April 21, 2026
Info X Reporters
Pemantauan di Gunung Kinabalu terkawal, tiada insiden dilaporkan
RANAU: Pasukan Mountain Search and Rescue Team (MOSAR) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan pemantauan keselamatan di sekitar Gunung Kinabalu susulan kejadian gegaran yang dilaporkan, awal pagi tadi. Operasi pemantauan bermula kira-kira jam 10.30 pagi membabitkan rondaan di laluan pendakian utama serta kawasan berisiko termasuk lokasi batu longgar dan berpotensi berlaku runtuhan kecil. Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, pemeriksaan turut melibatkan penilaian keselamatan pelancong serta malim gunung, selain komunikasi berterusan dengan agensi berkaitan bagi memastikan situasi kekal terkawal. “Setakat ini, tiada sebarang insiden dilaporkan dan keadaan di gunung adalah selamat,” katanya. Menurutnya, pasukan MOSAR akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gegaran susulan. “Orang ramai terutama pendaki dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pasukan keselamatan, menghentikan aktiviti pendakian sekiranya berlaku gegaran serta menjauhi kawasan batu longgar atau cerun berisiko,” katanya. Terdahulu, gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan berlaku di kawasan Kundasang pada jam 3.02 pagi, dengan gegaran turut dirasai di sekitar Ranau. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Tokoh wartawan Sabah Joseph Bingkasan meninggal dunia
KOTA KINABALU: Dunia kewartawanan Sabah kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan, meninggal dunia dipercayai akibat kanser di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, pada jam 3.56 pagi tadi. Pemergian wartawan veteran berusia 71 tahun itu disahkan anaknya, Lester J Bingkasan yang juga seorang wartawan, ketika dihubungi hari ini. “Bapa saya meninggal dunia pagi tadi. Beliau menghidap kanser tulang dan prostat, selain menjalani rawatan hemodialisis. Kami sekeluarga memohon semua sahabat mendoakan ayah saya,” katanya ringkas. Menurut Lester, keluarga kini sedang menguruskan jenazah dan maklumat lanjut termasuk mengenai upacara penghormatan terakhir akan dimaklumkan kemudian. Mendiang Joseph disifatkan sebagai antara figura penting dalam dunia kewartawanan Sabah dengan pengalaman luas yang merentasi beberapa dekad. Beliau memulakan kerjaya sebagai penyunting di akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah. Sepanjang kerjayanya, beliau turut berkhidmat di Times of Malaysia London Ltd, iaitu pejabat NST di London, sekali gus memperkukuh pengalaman antarabangsa dalam bidang kewartawanan. Kepakaran dan kepimpinannya kemudian menyaksikan beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak. Selain itu, mendiang juga pernah menyumbang khidmat kepada akhbar tempatan Sabah, Daily Express, sekali gus memperkukuh legasi sebagai wartawan yang banyak berjasa dalam pembangunan industri media negeri ini. Pada 2023, mendiang menerima pengiktirafan menerusi Tabung Kasih Hawana sebagai menghargai sumbangan besarnya kepada dunia kewartawanan tanah air. Sejak 2014, mendiang dilaporkan menghidap kanser, selain berdepan masalah kegagalan buah pinggang dan tekanan darah tinggi, namun tetap dikenang sebagai wartawan berdedikasi tinggi yang komited menyampaikan berita dengan integriti dan profesionalisme. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Penganjur Songkran Sunset Splash Run tidak peka masalah air penduduk KK – Tham
KOTA KINABALU: Penganjur Songkran Sunset Splash Run dan pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal mengambil kira sensitiviti masyarakat apabila mengadakan program ‘pesta air’ itu ketika ramai penduduk di bandar raya ini berdepan gangguan bekalan air. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata kecaman terhadap penganjur dan pihak berkuasa bukan disebabkan budaya yang dibawa masuk dari Thailand itu, sebaliknya berkaitan ketidakpekaan terhadap masalah semasa dihadapi rakyat setempat. “Kita menghormati bahawa Songkran merupakan budaya dari negara luar dan sebagai masyarakat majmuk, saya tidak memperlekeh atau mengaibkan budaya mana-mana pihak selagi ia tidak bercanggah dengan nilai-nilai budaya dan norma tempatan. “Namun demikian, kita juga tidak boleh mengetepikan realiti semasa yang dihadapi oleh rakyat Kota Kinabalu khususnya di Likas yang ketika ini sedang berdepan dengan isu gangguan bekalan air, berminggu lamanya memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk. “Saya bersama pasukan saya tidak henti-henti memantau kawasan yang terkesan dengan gangguan bekalan air ini dan memastikan Jabatan Air dapat membaiki kebocoran saluran paip tidak kira siang dan malam. “Sehubungan itu, adalah wajar pihak penganjur serta pihak berkuasa tempatan mengambil kira sensitiviti masyarakat. “Dalam keadaan rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air, penganjuran acara yang melibatkan penggunaan air secara besar-besaran boleh menimbulkan persepsi yang kurang baik dan dianggap tidak peka terhadap keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan. Pemimpin Parti Warisan itu berpendapat, dengan mengambil kira situasi semasa, penganjuran pesta seperti itu sepatutnya ditangguhkan ke satu masa yang lebih sesuai. Langkah ini, katanya bukan bertujuan menolak budaya tersebut, tetapi sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab terhadap kesulitan yang sedang dihadapi oleh rakyat. “Saya ingin menegaskan bahawa setiap penganjuran acara awam perlu mengambil kira keseimbangan antara kepelbagaian budaya, tanggungjawab sosial dan situasi semasa rakyat. “Ke hadapan, saya berharap agar semua pihak dapat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan supaya keharmonian masyarakat terus terpelihara dan kepercayaan rakyat tidak terjejas,” katanya. Sebelum ini, ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan pelbagai pihak lain turut mengkritik penganjuran program berkenaan sebelum Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan kenyataan bahawa penganjurnya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. Program itu diadakan pada Sabtu lalu. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Op Gempur Khas: Dua lelaki positif syabu ditahan di Telipok Ria
TUARAN: Dua lelaki ditahan dalam Op Gempur Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah di tepi jalan Taman Telipok Ria, Tuaran, semalam selepas didapati positif dadah. Kedua-dua suspek berusia 40 dan 31 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan sebelum dibawa ke BSJND Tuaran untuk ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif methamphetamine dan amphetamine. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seorang suspek adalah lelaki tempatan bekerja sebagai pemandu lori, manakala seorang lagi warga asing tanpa dokumen bekerja sebagai tukang rumah. “Tiada rampasan dadah dibuat dalam operasi berkenaan. “Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan sumber bekalan dadah, manakala risikan dan pemantauan akan terus dipergiat di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Kontraktor elektrik terbabas, rempuh tiang lampu
TAWAU: Perjalanan pulang seorang kontraktor elektrik bertukar detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang lampu dalam kejadian kemalangan di Batu 11, Jalan Apas, semalam. Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, jip jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang lelaki, 41, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kampung Inderasabah menuju ke Batu 4 selepas selesai menjalankan kerja pembaikan wayar elektrik milik Sabah Electricity. “Setibanya di selekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan jip terbabas dan terseret kira-kira 35 meter sebelum menaiki pembahagi jalan. “Kenderaan itu kemudian merempuh tiang lampu jalan hingga tumbang sebelum terkena sebuah Proton Saga yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, Proton Saga berkenaan dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah Batu 10 menuju ke Kampung Mambalua. Katanya, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang jip cedera patah bahu kanan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berselekoh serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Gempa bumi di Kundasang
KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 skala Richter dikesan berlaku di Kundasang pada jam 3.02 pagi tadi. Berdasarkan info dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa bumi berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur. Pusat gempa itu terletak lapan kilometer di barat laut Ranau dengan kedalaman 10 kilometer. MetMalaysia berkata, gegaran mungkin dirasai di sekitar Ranau. Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pemantauan awal di sekitar Pekan Ranau dan Kundasang tidak menemui sebarang kerosakan setakat ini. “Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menjalankan rondaan pada jam 6.35 pagi membabitkan premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam. “Hasil makluman orang awam dan pemerhatian di lokasi mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan, keadaan terkawal serta selamat, selain tiada kecederaan atau insiden susulan direkodkan,” katanya. JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa selain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan. “Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan berwaspada, selain mengelakkan memasuki bangunan sekiranya terdapat keraguan terhadap struktur. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Bas ekspres musnah terbakar di Jalan Semporna – Kunak
SEMPORNA: Sebuah bas ekspres dua tingkat musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan Semporna-Kunak, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.49 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, jentera bomba yang membawa lapan anggota tiba di lokasi kira-kira 20 kilometer dari balai pada jam 11.10 malam. “Kebakaran membabitkan sebuah bas jenis Scania K420 dua tingkat yang terbakar sepenuhnya. “Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rastam berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.28 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam selepas memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi. Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu kerana bas berkenaan tidak membawa penumpang ketika kebakaran berlaku. “Difahamkan, bas terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu bagi tujuan pembaikan ketika insiden berlaku,” katanya.
April 21, 2026
Info X Reporters
Diesel 2,100 liter cuba diseleweng, dua ditahan
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggempur sebuah stor penyimpanan minyak diesel di Kampung Batu 11, Jalan Seguntor, di sini, petang tadi, dan menahan dua lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi. Serbuan kira-kira jam 2.45 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memindahkan minyak diesel bersubsidi daripada sebuah lori ke tangki skid. “Dipercayai minyak itu dipindahkan untuk tujuan penyelewengan sebelum dijual di pasaran. “Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, pihak polis turut merampas sebuah lori 10 tan jenis Nissan bersama beberapa peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan. “Selain itu, kira-kira 2,100 liter minyak diesel turut dirampas dengan anggaran nilai RM12,537 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi demi menjaga kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X