April 21, 2026
Info X Reporters
Bas ekspres musnah terbakar di Jalan Semporna – Kunak
SEMPORNA: Sebuah bas ekspres dua tingkat musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan Semporna-Kunak, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.49 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, jentera bomba yang membawa lapan anggota tiba di lokasi kira-kira 20 kilometer dari balai pada jam 11.10 malam. “Kebakaran membabitkan sebuah bas jenis Scania K420 dua tingkat yang terbakar sepenuhnya. “Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rastam berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.28 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam selepas memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi. Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu kerana bas berkenaan tidak membawa penumpang ketika kebakaran berlaku. “Difahamkan, bas terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu bagi tujuan pembaikan ketika insiden berlaku,” katanya.
April 21, 2026
Info X Reporters
Diesel 2,100 liter cuba diseleweng, dua ditahan
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggempur sebuah stor penyimpanan minyak diesel di Kampung Batu 11, Jalan Seguntor, di sini, petang tadi, dan menahan dua lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi. Serbuan kira-kira jam 2.45 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memindahkan minyak diesel bersubsidi daripada sebuah lori ke tangki skid. “Dipercayai minyak itu dipindahkan untuk tujuan penyelewengan sebelum dijual di pasaran. “Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, pihak polis turut merampas sebuah lori 10 tan jenis Nissan bersama beberapa peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan. “Selain itu, kira-kira 2,100 liter minyak diesel turut dirampas dengan anggaran nilai RM12,537 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi demi menjaga kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
SAR hari kedua: Seorang masih hilang di perairan Kota Belud
KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua mangsa bot karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, hari ini diteruskan dengan pencarian diperluas sehingga radius lima kilometer, namun seorang mangsa masih belum ditemui. Operasi yang bermula seawal jam 8.05 pagi itu memfokuskan kawasan sekitar lokasi bot karam dan muara Sungai Batu Gadung dengan pembahagian beberapa sektor pencarian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi SAR membabitkan sembilan anggota dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam. “Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.25 petang dan akan disambung semula esok,” katanya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang semalam, bot yang dinaiki lapan lelaki untuk keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan. Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas. Seorang daripada mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi bot karam pada jam 9.50 malam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud. Seorang lagi mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, masih belum ditemui setakat ini. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Penjawat awam ditahan kes dokumen palsu RM1.3 juta
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja pembersihan bernilai kira-kira RM1.3 juta. Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu. Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2024. “Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini untuk tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027. “Selain itu, suspek turut dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan kontrak kerja di beberapa agensi kerajaan sekitar Sabah,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Perjalanan ke sukan sekolah berakhir tragedi
KENINGAU: Perjalanan seorang pelajar Tingkatan Empat untuk menghadiri sukan sekolah berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Keningau – Apin Apin, berhadapan SMK Keningau 2, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Jumir Andoroh, 16, yang dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Keningau dilaporkan terlanggar bahagian belakang sebuah Toyota Hilux. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Hospital Keningau dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 9.48 pagi. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis WMOTO SM125i yang ditunggang mangsa dan sebuah Toyota Hilux dipandu wanita berusia 46 tahun. “Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Keningau untuk menghadiri sukan sekolah sebelum terlanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan. “Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Kampung air perlukan pembaharuan elak bencana kebakaran
KOTA KINABALU: Kebakaran besar yang meranapkan kira-kira 1,000 rumah atas air di Kampung Bahagia, Sandakan pada Ahad wajar dijadikan peringatan mengenai keperluan melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap penempatan kampung air di negeri ini. Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah, berkata insiden itu bukan saja membawa kemusnahan, malah menyebabkan penderitaan besar yang ditanggung mangsa apabila kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam sekelip mata. “Saya melihat gambar dan video kebakaran di Kampung Bahagia, amat memilukan. Sebanyak 1,000 rumah musnah. Ini bukan hanya sebuah angka, tetapi fakta banyaknya linangan air mata dan hati yang remuk hilang segalanya. Saya bersimpati,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. Mengulas tindakan kerajaan negeri, Aksyah berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan ciri kepimpinan sebenar apabila bertindak pantas menggerakkan jentera kerajaan bagi membantu mangsa yang terjejas. Menurutnya, tindakan segera itu membuktikan peranan seorang pemimpin bukan hanya mengeluarkan kenyataan, tetapi hadir ketika rakyat berada dalam kesusahan. “Beliau bertindak bukan sekadar kata-kata, tetapi perintah. Jentera kerajaan digerakkan serta-merta. Pada saya, itulah gambaran tanggungjawab seorang pemimpin hadir ketika rakyat menanggung derita,” katanya. Dalam pada itu, beliau menegur pihak yang terus menuding jari dan menyalahkan pasukan bomba susulan tragedi berkenaan, termasuk dakwaan kelewatan operasi serta masalah bekalan air ketika usaha memadam kebakaran dijalankan. Katanya, sikap hanya mencari kesalahan tidak akan membantu membina semula kediaman yang musnah atau mengurangkan penderitaan mangsa. “Semua dakwaan negatif itu tidak akan mampu membina semula rumah yang sudah hangus. Ia tidak akan merawat luka rakyat,” katanya. Aksyah berkata, bantuan selepas bencana sememangnya penting, namun langkah itu hanya bersifat sementara jika punca sebenar tidak ditangani secara menyeluruh. Beliau berkata, sistem penempatan kampung air yang tidak terancang perlu diberi perhatian serius kerana ia sudah lama menjadi ancaman keselamatan kepada penduduk. Menurutnya, usaha membina semula penempatan lebih teratur memerlukan keberanian politik, perancangan rapi serta visi jangka panjang demi kesejahteraan rakyat. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan pimpinan Hajiji mempunyai asas kewangan dan iltizam politik untuk merealisasikan agenda pembangunan menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Katanya, peningkatan hasil negeri yang mencecah RM7 bilion membuktikan keupayaan pentadbiran sedia ada dalam memperkukuh kedudukan kewangan Sabah. “Tanpa dana ini, dan sementara menunggu pelaksanaan bayaran tuntutan 40 peratus, wawasan SMJ hanyalah mantera di atas kertas. Hari ini, Sabah ada dana, dan Hajiji ada iltizam politik untuk melaksanakannya,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah menilai tragedi berkenaan secara matang dan menjadikannya titik tolak untuk menyokong agenda pembangunan yang lebih selamat serta tersusun. “Kita mahu terus hidup dalam ketakutan, atau kita memberi ruang luas kepada kepimpinan sedia ada untuk membina masa depan yang lebih selamat? “Mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat. Kita sokong dan biarkanlah Hajiji fokus kepada kerja-kerjanya. Pembangunan perlukan masa, dan keamanan perlukan kestabilan,” katanya. Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat serta mendoakan mereka terus tabah menghadapi dugaan itu. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Mayat lelaki ditemui dalam longkang tepi jalan
PENAMPANG: Sekumpulan pekerja pemotong rumput digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam longkang di tepi Jalan Bundusan, di sini, petang ini. Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan tertiarap, lengkap berpakaian dan dipercayai sudah mulai kembung, kira-kira jam 3.15 petang. Salah seorang daripada mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal dan mengawal keadaan di tempat kejadian. “Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam longkang. “Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut hadir bagi membantu siasatan terperinci,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, berdasarkan penilaian awal di lokasi, tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kejadian itu setakat ini. “Oleh itu, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian. “Identiti mangsa serta warisnya masih dalam proses pengesanan oleh pihak polis,” katanya. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan. “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Warisan minta agensi kerajaan, NGO, orang ramai bantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia
SANDAKAN: Parti Warisan meminta agar agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang ramai supaya tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini. Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata mangsa memerlukan bantuan penempatan sementara, keperluan makanan, pakaian, peralatan asas dan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka. Beliau menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan Parti Warisan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa. “Segala bentuk bantuan yang boleh diselaraskan akan diusahakan agar mangsa tidak dibiarkan berdepan kesusahan bersendirian,” katanya selepas melawat mangsa dan meninjau lokasi bencana, di sini, pada Ahad. Bekas Ketua Menteri itu turun seawal jam 8.30 pagi untuk meninjau sendiri keadaan mangsa yang terlibat dan menilai tahap kerosakan dialami penduduk akibat insiden itu. Turut mengiringi beliau ialah ADUN Sekong, Alias Sani; Calvin Chong (ADUN Elopura), Alex Wong (ADUN Karamunting) dan Lisa Alban (ADUN Sungai Sibuga). Sepanjang lawatan itu, Shafie bersama pemimpin Parti Warisan meninjau kawasan yang terjejas teruk, melihat sendiri rumah musnah dijilat api dan keadaan persekitaran yang belum pulih sepenuhnya. Beliau juga meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa kebakaran, mendengar sendiri keluhan mereka dan mendapatkan maklumat berkaitan keperluan segera yang diperlukan. Selepas lawatan ke lokasi kejadian, Ahli Parlimen Semporna itu turut ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi meninjau keadaan mangsa. Shafie menyatakan rasa simpati dan dukacita terhadap nasib yang menimpa penduduk Kampung Bahagia serta berharap semua mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian berat itu. – Info X