Pakistan yang sedang berjalan kaki. Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, lelaki Pakistan terbabit kemudian menjerit ke arah pemandu berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka. “Orang ramai yang berada di lokasi kemudian meleraikan pergaduhan itu. “Bagaimanapun, lelaki tempatan terbabit mendakwa dia ditumbuk oleh lelaki Pakistan berkenaan ketika pertengkaran berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.41 pagi tadi selepas rakaman pergaduhan berkenaan tular di media sosial. Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan polis dan ketenteraman awam. Katanya, saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mat Kimon di talian 013-9946265 bagi membantu siasatan. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

17 syarikat ayam Thailand diaudit pastikan produk dihantar ke Sabah halal, selamat

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah sedang melaksanakan audit terhadap 17 syarikat dan kilang ternakan ayam di Thailand bagi memastikan pematuhan terhadap pensijilan halal, keterjaminan makanan yang bersih dan selamat serta semua prosedur ditetapkan. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau berkesempatan mengikuti proses audit yang dilaksanakan DVS di Syarikat Betagro, Thailand, kelmarin. “Proses audit ini penting bagi memastikan syarikat dan kilang yang membekalkan produk ayam ke Sabah mematuhi keperluan ditetapkan, termasuk aspek pensijilan halal serta keterjaminan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Katanya, syarikat Betagro mempunyai kapasiti melakukan sembelihan secara halal sehingga 600,000 ekor ayam sehari, dengan operasi kilang selama 16 jam. Jamawi berkata, berdasarkan statistik 2025, Sabah mengimport keratan ayam seperti sayap, paha dan dada sebanyak lebih 45 juta kilogram, dengan nilai pasaran kira-kira RM450 juta. “Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, purata 200 kontena ayam keratan sejuk beku diimport dari Thailand setiap bulan,” katanya. Beliau berkata, angka itu menunjukkan potensi besar untuk industri ternakan ayam diperbesarkan di Sabah, termasuk melalui pembukaan kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin. Katanya, langkah itu penting bagi membantu mengurangkan kos makanan ternakan ayam pada masa akan datang. “Saya yakin potensi lebih besar untuk ternakan ayam di Sabah diperbesarkan dengan membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin untuk mengurangkan kos makanan ternakan ayam kelak. “Satu gerak kerja yang bukan mudah, tetapi insya-Allah boleh dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak,” katanya. Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap III, Shariffah Aznoor Jap; Pengarah DVS, Dr Zul Bahar Abdul Rashid bersama pegawai serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Datuk Shawn Davey. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Wujudkan Skim Rebat Elektrik bersasar untuk golongan berpendapatan rendah – Masiung

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Skim Rebat Elektrik secara bersasar bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan tarif elektrik ketika ini. Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, berkata rebat itu wajar diberikan secara bersasar selari dengan kejayaan pelaksanaan BUDI Diesel yang terbukti berkesan. “Kita berharap cadangan ini dapatditerjemahkan menjelang mesyuarat khas, hari ini, bagi meneliti langkah mitigasi susulan kenaikan bil elektrik dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “BBC berharap skim rebat itu boleh diterima pakai bagi memastikan subsidi elektrik sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis. Masiung berkata, jika mekanisme itu dipersetujui, pengguna domestik terutama penerima STR, eKasih serta kategori B40 dan M40 diberikan rebat automatik antara RM40 hingga RM100 sebulan mengikut penggunaan. Rebat itu katanya, hendaklah dikreditkan terus ke dalam bil elektrik atau secara tunai ke akaun penerima sama seperti pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan tidak berlaku ketirisan. ADUN Kuamut itu mahu kerajaan mengkaji semula subsidi pukal yang diperkenalkan sebelum ini yang turut dinikmati golongan T20, sektor industri dan premis mewah yang menggunakan elektrik melebihi 600kWh sebulan. “Tidak adil apabila seorang nelayan yang hanya menggunakan satu kipas dan satu lampu rumah terpaksa membayar pada kadar yang sama dengan sebuah kondominium mewah yang menggunakan enam penyaman udara. “Subsidi elektrik wajar melindungi rakyat kurang berkemampuan, bukan turut dinikmati sama rata dengan golongan gaya hidup mewah. “Sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, membantu golongan kurang berkamampuan, manakalal golongan kaya, industri dan permis mewah bayar pada kadar biasa,” katanya. Masiung berharap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Sabah Electricity dapat menterjemahkan cadangan itu dalam mesyuarat khas langkah mitigasi elektrik bersama Perdana Menteri pada hari ini. – Info X