April 20, 2026
Info X Reporters
Penganjur Songkran Sunset Splash Run diambil tindakan – DBKK
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan terhadap penganjur Songkran Sunset Splash Run selepas program itu didapati memberi kesan kepada kebersihan dan keselamatan awam. Tindakan itu, jelasnya selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkuatkuasa. Menerusi satu kenyataan pada Isnin, DBKK menegaskan ia memandang serius perkara itu kerana melibatkan kepatuhan kepada syarat kelulusan acara dan kebersihan bandar raya Kota Kinabalu. “Hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa aspek pelaksanaan yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang diluluskan, khususnya melibatkankaedah penggunaan air serta impak kebersihan dan keselamatan di kawasan awam. “Sehubungan dengan itu, DBKK memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepatuhan kepada syarat kelulusan acara dan kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu. “Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkuatkuasa “Pihak penganjur diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta-merta dan memastikan keadaan kembali seperti sedia kala,” katanya. Kenyataan itu menyebut, DBKK menegaskan bahawa semua penganjuran acara di bandar raya Kota Kinabalu perlu mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan serta perlu mengutamakan aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan orang awam. “DBKK komited untuk terus menyokong penganjuran acara yang memberi manfaat kepada Bandaraya Kota Kinabalu, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat dan peraturan,” katanya. Terdahulu, DBKK menyatakan penganjuran program larian oleh mana-mana pihak adalah disarankan kerana dilihat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti komuniti. Namun, katanya DBKK tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program itu dan sebarang kelulusan yang diberikan adalah tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sebelum ini tular di media sosial mengenai ‘Pesta Songkran’ atau Pesta Air yang berasal dari Thailand yang diadakan di ibu negeri. Penganjuran program itu dikecam pelbagai pihak kerana disifatkan membazir air ketika ramai penduduk di sekitar bandar raya berdepan masalah air disebabkan keadaan panas dan kering ketika ini. Penganjur program itu mendakwa air yang digunakan dalam acara berkenaan adalah berbayar. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
RM2,000 bantuan permulaan kepada KIR mangsa kebakaran Kampung Bahagia – KM
SANDAKAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian pada pagi Ahad. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri amat bersimpati terhadap nasib mangsa yang terjejas dalam kebakaran yang disifatkan sebagai antara terbesar melibatkan kawasan penempatan berkenaan. “Hari ini saya meninjau keadaan di lapangan melibatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan. Kebakaran ini adalah satu kebakaran yang agak besar, melibatkan hampir 1,000 rumah yang musnah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, di sini, pada Isnin. Hajiji berkata, sebagai bantuan permulaan, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sebanyak RM2,000, merangkumi bantuan khas RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah. “Kita berharap bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mereka sekarang ini,” katanya. Selain itu, beliau berkata Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Hajiji berkata, tahap kemusnahan di kawasan itu sangat besar dengan hampir keseluruhan kampung musnah sepenuhnya. Jelasnya, kawasan berkenaan sebelum ini adalah penempatan pelarian di bawah UNHCR, namun sudah dikeluarkan dan kerajaan bercadang membangunkannya menjadikan perkampungan yang sah untuk Kampung Bahagia. Dalam pada itu, beliau berkata laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa kebakaran dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu ini. Berdasarkan maklumat awal, katanya kira-kira 70 peratus daripada mangsa yang terlibat adalah bukan warganegara, manakala hanya 30 peratus mangsa kebakaran bertaraf warganegara Malaysia. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bantuan tetap akan diberikan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan. Mengulas perancangan pembangunan semula, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa cadangan termasuk menimbus kawasan berkenaan bagi tujuan pembinaan perumahan, yang dijangka melibatkan kos yang besar. “Cadangan termasuk menimbus kawasan ini untuk kita bangunkan rumah nanti, namun ini melibatkan kos yang agak banyak,” katanya. Katanya, Kerajaan Negeri akan menunggu laporan lengkap daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebelum membuat keputusan lanjut. “Kita terima dulu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, apakah cadangan-cadangan alternatif yang mereka kemukakan. Dari sanakita akan mengambil tindakan,” katanya. Sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran di kampung itu buat masa ini. Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk membantu mangsa dan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara. Mengiringi lawatan Hajiji ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Arifin Arif; Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Julita Majungki; Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Maijol Mahap; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag Shahminan Ag Sahari dan Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Bot terbalik: Seorang disahkan meninggal dunia, seorang lagi masih hilang
KOTA BELUD: Seorang daripada dua mangsa yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang tadi, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Kota Belud. Mangsa Mohd Dzul Nazri Abdul, 18, sebelum ini ditemui orang awam kira-kira jam 9.50 malam sebelum dibawa penduduk kampung ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, seorang lagi mangsa berusia 23 tahun masih belum ditemui, manakala operasi pencarian dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elgie Bakuk berkata, mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira 700 meter dari lokasi bot karam. “Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam, namun disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud. “Operasi pencarian masih giat dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini. Terdahulu, dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika keluar memancing di perairan berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, menyebabkan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dihanyutkan arus. Enam mangsa lain bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai. – Info X
April 20, 2026
Info X Reporters
Sabah FC juara Piala Cabaran MFL
KOTA KINABALU: Sabah FC muncul juara Piala Cabaran MFL selepas menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Likas, di sini, malam ini. Perlawanan yang disaksikan lebih 20,000 penyokong itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sepanjang masa perlawanan termasuk masa tambahan, sekali gus menjadikan agregat keseluruhan 1-1 selepas dua perlawanan. Sabah FC yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri tampil lebih bertenaga dengan menguasai sebahagian besar permainan, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan. Penang FC pula tidak mudah mengalah apabila beberapa kali mengancam menerusi serangan balas pantas, tetapi disiplin tinggi barisan pertahanan Sabah FC berjaya mengekang percubaan berbahaya lawan. Keputusan tanpa jaringan sehingga wisel penamat memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti. Dalam penentuan itu, nasib lebih berpihak kepada Sabah FC apabila berjaya menyempurnakan empat sepakan berbanding tiga oleh Penang FC. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
Remaja mabuk dirogol, suspek 28 tahun ditahan
TAWAU: Seorang remaja perempuan menjadi mangsa rogol selepas dipercayai dibawa keluar dari sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central, di sini sebelum dibawa ke sebuah hotel, semalam. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan mabuk dan lemah sebelum dibawa seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda. Mangsa kemudian menyedari dirinya dirogol ketika berada di hotel berkenaan sebelum membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam. “Suspek ditahan di Kampung Pukat dan merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun. “Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau turut menasihatkan golongan wanita agar sentiasa menjaga keselamatan diri, tidak bersendirian serta berwaspada dengan persekitaran. “Suspek kini ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
Bot terbalik ketika memancing, dua lelaki hilang enam rakan selamat
KOTA BELUD: Dua lelaki dikhuatiri lemas, selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika keluar memancing di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, dengan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dikhuatiri lemas. Enam mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pesisir pantai. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan dengan menyusuri sepanjang tebing sungai di kawasan bot karam. “Kedua-dua mangsa yang hilang masih belum ditemui setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai hanyut di sekitar kawasan berkenaan. “Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak 5 tahun hilang, dikhuatiri dibaham buaya
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dikhuatiri hilang selepas dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, di sini, pagi tadi. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Mohd Hamka Mustamin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi melalui talian MERS999. Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa sedang mandi-manda di kawasan tepi pantai sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan. “Mangsa dilaporkan telah dibaham buaya dan diseret ke dalam laut. Identiti penuh mangsa masih belum diperoleh setakat ini. “Sepasukan anggota dari BBP Lahad Datu telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, operasi SAR kini sedang dijalankan dengan bantuan pihak polis bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui. Katanya, pasukan bomba menghadapi cabaran berikutan jarak lokasi kejadian yang agak jauh, iaitu kira-kira 101 kilometer dari balai, selain keadaan persekitaran yang berisiko. “Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
April 19, 2026
Info X Reporters
Mayat lelaki ditemui di Jalan Gaya, polis kesan waris
KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah premis di Jalan Jati berhampiran kawasan Jalan Gaya, di sini, semalam. Menerusi kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini, pihaknya memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi melalui MERS 999 mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di hadapan Wisma Inti Utama. Menurut kenyataan itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi sebelum menemui lelaki berusia lingkungan 40-an terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa. “Si mati juga didapati mempunyai kecacatan pada jari tangan kanan,” menurut kenyataan itu. Katanya, kematian disahkan pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil membantu siasatan bagi tujuan pengecaman dan pengurusan lanjut. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X