April 21, 2026
Info X Reporters
Lelaki pukul isteri ditahan
TAWAU: Seorang wanita berusia lingkungan 40-an cedera selepas dipukul suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Tanjung Batu Darat, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dilaporkan dipukul di bahagian muka dipercayai berpunca daripada salah faham sebelum mengalami luka dan kesakitan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum tindakan lanjut dijalankan. “Bertindak atas laporan kes keganasan rumah tangga, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek. “Suspek adalah lelaki berusia kira-kira 25 tahun, pemegang kad pengenalan pemastautin sementara dan bekerja sebagai kelindan lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek ditahan di Jalan Aman dan dibawa ke balai polis untuksiasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Berkhidmat demi masyarakat, meskipun dicemuh anggota bomba tetap berkorban
KEBAKARAN yang memusnahkan ribuan rumah di Kampung Bahagia, Sandakan, baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah membuka satu lagi sisi yang sering berulang, anggota bomba dipersalahkan. Di media sosial, pelbagai dakwaan timbul. Ada yang menuduh pasukan penyelamat lambat tiba, ada juga yang mempertikaikan kecekapan operasi. Namun, di sebalik kecaman itu, jarang yang benar-benar memahami realiti sebenar di lapangan. Hakikatnya, anggota bomba bukan sekadar “datang padam api”. Mereka berdepan risiko nyawa setiap kali melangkah ke lokasi kebakaran. Dalam kes Kampung Bahagia, struktur penempatan itu sendiri menjadi cabaran utama. Rumah atas air yang padat, dibina rapat tanpa jarak keselamatan, ditambah laluan sempit yang menyukarkan jentera berat masuk, menjadikan api mudah merebak dalam tempoh singkat. Apabila api mula marak, faktor angin dan bahan binaan mudah terbakar mempercepatkan kebakaran. Dalam keadaan itu, walaupun pasukan bomba tiba dalam tempoh munasabah, api sudah merebak luas, sesuatu yang sering disalah tafsir sebagai “lewat”. Sedangkan, setiap minit pertama kebakaran adalah kritikal. Jika struktur kawasan tidak menyokong kawalan api, kebakaran boleh menjadi tidak terkawal dalam masa singkat, walaupun respons awal pantas diberikan. Apa yang jarang disedari, anggota bomba sendiri terdedah kepada pelbagai risiko ketika operasi. Mereka berdepan kemungkinan letupan, runtuhan struktur, haba melampau, selain asap tebal yang boleh menjejaskan pernafasan. Di Sabah, sudah beberapa kali dilaporkan anggota bomba cedera ketika menjalankan operasi, sama ada akibat terjatuh, terkena serpihan atau mengalami keletihan melampau. Risiko kematian juga bukan sesuatu yang asing dalam profesion ini, walaupun tidak kerap dilaporkan secara meluas. Namun, setiap kali tragedi berlaku, fokus sering beralih kepada mencari salah dan bomba menjadi sasaran mudah. Perlu difahami, keberkesanan operasi memadam kebakaran bukan hanya bergantung kepada kepantasan respon, tetapi juga kepada faktor persekitaran. Kawasan setinggan atau penempatan padat seperti Kampung Bahagia sememangnya berisiko tinggi kerana tiada pelan susun atur yang sistematik, kekurangan sumber air tetap, dan akses terhad. Dalam situasi seperti ini, cabaran sebenar bermula sebaik sahaja pasukan tiba, bukan sekadar masa respon. Tulisan ini bukan untuk menafikan perasaan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, tetapi sebagai peringatan bahawa menyalahkan pasukan penyelamat bukanlah penyelesaian. Sebaliknya, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan, termasuk kesedaran keselamatan kebakaran, perancangan penempatan yang lebih teratur, serta kerjasama komuniti dalam mencegah risiko. Anggota bomba menjalankan tugas dalam keadaan yang kebanyakan orang tidak sanggup hadapi. Mereka masuk ketika orang lain keluar menyelamatkan diri. Justeru, sebelum jari menuding, mungkin wajar difikirkan, dalam keadaan sebenar di Kampung Bahagia, adakah sesiapa mampu melakukan lebih baik dalam tempoh yang sama? Kerana di sebalik asap tebal dan api marak itu, ada insan yang mempertaruhkan nyawa, bukan untuk dipuji, tetapi untuk memastikan yang lain terus hidup. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Pencarian berakhir, mangsa kedua bot karam ditemui
KOTA BELUD: Mangsa kedua bot karam di Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, ditemui petang ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari ketiga. Mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemui kira-kira jam 2.45 petang oleh pasukan SAR di perairan Bira-biraan, sekitar empat kilometer dari lokasi bot dilaporkan karam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Elgie Bakuk berkata, mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi hari ketiga bermula seawal jam 8 pagi sebelum pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu di pesisir kiri dan kanan serta kawasan laut menggunakan bot. “Mangsa ditemui oleh pasukan sektor laut sebelum dibawa ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang pada Ahad lalu, bot dinaiki lapan lelaki untuk keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan. Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas. Terdahulu, seorang lagi mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud, namun disahkan meninggal dunia. Operasi SAR yang bermula sejak hari kejadian membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta orang awam. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang hari ini. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Lelaki tular buat kekacauan ditahan, syabu dirampas
KENINGAU: Tindakan seorang lelaki yang sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa menimbulkan kekacauan akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis bersama dadah, hari ini. Dalam serbuan jam 1.39 petang itu, lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan di belakang bangunan UPLUS 4, Jalan Masjid Pekan Keningau. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Keningau hasil risikan dan pemantauan di lokasi berkenaan. “Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.15 gram dengan anggaran nilai RM30. “Suspek juga dipercayai individu yang sering tular di media sosial sebelum ini kerana dikaitkan dengan perlakuan yang menimbulkan keresahan masyarakat di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Beliau berkata, pihak polis khususnya BSJN Keningau akan terus mempergiat operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan dadah. “Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Kastam Labuan sita tiga kontena minuman keras bernilai RM1.29 juta
LABUAN: Helah sebuah syarikat mengimport minuman keras melebihi kuota terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita tiga kontena dalam operasi di Pelabuhan Merdeka, di sini, 17 Mac lalu. Rampasan membabitkan tiga kontena bersaiz 20 kaki itu dianggarkan bernilai RM343,400, manakala jumlah duti dan cukai mencecah RM948,168.61, menjadikan keseluruhan nilai lebih RM1.29 juta. Pengarah Kastam Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, tindakan itu hasil risikan Bahagian Perkastaman sebelum Pasukan Operasi Penguatkuasaan menyerbu lokasi kira-kira jam 10 pagi. “Siasatan awal mendapati minuman keras itu diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen sah bagi tempoh 20 Mac 2025 hingga 19 Mac 2026 dengan kuota import sebanyak 250,000 liter. “Namun, siasatan lanjut mendapati syarikat berkenaan dipercayai mengimport melebihi kuota dibenarkan iaitu sebanyak 52,746.24 liter walaupun lesen masih berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kiamsam, di sini, hari ini. Beliau berkata, pengimportan minuman keras tertakluk kepada pemilikan lesen import mengikut kuota yang diluluskan serta setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019. Menurutnya, modus operandi digunakan adalah dengan mengimport minuman keras melalui tiga kontena dan membuat pengikraran menggunakan dua Borang Kastam No. 1. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967. Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan. “Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Isu 40 peratus: Keputusan muktamad perlu dibuat – Masiung
KOTA KINABALU: Satu keputusan perlu dibuat berhubung pemberian khas 40 peratus Sabah tanpa melengahkan waktu dalam siri perbincangan di meja bulat dan proses mahkamah. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah, menegaskan ketetapan muktamad perlu diambil bagi menamatkan spekulasi isu itu yang terus berlegar dalam perdebatan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Ketetapan itu adalah usul utama hasil resolusi dalam Sesi Libat Urus eksekutif dianjurkan BBC dan Pejabat Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri di Kota Kinabalu, pada Isnin. Sesi Libat Urus itu melibatkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, Ahli Parlimen Sabah dan pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Masiung menegaskan, usul itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) untuk merangka tindakan susulan sebagai resolusi terbaharu Sabah. “Keputusan perlu dibuat bagi menamatkan perbincangan yang tertunggak tanpa mencapai kata sepakat berhubung isu tuntutan hasil Sabah 40 peratus di bawah MA63,” katanya. Jelasnya, pasukan perunding Sabah optimis Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof boleh menyelesaikan isu itu dengan keputusan menang-menang. Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO berkata, MTPMA63 yang dianggotai pemimpin dan pegawai kanan Negeri Sabah dan Persekutuan perlu menghormati resolusi berbangkit dalam Sesi Libat Urus eksekutif itu. Turut dibangkitkan dalam sesi itu termasuklah isu penduduk asing bukan warganegara di Sabah dan kenaikan tarif elektrik. Lima anggota panel dijemput bagi membentangkan tiga isu utama Sabah termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud; Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Ketua Menteri Sabah. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Dua lelaki ditahan, syabu 100.20 gram disorok dalam lampin bayi
SEMPORNA: Taktik menyembunyikan dadah dalam lampin pakai buang tidak menjadi apabila dua lelaki ditahan bersama syabu seberat 100.20 gram dalam serbuan di Bandar Baru Seafront, di sini, semalam. Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) selepas menjalankan pemantauan di sekitar Jalan Causeway. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan. Menurutnya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sebaik diperiksa, namun berjaya diberkas di lokasi kejadian. “Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui dua paket plastik lutsinar bersaiz besar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 100.20 gram dengan anggaran nilai RM10,000. “Dadah berkenaan disorok dalam lampin pakai buang yang disimpan di dalam beg kertas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Narkotik Daerah Semporna untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya menjauhi gejala dadah kerana ia bukan sahaja memusnahkan masa depan individu, malah memberi kesan buruk kepada keluarga dan komuniti. “Orang ramai juga digesa terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Polis kesan waris lelaki meninggal dunia di bilik sewa
KOTA KINABALU: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan waris kepada seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di sebuah bilik sewa di Bandaran Berjaya, di sini, pada 19 April lalu. Polis Daerah Kota Kinabalu menerusi kenyataan hari ini di Facebook memaklumkan, si mati dikenali sebagai Low Yook Nam, 75, berbangsa Cina. Menurut kenyataan itu, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.38 pagi di lokasi berkenaan. “Mayat si mati kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan pengecaman dan tuntutan oleh waris terdekat,” katanya. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil membantu bagi melancarkan urusan pengecaman dan pengurusan selanjutnya. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Polis (ASP) Muhammad Abu Zar Jali @ Ramli di talian 019-3546375, atau mana-mana balai polis berhampiran. Kerjasama orang awam amat dihargai. – Info X