November 3, 2026
Info X Reporters
Projek JENDELA 2 bakal beri manfaat kepada penduduk luar bandar
KOTA KINABALU: Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2) dijangka memberi manfaat, khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini yang masih berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan internet berkualiti berikutan faktor geografi dan taburan penduduk. Perkara itu dijelaskan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika taklimat mengenai perkembangan terkini projek itu yang menjadi antara inisiatif penting dalam memperluas infrastruktur dan capaian komunikasi digital di Sabah. Taklimat itu disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika kunjungan hormatnya di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, dekat sini pada Selasa. Fahmi sebelum ini berkata, JENDELA 2 merangkumi 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan. Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (KPSTI), Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali dan Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan. – Info X
November 3, 2026
Info X Reporters
Banteras penggunaan senjata api haram
KENINGAU: Pihak berkuasa digesa memantau keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung pemilikan serta penggunaan senjata secara haram di kawasan pedalaman negeri ini. Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau, Datuk Azman Ruslan, berkata langkah itu perlu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat di kawasan berkenaan sentiasa terpelihara. Beliau berkata, tindakan pantas dan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan penguatkuasaan, termasuk merampas 42 laras senapang angin dan 456 peluru di Sook baru-baru ini, wajar diberikan penghargaan. “Kejayaan rampasan itu membuktikan komitmen dan profesionalisme polis dalam membanteras pemilikan serta penggunaan senjata yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang terbabit dalam kejadian tragis baru-baru ini. Azman berkata, kehilangan nyawa pada usia begitu muda adalah tragedi menyedihkan yang seharusnya meningkatkan keprihatinan semua pihak terhadap aspek keselamatan masyarakat. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan pemantauan serta mengambil langkah pencegahan lebih menyeluruh bagi membanteras pemilikan dan penggunaan senjata api secara haram. Beliau berkata, penduduk di kawasan pedalaman juga berhak menikmati persekitaran yang aman dan selamat, selain bebas daripada ancaman jenayah serta penyalahgunaan senjata. Pada masa sama, Azman berharap kerjasama antara pihak berkuasa dengan masyarakat setempat terus diperkukuhkan, khususnya dalam penyaluran maklumat dan pelaksanaan langkah pencegahan bagi melindungi nyawa serta keselamatan orang ramai. “Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak,” katanya. – Info X
November 2, 2026
Info X Reporters
Pasangan ditahan bersama syabu RM5,000 di Kudat
KUDAT: Seorang lelaki dan wanita ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan sepasukan pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan dadah di daerah berkenaan. Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek wanita menemukan satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu. “Dadah berkenaan dianggarkan seberat 50.62 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM5,000. “Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Kudat bersama barang rampasan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Mohd Haris berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek lelaki negatif. “Semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan. Katanya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat penting bagi membantu polis membanteras jenayah dadah demi keselamatan masyarakat. – Info X
November 2, 2026
Info X Reporters
36 ditahan dalam serbuan pusat hiburan
KOTA KINABALU: Seramai 36 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di pusat bandar raya ini, awal pagi semalam. Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bermula jam 2 pagi hingga 6.30 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 81 individu. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 36 individu positif dadah, manakala 45 lagi negatif. “Semua 36 individu terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Polis turut merampas dadah jenis ketamin dan cecair ekstasi dengan anggaran nilai RM1,800,” katanya. Menurutnya, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan JSJN Sabah membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di pusat hiburan. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi penyalahgunaan dadah kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh merosakkan kesihatan dan masa depan. Katanya, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan dadah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan. – Info X
November 2, 2026
Info X Reporters
Tangani segera kekurangan doktor di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan diminta mengambil tindakan segera bagi menangani kekurangan tenaga perubatan di Sabah, khususnya di kawasan Beluran, Ranau, Keningau, Sipitang, Beaufort dan Beaufort. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata kekurangan kira-kira 245 pegawai perubatan di Sabah ketika ini perlu diselesaikan demi kepentingan rakyat negeri ini. “Kerajaan perlu menyelaraskan penyelesaian bersama Kementerian Kesihatan, termasuk melihat isu elaun wilayah dan kemudahan perumahan bagi menarik serta mengekalkan pegawai perubatan untuk terus berkhidmat di Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin. Madius berkata, kekurangan tenaga perubatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya. Selain itu, Madius turut meminta Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) menjelaskan status 13 projek Jalan Luar Bandar bernilai RM1.716 bilion yang dilaporkan mengalami pembatalan proses tender sebelum ini. Katanya, BHESS perlu menyelaras tindakan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Kewangan bagi memastikan status pembiayaan dan proses pelaksanaan setiap projek dapat diperjelaskan. “Rakyat Sabah perlu mengetahui bila proses tender akan dilaksanakan semula dan bila kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan. “Kita memerlukan penjelasan mengenai tarikh tender semula serta tarikh permulaan kerja bagi setiap projek supaya pelaksanaannya dapat dipantau,” katanya. Beliau menegaskan projek pembangunan luar bandar perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana kelewatan pelaksanaan memberi kesan kepada kemudahan dan kesejahteraan masyarakat setempat. Madius berkata setiap isu yang dibangkitkan perlu disusuli tindakan konkrit dengan penetapan tanggungjawab agensi pelaksana dan garis masa yang jelas. – Info X
November 2, 2026
Info X Reporters
Cubaan seludup 1,750 liter petrol gagal, dua bot ditinggalkan
LAHAD DATU: Cubaan menyeludup 1,750 liter petrol bernilai kira-kira RM18,000 ke negara jiran gagal selepas dua bot pam tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan berhampiran Kampung Sinakut Tengah, di sini, awal pagi semalam. Kedua-dua bot berkenaan ditinggalkan bersama muatan petrol selepas sekumpulan individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot terbabit dikesan pada jam 6 pagi dan 6.20 pagi menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris 4.0. Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot masing-masing berwarna biru dan hijau membawa sejumlah gelen berisi minyak petrol. “Bot pertama membawa 38 gelen manakala bot kedua pula membawa 32 gelen dengan setiap gelen berkapasiti 25 liter. “Keseluruhan 70 gelen berkenaan mengandungi 1,750 liter petrol dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dzulfikhar berkata, sekumpulan individu yang dipercayai mengendalikan kedua-dua bot berkenaan berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa. Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan empat unit enjin pam bot yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan. “Kedua-dua bot bersama muatan kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu bagi tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup petrol ke negara jiran,” katanya. Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999. – Info X
November 2, 2026
Info X Reporters
Lelaki patah jari akibat kecuaian pemandu di stesen minyak
TAWAU: Kecuaian seorang pemandu ketika mengundurkan keretanya menyebabkan seorang lelaki patah ibu jari tangan kanan selepas dilanggar Perodua Viva di Stesen Petronas, Jalan Kuhara, di sini, Sabtu lalu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 20 saat memperlihatkan detik cemas apabila kereta berkenaan tiba-tiba mengundur dengan laju sebelum merempuh kawasan pam angin dan air sehingga struktur berkenaan tumbang. Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa yang juga orang awam berusia 59 tahun sedang mencuci tangan di kawasan berkenaan sebelum dirempuh kenderaan dipandu lelaki berusia 61 tahun. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati pemandu warga tempatan itu datang ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar keretanya. Katanya, pemandu kemudian mendapati hos pam angin tidak dapat mencapai tayar hadapan sebelah kiri lalu masuk semula ke dalam kereta untuk mengubah kedudukan kenderaan. “Bagaimanapun, ketika cuba mengundur, pemandu dipercayai secara tidak sengaja terpijak pedal minyak menyebabkan kereta bergerak ke belakang secara mengejut. “Kereta berkenaan kemudian melanggar lelaki yang sedang mencuci tangan di kawasan pam angin dan air di belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaannya ketika mengundur. “Polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengesan saksi lain bagi membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan sepenuhnya. Katanya, pemandu juga perlu lebih peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika mengundur di kawasan parkir dan stesen minyak. “Keselamatan orang ramai perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya. – Info X
November 2, 2026
Info X Reporters
Pengarah klinik swasta ditahan SPRM, guna maklumat 880 pencarum PERKESO tuntut RM50,000
LAHAD DATU: Seorang pengarah klinik swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menggunakan maklumat 880 pekerja tanpa pengetahuan mereka bagi membuat tuntutan berkaitan program saringan kesihatan bernilai kira-kira RM50,000. Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu. Difahamkan, suspek dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan dana Program Saringan Kesihatan anjuran sebuah badan berkanun. Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan pada 2023 dengan menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Maklumat pekerja terbabit dipercayai digunakan tanpa pengetahuan mereka bagi tujuan permohonan dana program berkenaan. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu. “Suspek akan dilepaskan selepas proses mengambil keterangan selesai,” katanya. – Info X